in ,

Album Amanda Imani & IZ OIAM Kini Diedarkan di Austin Chase

Dikatakan kemunculan artis indie (artis yang berdikari, tidak bergantung harap dan bermodalkan sendiri) tumbuh seperti cendawan di pagi hari. Cuma kita sahaja yang tidak tahu kewujudan artis indie yang hadir mewarnai industri muzik ini kerana kurangnya promosi dari pihak-pihak tertentu. Mereka seperti dianaktirikan berbanding artis mainstream.

Budiey ada dengar, artis indie di Malaysia ini sangat ramai tapi tidak diberi peluang untuk memperkenalkan bakat mereka. Kalau nak kira dari segi kualiti, Budiey amati karya artis indie ini kadangkala ada yang lebih bermutu daripada artis mainstream.

Dikatakan mengikut perangkaan, artis indie di Malaysia ini dalam 70% dan selebihnya adalah artis mainstream. Sangat ramai, kan?

Nak tak nak, untuk berjaya dalam lapangan dunia muzik, artis indie perlu ada plan dan strategi tersendiri. Perlu bekerja keras. Kalau tidak nama tidak akan naik. Apabila tidak dikenali, agak susah untuk mempromosikan diri. Kesannya, album dan lagu mereka tidak dapat dipasarkan dengan baik.

Contoh terdekat, ramai artis indie yang berkecil hati dengan sikap sesetengah stesen radio yang pilih kasih. Masalah yang timbul ialah di mana lagu artis indie tidak dapat diputarkan di radio kerana tidak mendapat permintaan daripada peminat. Apabila tidak ada permintaan, lagu agak susah untuk lagu diperdengarkan.

Walaupun terkilan kerana tidak mendapat sokongan, namun artis indie seperti IZ OIAM dan Amanda Imani rasa bertuah kerana masih ada lagi yang sudi memberikan mereka ruang untuk mempromosi diri.

Semalam, Budiey ada dijemput untuk hadir menyaksikan satu lagi detik bersejarah buat Amanda Imani dan IZ OIAM di mana album mereka akan dijual di Austin Chase Coffee.

Majlis memperkenalkan kedua artis indie ini diadakan di Austin Chase Coffee, Tingkat 2, The Gardens, Mid Valley City. Inisiatif ini turut mendapat sokongan daripada Voice Independent Music Awards (VIMA) di mana Austin Chase akan bekerjasama dengan Voice.my untuk mengenal pasti dan mengedarkan 2 album artis indie setiap bulan di kesemua cawangan Austin Chase.

Bagi Austin Chase, usaha ini adalah untuk menyokong artis indie dan salah satu saluran untuk memperkenalkan artis kepada pengunjung cafe yang berkonsepkan santai ini.

Untuk permulaan, Austin Chase memilih Amanda Imani dan IZ OIAM kerana percaya dengan bakat serta lagu-lagu mereka yang ada nilai komersial dan ada potensi untuk berjaya tapi kurang mendapat perhatian.

Kini, anda boleh mendapatkan album Amanda Imani dan album IZ OIAM berjudul Gonna Be Alright termasuk album terbarunya, Gemini boleh didapati secara eksklusif di kedai Austin Chase Coffee.

AMANDA TERKILAN

Usia Amanda Imani dalam industri muzik sudah pun setahun. Melancarkan album bahasa Melayu berjudul Amanda Imani dan album Inggeris berjudul Yeah secara serentak dan dijual secara digital pada November lalu. Namun, sayangnya album Amanda Imani masih kurang mendapat sambutan kerana kurang mendapat sokongan daripada stesen radio.

Walaupun single pertama Amanda berjudul Selamilah Cinta dimainkan di radio. Namun, untuk single kedua, stesen radio tidak mahu memutarkannya kerana kurang mendapat permintaan daripada pendengar.

Berbanding artis yang lahir daripada program realiti TV, Amanda Imani yang kini baru berusia 18 tahun sedikit terkilan kerana tidak diberi peluang. Mungkin kerana populariti artis program realiti TV lebih menonjol dan mendapat tempat di hati peminat, maka stesen radio lebih mengutamakan lagu-lagu single daripada penyanyi realiti TV.

Kesukaran untuk bertapak menjadi isu utama. Namun, perjuangan untuk menjadi penyanyi dan penulis lirik yang hebat perlu diteruskan.

Walaupun sibuk dengan promosi album, Amanda tidak lupa dengan tanggungjawabnya sebagai penuntut tahun kedua di Kolej Segi, Kota Damansara dalam jurusan Sains Komunikasi dan Psikologi.

Untuk itu, Amanda perlu bijak bahagi masa. Tak susah kerana Amanda hanya buat persembahan pada hari minggu sahaja. Jadi, pada hari biasa, Amanda tumpukan untuk study.

Dari sisi muzik, Amanda Imani selesa dengan genre pop dan R&B. Namun, dalam lagunya diselitkan juga pelbagai rentak untuk sesuaikan dengan semua golongan. Untuk masa akan datang, Amanda akan cuba buat lagu irama country pula.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Wanita Hari Ini Raikan Ulangtahun Ke-26 TV3

Gambar Ali Adik Siti Nurhaliza Bertunang