in , , ,

A. Nayaka Bergabung dengan SonaOne & YHB Sleepsalot dalam Single ORANG LAIN

A. Nayaka Bercerita Tentang Perubahan dalam Hidupnya dalam “Orang Lain”

Seorang ahli falsafah pernah berkata, satu-satunya perkara yang tetap dalam hidup ini adalah perubahan. Ternyata, penyanyi yang kini sedang mencipta nama di Indonesia, A. Nayaka sedar akan perkara ini. Seiring dengan masa berlalu serta lebih banyak pengalaman hidup yang diperolehi, dia mengakui bahawa dia bukan lagi orang yang sama. Itulah naratif yang dikongsi olehnya menerusi single baharunya berjudul “Orang Lain” yang dilancarkan menjelang pertengahan tahun 2021.

“Kadang-kadang, orang menganggap bahawa perubahan itu berlaku jika seseorang telah berubah atau ketika seseorang itu telah melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan mereka dan kebiasannya adalah sesuatu yang buruk. Namun begitu, menerusi lagu ini apa yang saya ingin ceritakan adalah mengenai sisi positif perubahan. Berubah menjadi orang lain maksudnya berkembang menjadi diri anda yang baharu dan mencari versi diri anda yang lebih baik dan sudah pastinya itu adalah perkara yang bagus,” katanya mengenai makna di sebalik lagunya yang catchy itu.

Apa yang pasti, Nayaka tidak sendirian dalam menyampaikan mesej mengenai perubahan ini dan turut berkolaborasi dengan dua bakat hip-hop dari negara jiran, iaitu SonaOne dari Malaysia dan YHB Sleepsalot dari Singapura. Ternyata kisah kolaborasi mereka bertiga juga cukup menarik. 

“Pada mulanya Sona menghantar rentak kepada saya, yang kemudian saya isi dengan cangkuk (hook) dan satu bait kata (verse). Rupa-rupanya, Sona juga mengirim YHB rentak yang sama dan YHB pun hanya mengisinya dengan satu bait kata. Sona kemudian terfikir untuk menggabungkan kesemuanya. Sesungguhnya kolaborasi ini sangat organik dan lancar sekali,” ujar Nayaka menjelaskan permulaan proses kolaborasi tiga negara ini.

A. Nayaka Feat. Sonaone &Amp; Yhb Sleepsalot Bergabung Dalam Single Orang Lain

Meskipun sering berkarya dalam bahasa Inggeris, Nayaka masih tetap mengekalkan penuturan dwibahasa. Namun begitu, untuk kali ini dia lebih banyak memberi penekanan pada bahasa ibundanya iaitu bahasa Indonesia. “Sebenarnya, penggunaan Bahasa Indonesia bukanlah pilihan yang disengajakan.  Ia berkait rapat dengan mesej dalam “Orang Lain”.

Dulu kebanyakan muzik yang saya buat biasanya dalam bahasa Inggeris, tetapi kali ini saya masih tetap menggunakan rentak trap/hip-hop serta berusaha memasukkan lebih banyak bahasa Indonesia. Intipatinya, tidak kira bagaimanapun kita berubah, pada dasarnya kita masih tetap diri kita sendiri. Itulah mesej utama yang ingin saya sampaikan. Namun sejujurnya, saya hanya menyatukan mesej tersebut setelah lagu itu siap,” ujarnya sambil tertawa.

A. Nayaka Feat. Sonaone &Amp; Yhb Sleepsalot Bergabung Dalam Single Orang Lain

Bercerita lebih lanjut mengenai pembikinan lagu “Orang Lain”, Nayaka memberitahu bahawa perubahan positif yang dialaminya adalah dia lebih bebas dalam berkarya. Dia berkata, “Saya menggarap sebahagian besar aspek lagu ini. Mixing dibuat oleh Sona, manakala mastering dibuat oleh saya dengan bantuan rakan sekerja. Saya membuat cover art dengan seorang rakan lain, begitu juga dengan video liriknya.

Sebenarnya saya gembira kerana tidak banyak pihak ketiga yang terlibat dalam projek ini, kerana ia memberi peluang kepada saya untuk benar-benar terlibat dalam semua aspek. Mungkin ini adalah projek pertama di mana saya terlibat dalam hampir semua perkara.”

Menariknya mengenai lagu “Orang Lain”, ia kini berada di #31 carta playlist Spotify Viral 50 Malaysia. Selain itu, lagu berkenaan mendapat sambutan hangat di Malaysia menerusi platform TikTok – Challenge iaitu Freestyle Challenge Orang Lain yang dimulakan sendiri oleh Nayaka, manakala muzik untuk lagu itu pula meraih jumlah penggunaan yang tertinggi digunakan oleh orang ramai di platform berkenaan sehingga ia menjadi viral sejak 14 Jun lalu.

Selain itu, video lirik “Orang Lain” yang dimuat naik di saluran YouTube A. Nayaka turut mendapat sambutan hangat dengan kebanyakan penonton adalah dari Malaysia. 

Untuk lebih menghayati lagu dan bait-bait lirik “Orang Lain”, jadilah saksi kepada perkembangan dan sentuhan emas A. Nayaka dengan mendengar lagu yang turut menampilkan YHB Sleepsalot dan SonaOne di semua platform muzik digital pilihan anda.

A. Nayaka Feat. Sonaone &Amp; Yhb Sleepsalot Bergabung Dalam Single Orang Lain

Sekilas Tentang A. Nayaka

Rapper muda ini dilahirkan di Jakarta pada 2 Ogos 1994 dengan nama penuh Ariel Nayaka. Masa remajanya dihabiskan di bandar Houston, Texas, Amerika Syarikat, di mana minatnya kepada muzik hip-hop bermula. Walaupun pernah terlibat dalam muzik rock, hip-hop tetap menjadi pilihannya hingga sekarang.

Karier A. Nayaka dalam industri musik rap dan hip-hop bermula dengan album “Curriculum Vitae” yang dilancarkan pada tahun 2016. Kemudian pada tahun 2017, dia melancarkan mini album “Colorblindflo” yang mengandungi 6 buah lagu berjudul “Escape”, “Powder Pablo”, “For Real Williams”, “Midas Touch”, “Hunnid MF” dan “Hunnid On Dash ”. Manakala albumnya yang berjudul “Cadence Blue” (2018) menerima pencalonan bagi “Album of the Year” dalam Indonesia Music Awards 2018.

Pada tahun 2019, A. Nayaka secara rasmi bergabung dengan Def Jam South East Asia, salah satu label rakaman di bawah syarikat Universal Music Group khusus untuk wilayah Asia Tenggara. Def Jam merupakan syarikat label muzik hip-hop yang sangat terkenal di Amerika Syarikat dan sering menerima dan merekrut pemuzik hip-hop dan rapper terkenal seperti NAS, A Tribe Called Quest, Big Sean dan Kanye West.

A. NAYAKA

YouTube: A. Nayaka

Facebook: https://www.facebook.com/nayakamusic/

Instagram: @arielnayaka

Twitter: @ArielNayaka

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kita Teguh Bersama | 19

Tentang Lagu KITA TEGUH BERSAMA, Ini Ikrar Artis Rocketfuel & Dayang Nurfaizah

Oura | 20

Oura Asia Perkenal Pelitup Muka Kanak-Kanak Yang Disematkan Dengan Bahan Antimikrob