in ,

Ahmad Fedtri Yahya Kembali Bersiaran di MHI Selepas Sebulan Cuti Sakit

Hampir sebulan berehat selepas ditimpa kemalangan kecil apabila terjatuh dari basikal, bulan lalu, pengacara dan penulis lirik, Ahmad Fedtri Yahya kembali memulakan tugas sebagai pengacara Malaysia Hari Ini (MHI), pagi tadi.

Biarpun cuti sakit masih berbaki beberapa hari lagi, Ahmad Fedtri memberitahu, dia tidak kisah kembali bekerja berikutan keadaannya beransur pulih, selain rindu untuk muncul di televisyen (TV).

“Sepatutnya, saya kembali bekerja dalam dua atau tiga hari lagi. Tetapi saya sengaja masuk awal disebabkan keadaan sudah mengizinkan.

“Lagipun doktor meminta saya banyak membuat latihan bercakap untuk memulihkan kembali kesan pembedahan pada bahagian tulang pipi yang patah selepas kemalangan, bulan lalu.

“Menurut doktor, kalau tidak berlatih, mungkin boleh memberi kesan tidak baik kepada kemahiran berkomunikasi saya iaitu untuk tempoh jangka panjang.

“Pada awalnya, majikan risau juga. Tapi selepas diyakinkan dan melihat saya bersemangat untuk bekerja, mereka mengizinkannya. 

Alhamdulillah, semuanya lancar pagi tadi,”

– Ahmad Fedtri Yahya
Ahmad Fedtri Yahya

Ahmad Fedtri menambah, insiden kemalangan itu menghadiahkan hikmah buatnya. Selain mengenali erti persahabatan, dia dapat meluangkan masa yang lebih bersama keluarga tercinta.

“Ketika dirawat di hospital, saya menerima kunjungan ramai teman sehingga ada yang saya terpaksa tolak berikutan prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan kehadiran ramai tetamu dalam satu masa.

“Saya hargai keprihatinan mereka dan erti persahabatan ditunjukkan.

“Selain itu, apabila banyak masa diluangkan di rumah, anak-anak menjadi semakin rapat. Pada mulanya mereka agak pelik melihat bapa mereka sentiasa di rumah.

“Sebelum ini, saya selalu sibuk dengan tugasan harian, menjadi pengacara majlis dan ke luar negara atas tuntutan kerja. Disebabkan seronok melihat saya sentiasa di rumah, anak bongsu saya sering meminta untuk tidur bersama saya,”

– Ahmad Fedtri Yahya
Ahmad Fedtri Yahya

Walaupun dalam keadaan diri yang kurang sihat, itu bukanlah penghalang buat pengacara berusia 39 tahun ini untuk terus berkarya.

“Hendak kata berehat sepenuhnya, tidaklah. Alhamdulillah, tawaran untuk menulis lirik masih diterima.

“Sepanjang hampir sebulan saya berehat, sempat saya menyiapkan sebuah buku travelog berjudul Dari Cizre ke Sanliurfa. Buku ini menceritakan pengalaman saya ketika merakamkan program Jejak Rasul.

“Buku ini akan menemui pembaca, akhir bulan ini,” katanya yang tidak serik menunggang basikal.

– Ahmad Fedtri Yahya

Pada insiden bulan lalu, Ahmad Fedtri patah tulang pipi dan dahi selain bibir koyak serta hidung beralih kedudukan selepas terjatuh dalam kejadian di tempat letak kereta di Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya.

*Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Pelakon Bollywood Sana Khan Nekad Tinggalkan Dunia Hiburan

Daniel Sher dari Johor Dinobat Juara Bintang Ai @ RTM 2020