in

Altimet Imbau Kembali Nostalgia Dalam ‘MUDA’

Selepas ‘Amboi’ memenangi Persembahan Terbaik di AJL32 dan kejayaan single ‘Bunga’ menjana lebih 5 juta tontonan di Youtube dalam tempoh 3 bulan, Altimet meneruskan lagi momentumnya dengan single terbaru berjudul ‘Muda’.

MUDA

Lagu ini merupakan single keempat dari album ‘Air’ yang dilancarkan pada Mac lalu. ‘Muda’ diterbitkan oleh Altimet Holdings Sdn Bhd dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar.

Dalam single ‘Muda’ ini Altimet turut menampilkan komposer & penyanyi hip hop generasi baru, Kidd Santhe bersama ahli kumpulan Mirwana, Akmal. Bercerita disebalik kolaborasinya, Altimet menyatakan,“Hasil karya asal Akmal berjudul ‘Esok Menanti’ merupakan salah satu lagu yang dibuat untuk album Kotarayaku pada tahun 2012 lalu.

Walaupun tak terpilih untuk masuk ke dalam album tersebut, melodi dan korusnya sering menghantui telinga saya. Setelah memulakan proses menulis album Air, saya menghantar lagu Esok Menanti kepada Kidd Santhe untuk diberi gubahan yang baru dan sangat berpuas hati dengan hasil karyanya”.

Berbanding dengan lagu-lagu yang Altimet keluarkan sebelum ini, ‘Muda’ menampilkan melodi yang ‘catchy’ diiringi rentak lagu yang ceria.

Single yang turut menampilkan elemen ‘contemporary pop’ ini, bukan saja menyajikan sesuatu yang berbeza buat peminat hip hop malah ianya suatu lagu yang lebih santai dan mesra telinga sesuai dinikmati oleh pendengar muzik arus semasa. Bait-bait lirik yang ditulis oleh Altimet ini secara bersahaja menyelitkan unsur nasihat melalui penceritaannya dari kacamata si pencerita berusia emas yang mengimbau kembali perjalanan hidupnya.

Video muzik rasmi ‘Muda’ merupakan terbitan Motiofixo dan arahan Alan Amir. Video muzik ini menjalani penggambaran di sebuah lokasi yang dilabelkan sebagai ‘Instagram-friendly’ di Malang, Indonesia. Lokasi penggambaran yang juga merupakan sebuah kampung yang didiami penduduk tempatan ini menawarkan pemandangan yang unik dengan latarbelakang yang berwarna warni.

Video muzik rasmi ‘Muda’ boleh ditonton di laman web www.altimet.com.my bermula 30 JULAI 2018. Single ‘Muda’ sudah boleh dibeli dan distrim di kesemua pelantar digital sejak 30 Mac 2018
Sebarang maklumat lanjut sila layari www.altimet.com.my

Altimet merupakan rapper, penulis lagu, dan produser yang banyak memenangi anugerah serta mempunyai sebanyak 14 lagu carta #1 sejak tahun 2000 menerusi 4 album solonya. Lagunya yang berjudul “Kalau Aku Kaya” merupakan lagu Hip-Hop pertama di Malaysia yang pernah menduduki tempat tiga teratas di Anugerah Juara Lagu dan telah meraih lebih daripada sejuta muat turun digital. Terkini, Altimet menggegarkan pentas AJL32 sekaligus merangkul anugerah Persembahan Terbaik menerusi lagunya ‘Amboi’.

Ikon Belia Kebangsaan ini juga telah diiktiraf sebagai ‘Men Of The Year 2016’ oleh majalah August Man dan pernah diangkat sebagai salah seorang ‘Alpha Men’ oleh majalah Glam Lelaki pada tahun yang sama. Selain menjelajahi dunia dan muncul di kaca TV serta pentas antarabangsa ini, Altimet juga diangkat sebagai rapper pertama di dunia yang suara emasnya digunakan untuk aplikasi Waze dalam dwibahasa.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Komedi Thailand MAY WHO?

Keputusan Penuh Pemenang Anugerah Telenovela 2018