in ,

AC Mizal Hos Akademi Fantasia 6 Sarimah Hos Diari AF6

Pelakon dan pengacara AC Di Sini, AC Mizal akhirnya dipilih sebagai hos konsert Akademi Fantasia musim ke-6. Satu keputusan mengejut Budiey kira kerana apakah mampu AF akan lebih mantap di bawah teraju AC Mizal? Mantap atau tidak, korang kena tengok la AF6 bulan depan. Yang pasti, AC Mizal boleh buat lawak yang lain dari lawak Aznil dan Budiey tak pasti samada AC Mizal ni pandai ‘berlakon’ ketika mengumumkan penyingkiran pelajar.

Tahniah AC Mizal! Jangan lupa berguru dulu dengan abang Aznil kita tu ya!

Ini adalah pilihan muktamad Astro Ria dan mengakhiri semua spekulasi mengenai siapa yang menggantikan tempat Aznil Haji Nawawi. Korang suka atau tidak, nampak gayanya AF6 akan banyak dirombak dan berlainan dari apa yang telah dibuat oleh Aznil. Cara AC Mizal memang lain sikit…

Sarimah Ibrahim pula terpilih mengendalikan slot Diari AF yang ke udara di Astro Ria pada setiap malam, sepanjang AF6 berlangsung selama 3 bulan bermula Mac ini. Sebelum ini, Aznil mengendalikan kedua-dua bahagian iaitu Konsert Mingguan dan juga Diari AF.

Pengumuman ini dibuat dalam program Fail Sulit AF yang ke udara secara langsung di Astro Ria dari Studio 1, Astro, Bukit Jalil, ketika ini. Pemilihan AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 37, nyata menepati ramalan ramai pihak malah memenuhi cadangan Aznil sendiri yang berpendapat AC antara calon paling layak menggantikan tempatnya.

AC, anak kelahiran Muar, Johor, mula membabitkan diri dalam dunia seni pada tahun 1991 dengan mengganggotai kumpulan rap 4U2C. Selepas kumpulan itu berpecah, AC lebih menumpukan kariernya terhadap bidang lakonan menerusi siri Gerak Khas dan seterusnya berlakon filem seperti Baik Punya Cilok serta Cuci.

Bakat AC juga begitu menyerlah di pentas teater apabila beraksi dalam muzikal Puteri Gunung Ledang bersama Datin Seri Tiara Jacquelina, Adlin Aman Ramlie dan Steve Rahman Huhges. Di bidang pengacaraan pula, kredibiliti AC semakin menonjol dalam rancangan AC Di Sini selain menjadi penyampai radio Era. Sementara itu, pemilihan Sarimah, 29, juga memenuhi citarasa ramai penonton kerana dia juga antara calon yang disebut-sebut tersenarai sebagai hos AF6.

Kebolehan Sarimah dalam bidang pengacaraan tidak dapat disangkal lagi kerana beliau sudah terbukti mengendalikan banyak acara besar bagi peringkat kebangsaan dan luar negara seperti festival filem dan anugerah muzik.

Sarimah yang meraih gelaran Anugerah Pengacara Terbaik dalam Anugerah Skrin 2005, pernah mengendalikan program seperti Anugerah Juara Lagu 2003, Anugerah Juara Lagu 2004, Galaksi Ikon Asean, Ikon Malaysia dan sekarang, Fail Sulit AF.

Artis berbintang Aquarius kacukan Melayu-Irish ini dilahirkan pada 1979 di Dublin, Ireland. Beliau pernah mendapat pendidikan awal di Emirates International School, Dubai sebelum menerima kelayakan O-Level dan A-Level. Sarimah juga mampu bertutur dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis.

Di samping itu, dia pernah membintangi filem MX3, Puteri Impian, Gerak Khas The Movie dan Mr Cinderella serta merakamkan sebuah album dan popular dengan lagu Damai serta Kini Kau Tiada.

Sebelum ini, beberapa selebriti popular dikatakan menjadi perhatian Astro Ria untuk menggantikan tempat Aznil seperti Fauziah (Ogy) Datuk Ahmad Daud, Zainal Alam Kadir, Linda Onn, Raja Azura dan Farah Fauzana. [sumber]

[tags]hos af6, ac mizal hos af6, akademi fantasia 6, pelajar af6, ulasan konsert af6, Fauziah (Ogy), Datuk Ahmad Daud, Zainal Alam Kadir, Linda Onn, Raja Azura, Farah Fauzana[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Phillip Jusof Pelakon Filem Anak

Profile Zeyna Pelakon Drama Bersiri KAMI