in , ,

Adira Suhaimi Kembali Dengan Lagu Soundtrack Terbaru Berjudul KESEMPATAN BAGIMU

Tanpa gagal, penyanyi yang lahir dari pertandingan realiti popular Akademi Fantasia, Adira Suhaimi terus diberi kepercayaan menyanyikan lagu runut bunyi. Ketika ini, jika dihitung sudah lebih 10 lagu runut bunyi pernah dinyanyikannya.

Selepas lebih sedekad dalam industri muzik tempatan, tuah dan rezeki untuk ibu kepada tiga orang cahaya mata Anggrek, 3, Asan, 2 dan Anggun, 7 bulan ini tidak pernah salah alamat. Terutamanya apabila membabitkan lagu yang menjadi runut bunyi drama rantaian. 

Terbiasa dengan jolokan ‘Ratu Soundtrack’, penyanyi dengan nama sebenar Siti Adira Suhaimi ini hadir sekali lagi dengan sebuah lagu runut bunyi terbaru berjudul KESEMPATAN BAGIMU.

Lagu terbitan Nova Music Malaysia ciptaan gandingan komposer-komposer hangat masakini, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh bakal melatari drama 28-episod berjudul ‘Tercipta Satu Ikatan’ di slot MegaDrama Astro Ria bermula 29 Disember ‘20. Lirik lagu tersebut pula hasil karya Ikhwan Fatanna bersama Arisz Abd Rahman.

“Ada ketika saya rasa bagai ada rahmat tersembunyi dengan rezeki yang dikurniakan Tuhan hingga kini. Terutama terus menjadi pilihan menyanyikan lagu runut bunyi untuk drama TV. Tapi dalam hati kadang terbit juga rasa, orang tak jemu ke lagi lagi Adira.

“Di saat ramai bakat-bakat baru dan yang sedia ada bersaing di pasaran, rezeki untuk menyanyikan lagu runut bunyi masih menyebelahi saya. Saya lihat semua itu daripada sudut positif sekali gus jadi penghormatan peribadi buat diri ini.

“Tahun ini saja sudah dua lagu runut bunyi saya nyanyikan. Sebelum ini, saya menyanyikan lagu “Maaf” untuk drama ‘Maaf Tak Indah’ yang menghiasi slot Samarinda TV3 pada bulan Februari lalu,”

– Adira Suhaimi

Buah tangan terbaru Adira siap dirakam bulan lalu. Ia sebenarnya kerjasama kali keempat Adira dengan Ikhwan Fatanna.

“Kesempatan Bagimu” menjadi single solo ketiga kerjasamanya bersama Nova Music selepas lagu-lagu hit, “Pujaan Hati” dan “Maaf”.

“Sebelum Kesempatan Bagimu, saya terlebih dahulu mencipta keserasian dengan lagu karya Ikhwan Fatanna sejak dari lagu Pujaan Hati, Takdir Tercipta dan juga Maaf. Saya juga secara peribadi senang bekerjasama dengannya

“Lagu baru ini pun dirakam tanpa ambil masa yang panjang. Selain sudah faham rentak kerja dengan komposer, saya juga sudah dapat lagu ini lebih awal untuk berlatih.

“Kebetulan lagu baru ini pun berentak balada seperti yang sebelumnya. Tak saya nafikan jiwa ini lebih terarah menyanyikan lagu berentak balada dan melankonlik. Mungkin juga dalam ketegasan diri ini, kelembutan jiwa itu masih terserlah,”

– Adira Suhaimi
Adira Suhaimi Kembali Dengan Lagu Soundtrack Terbaru Berjudul KESEMPATAN BAGIMU

Kata Naib Juara Akademi Fantasia musim kelapan itu, dia secara peribadi tidak menganggap gelaran Ratu Soundtrack itu sebagai perkara membebankan. Ia jadi nilai tambah. 

“Kalau ada yang suka dengan lagu nyanyian saya melatari drama di kaca TV itu sudah cukup baik. Lagu soundtrack ini menyuntik dan menjentik emosi penonton dan jika ada yang terus memberikan gelaran Ratu Soundtrack kepada saya, saya okey saja. 

“Saya bersyukur dengan pengiftirafan sebegitu. Bila difikir daripada skop yang lebih luas, ia semua peluang dan juga rezeki untuk saya kekal relevan di persada seni. 

“Untung apabila lagu dipilih jadi runut bunyi kerana dalam tempoh siaran drama itu di kaca TV atau pelantar digital, ia akan terus dimainkan dan secara tak langsung akan cepat diingat. Jadi, selain radio dan laman maya, TV juga jadi ruang promosi yang baik,”

– Adira Suhaimi

Tambah wanita kelahiran Ranau, Sabah ini, dia secara peribadi menggemari lagu “Kesempatan Bagimu”. 

“Selama menceburi dunia seni, saya sudah terbiasa untuk jatuh cinta dengan lagu nyanyian sendiri. Itu langkah pertama sebelum saya ambil mood menyerap emosi ketika lagu baru dirakamkan atau saat membuat persembahan.

“Tak kenal maka tak cinta. Malah, peluang bekerjasama dengan komposer sedia ada dan yang baru juga menjadi ruang terbaik untuk saya mencabar diri dan terus belajar menyanyi. 

“Lebih 10 tahun jadi artis bukan alasan untuk saya terus memeluk tubuh dan rasa selesa dengan apa yang ada. Saya terbuka dengan apa saja yang boleh memberi pembelajaran baru dalam diri. 

– Adira Suhaimi

Dalam perkembangan lain, Adira juga sejak awal tahun ini menceburi perniagaan menjual barangan ‘bundle’ dan vintaj.

“Saya selesa mencuba nasib dalam bidang baru ini. Malah, kemungkinan saya akan buat siaran langsung menjual barang di laman sosial. Tak perlu malu pun, janji rezeki halal. Tak kisahlah siapapun kita. 

“Di saat kita diuji dengan pandemik COVID-19 ini, ramai yang terkesan dan melibatkan diri dengan pelbagai perniagaan alternatif untuk bangkit semula meneruskan survival,”

– Adira Suhaimi

Single terbaru “Kesempatan Bagimu” Adira Suhaimi bakal dilancarkan pada 25 Disember 2020 dan boleh distrim di semua pelantar muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, Joox, YouTube Music, KK Box dan Deezer pada hari tersebut.

Siaran perdana video muzik rasmi single tersebut juga boleh ditonton pada hari yang sama jam 9 malam di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’ di pautan ini https://youtu.be/knMLdKVtrQY

Adira Suhaimi KESEMPATAN BAGIMU
Adira Suhaimi KESEMPATAN BAGIMU

What do you think?

73 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Liza Hanim Kini Bergelar Usahawan, Lancar Minyak Wangi Jenama Scent of Hope

Misi MIKROFON IMPIAN Bantu Ringankan Beban Kewangan Kembali di Musim Kedua