in

Alif Satar Sumbang Suara dalam Satu Episod Ben 10

Cartoon Network (Astro Saluran 616) telah bersiap sedia untuk mengujakan para peminat Ben 10 dengan episod-episod baru pada bulan ini. Bermula Sabtu, 10 Jun, para penonton bakal disambut dengan pagi yang penuh aksi bersama Ben Tennyson, Grandpa Max serta sepupunya Gwen. Dengan bantuan jam tangan Omnitrix milik Ben serta 10 wira makhluk asingnya, mereka bersama-sama meneroka satu pengembaraan hebat yang memaparkan kuasa luar biasa!

Alif Satar

Cartoon Network Bakal Lancar Episod-episod Ben 10 Baru dengan Sentuhan Tempatan!

Sempena penyiaran rancangan menarik ini, Cartoon Network telah berkerjasama dengan penyanyi dan pengacara berbakat, Alif Satar yang menjadi pelakon suara untuk Tim Buktu, watak antagonis yang sukar dikawal. Dalam episod khas ini, Ben perlu bertukar menjadi makhluk asing untuk menyelamatkan Empangan Hoover daripada bencana. Tetapi, perhatiannya sentiasa diganggu oleh Tim Buktu yang berperangai kasar dan berpura-pura ingin memberi bantuan kepadanya. Walaupun Tim Buktu sentiasa mengidam untuk menjadi seorang wira, namun tindakannya sering menemui kegagalan. Episod ini bakal disiarkan pada pukul 9 pagi, Sabtu (17 Jun).

“Kami sangat teruja bekerjasama dengan Alif bagi peluang khas ini di Malaysia. Dengan personalitinya yang peramah dan menyeronokkan, kami yakin Alif amat sesuai untuk menzahirkan watak Tim Buktu,” kata Mark Eyers, Ketua Pegawai Kandungan untuk Cartoon Network Turner di Asia Pasifik.

Alif Satar

Penyanyi tanah air, Alif Satar sebagai tetamu khas dalam satu episod Ben 10 pada Jun ini

Demikian kata Alif, “Ben 10 adalah antara kartun yang ditonton oleh hampir setiap lelaki pada zaman kanak-kanaknya. Saya sendiri juga seorang peminat Ben 10 dan masih mengingati waktu saya membesar dan menonton episod-episod kegemaran saya di Cartoon Network. Saya amat berbesar hati kerana berpeluang menjadi sebahagian siri ikonik ini. Memainkan watak Tim Buktu amat menyeronokkan dan saya tidak sabar untuk berkongsi pengalaman saya ini bersama para peminat!”

Sebenarnya ini bukan kali pertama Cartoon Network melibatkan bakat tanah air dalam rancangan utamanya. Pada tahun lepas, saluran TV ini telah bekerjasama dengan Shila Amzah, penyanyi terulung yang memenangi banyak anugerah, untuk menyanyikan lagu tema siri baru The Powerpuff Girls. Sebelum ini, Cartoon Network pernah bekerjasama dengan raja komedi tempatan Nabil Ahmad dalam lakonan suara untuk satu episod Uncle Grandpa, sebuah siri animasi dan komedi yang diterbitkan oleh Cartoon Network.

Bagi peminat yang tidak jemu mengikuti Ben, Cartoon Network kini sedang menganjurkan satu pameran bagi melancarkan rangkaian permainan terbarunya. Pemeran ini diadakan di Vanity Atrium Sunway Velocity Mall setiap hari dari 10 pagi – 10 malam sehingga hari Isnin (12 Jun). Para pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menyeronokkan termasuk satu permainan realiti berperantara Ben 10 yang interaktif, di mana mereka mampu bertukar menjadi makhluk-makhluk asing kegemaran mereka.

Janganlah ketinggalan untuk menyaksikan episod khas Ben 10 pada pukul 9 pagi, Sabtu (17 Jun), hanya di Cartoon Network (Astro Saluran 616). Episod-episod baru Ben 10 akan disiarkan di Cartoon Network setiap Sabtu, pada pukul 9 pagi.

Alif Satar

Alif Satar

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Aku Balik Kampung – Gabungan Suara Manbai, Amir Jahari, Nssn & Kayda Aziz

Telemovie Pilihan Malam Raya di RTM