in , ,

AKU BUDAK BOY Neon Band Bakal Saingi Kejayaan Lagu Aku BUDAK GIRL Suekhaizhar

Lagu ‘Aku Budak Girl’ daripada bintang Tik Tok, Suekhaizhar telah menjadi antara lagu paling popular tahun ini dengan pencapaian video #1 paling trending di YouTube untuk satu tempoh yang panjang dan jumlah tontonan video lirik lagu tersebut sebanyak 3.8 juta setakat ini!

Kini, band pop rock meningkat naik Neon Band bakal menyaingi kejayaan lagu ‘Aku Budak Girl’ dengan versi rock baru yang ‘catchy’ berjudul ‘Aku Budak Boy’. Selain mengenengahkan susunan muzik yang baru, lagu ‘Aku Budak Boy’ turut menampilkan penyanyi baru Neon Band bernama Boy yang merupakan bekas peserta program ‘Suara Viral’ (SR) yang ditayangkan di saluran Astro Prima tahun lalu.   

Keputusan vokalis lama Neon Band, Ezwan Ariff yang melancarkan single solo berjudul ‘Misteri’ sejak Disember tahun lalu menimbulkan tanda tanya apakah dia sudah meninggalkan kumpulan itu. Kini, selepas tujuh bulan single solo Ezwan dilancarkan, persoalan itu terjawab apabila posisi Ezwan diisi penyanyi baharu, Boy. 

AKU BUDAK BOY Neon Band

Bermakna pembabitan Boy, 33, atau nama sebenarnya Mohd Firdhaus Mahadzir melengkapkan ‘line up’ baru Neon Band yang turut dianggotai Adam (gitar), Azuad Abdullah (dram), Firdaus (keyboard), Naim (bass) dan Syafique Sharif (gitar).

Menurut Boy, penyertaannya dalam Neon Band adalah secara tidak sengaja selain menyifatkan dia lebih cenderung bergerak bersama kumpulan berbanding secara solo.

“Selepas tamat program SV saya ada berjumpa Abang Lan Adlie. Ketika itu, dia mahu carikan saya single solo. Saya okay saja. Sudah ada beberapa lagu tapi berasakan tidak kena dengan jiwa saya. Saya pula kalau boleh memang nak bersama sebuah kumpulan. Jadi, dia pun menyokong hasrat saya itu.

“Kebetulan sebelum masuk SV, saya memang terlibat dengan sebuah band. Namun, bukan rezeki kami untuk bersama. Kemudian Abang Lan minta saya cuba cari band yang lain. Kebetulan berjumpa dengan Neon Band dan kami pun ‘jamming’ bersama. Ketika itu, saya tahu mereka sudah ada vokalis yang terlibat dengan projek solo.

“Dari situ, kami cuba buat lagu sendiri. Tapi, pelancaran lagu ciptaan sendiri ini kami tangguh dulu. Kami fikir daripada tidak buat apa-apa, baik cuba rakaman nyanyian semula atau ‘cover version’. Ketika kami persembahkan ‘cover version’ lagu Aku Budak Girl, Abang Lan cukup tertarik dan minta kami buat susunan muzik baru agar berbeza dengan lagu ‘Aku Budak Girl’,” katanya.

Bertitik tolak dari situ, lagu nyanyian semula ‘Aku Budak Boy’ yang diinspirasikan daripada lagu ‘Aku Budak Girl’ nyanyian Suekhaizhar dipertaruhkan sebagai single pengenalan Neon Band bersama penyanyi baru yang diterbitkan Nova Music.

Sekali gus, lagu yang mendapat sentuhan susunan muzik daripada Neon Band itu sendiri memberi nafas baharu kepada muzik mereka sebelum ini.

“Macam dikatakan, single pertama Neon Band bersama saya sebagai vokalis baru sepatutnya dilancarkan selepas sambutan hari raya lalu. Tapi, disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kami tidak sempat buat video muzik. Itulah yang membuatkan kami terpaksa tangguh dulu pelancaran single terebut.

“Jadi, pihak pengurusan Nova Music nak ketengahkan lagu Aku Budak Boy ini sebagai single pertama kami. Lagi pun Neon Band sudah lama tak keluar lagu baru. Jadi, nak gunakan fenomena lagu asal ini untuk kemunculan semula kami dan dalam masa sama memperkenalkan saya selaku vokalis baharu Neon Band.

“Kiranya, single Aku Budak Boy yang baru dilancarkan ini sangat berbeza dengan muzik Neon Band yang dikeluarkan sebelum ini. Malah, lagu baru yang ditangguhkan itu pun tidak sama. Dalam erti kata lain, lagu Aku Budak Boy ini memberi nafas baharu kepada muzik Neon Band sekali gus mampu menarik lebih ramai pendengar muzik tempatan. Harapnya, peminat boleh terima ‘wajah’ baharu Neon Band ini,” katanya.

AKU BUDAK BOY Neon Band

Menariknya, Boy berkata lagu ‘Aku Budak Boy’ itu adalah balasan kepada lagu ‘Aku Budak Girl’ yang mana liriknya lebih berunsur positif dengan memberi semangat kepada ‘Girl’ dan penyanyi Suekhaizhar yang mendapat kecaman warganet.

“Lirik asal lagu ini ada bahagian yang ditukar. Seperti semua tahu, lagu asal ini terkenal dan tular, tapi banyak juga dikecam dan dikeji.  Jadi, lirik lagu Aku Budak Boy ini adalah balas balik kepada lirik lagu Aku  Budak Girl yang memberi semangat pada ‘Girl’ dan penyanyi itu. Orang kata, semangat Boy pada Girl,” katanya.

Ditanya tidakkah dia dan Neon Band bimbang jika dikatakan menumpang populariti lagu lain, Boy mewakili kumpulan itu mengakui masing-masing akan mendapat ‘keuntungan’ dan kelebihan.

“Bagi saya dalam bidang muzik kena bijak untuk buat keputusan. Sebagai contoh, kalau kami keluar lagu lain ketika saya pula masih baru pasti lebih sukar untuk mendapat tempat. Jadi, apa boleh dikatakan kami memang menumpang populariti lagu yang viral ini, tapi secara positif. 

“Kami membawakan lagu ini dengan versi tersendiri yang memberikannya nafas baharu. Kalau lagu asal orang kecam, saya yakin untuk versi Aku Budak Boy ini orang akan suka. Malah, tanggapan mereka terhadap lagu ini pasti berubah. Sebenarnya kami nak bagi orang dengar kekuatan lagu ini. Secara tidak langsung, menerusi lagu Aku Budak Boy, lebih ramai orang lagi akan mendengar lagu Aku Budak Girl.

“Ramai cakap lagu ini mudah, tapi tak sebenarnya. Kami ambil masa dua hari untuk siapkan proses rakaman lagu ini,” katanya.

Antara lagu yang pernah dihasilkan Neon Band sebelum ini dan berjaya diterima peminat adalah ‘Cinta Yang Telah Mati’, ‘Hingga Akhir Nanti’, ‘Kaca’ dan ‘Jiwa’.

Lagu ‘Aku Budak Boy’ terbitan Nova Music telah dilancarkan hari Jumaat lalu dan kini boleh didengar di semua pelantar striming muzik. Video muzik lagu ‘Aku Budak Boy’ juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos di pautan ini. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sony Pictures Lancar Poster Rasmi Filem DON’T BREATHE 2

Lagu CORETAN PILU Nyanyian Awie Dipilih Jadi Lagu Tema Drama AYAHANDA