in ,

Ainan Tasneem Minta Maaf Selepas Kritik Pramugara di Instagram

Selepas tindakannya mempertikaikan skop kerja pramugara menjadi viral di media sosial, penyanyi Ainan Tasneem, 24, akhirnya mengakui kesilapannya itu.

Menerusi kenyataan di Facebook miliknya pada Ahad, penyanyi yang pernah hits dengan lagu Aku Suka Dia ini meminta maaf atas kesilapannya itu kerana tidak pernah terdedah dengan skop pekerjaan seorang kru penerbangan sebelum ini.

“Memang silap saya pertikaikan skop pekerjaan kru penerbangan dan saya hanyalah manusia biasa. Saya minta maaf kerana tidak terdedah dengan bidang tugas mereka.

“Saya faham ramai kre penerbangan tidak berpuas hati terhadap saya, saya minta maaf tetapi percayalah saya tidak pernah ada masalah dengan mana-mana pramugari atau pramugara sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Ainan bertindak menyelar seorang pramugara didakwa bersikap kasar apabila sepupunya meminta tolong untuk memasukkan beg ke tempat penyimpanan barang kerana tidak dapat mencapai ruang itu ketika mereka menaiki pesawat dari Hatyai, Thailand ke Kuala Lumpur.

Penyanyi itu turut mempertikaikan tugas kru penerbangan tersebut sehingga menerima kritikan hebat daripada pengikut laman sosial.

Menjelaskan situasi sebenar, Ainan berkata, luahannya itu sebenarnya kerana terkilan dengan cara pramugara berkenaan memberi respons apabila sepupunya meminta pertolongan secara baik.

“Apa yang saya cuba ingin sampaikan adalah cara pramugara tersebut respons kepada pelanggan. Jika benar itu bukan tugasnya kenapa tidak boleh bercakap baik-baik dan berikan senyuman, sejuk hati pelanggan dan kami boleh terima.

“Tetapi bila memberi respon sambil buat muka dan bercakap dengan kasar itu yang saya rasa tidak berapa bagus,” katanya seperti yang dilaporkan mStar online.

Ainan juga berkata, dia ketika itu tidak dapat membantu sepupunya itu kerana tempat duduk berlainan namun apabila melihat tindakan pramugara berkenaan dia cuba untuk menghulurkan bantuan.

“Kalau saya ada di situ memang saya sudah tolong masukkan beg dalam tempat simpanan dan tidak perlu meminta bantuan atau menyusahkan pramugara berkenaan.

“Kebetulan pramugara berkenaan berdekatan dengan sepupu saya dan meminta tolongnya. Apabila mendengar responsnya saya hendak bangun dan membantunya tetapi makcik saya bersuara terlebih dahulu dan baharulah pramugara berkenaan menolongnya,” jelas Ainan.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Menangi Pass Eksklusif Bertemu Lee Min Ho di Restoran KyoChon

Sherry Al-Hadad Ingin Kurus Kerana Cinta?