in , ,

Isu Ejen Penjerat Dalam Drama Gerak Khas

Tugasan membanteras jenayah oleh PDRM demi keselamatan negara yang dikongsikan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi program Gerak Khas di TV2, setiap Jumaat, pukul 8.30 malam sememangnya dinantikan.

Drama berkaitan isu ini mengandungi dua episod menarik iaitu pada 27 September dan 4 Oktober depan yang berkisar tentang kisah penipuan serta pemalsuan pakej pelancongan yang melibatkan wang tunai para pelanggan.

Menerusi dua episod ini, penonton dapat berkongsi pengajaran tentang kisah ditonjolkan dalam watak utama iaitu Ramli merupakan penolong pengurus di sebuah syarikat pelancongan. En. Basir yang merupakan pengurus syarikat sering menasihati Ramli tentang sikapnya yang suka berhutang. Inspektor Jeslina berurusan dengan En. Basir untuk urusan tempahan tiket ke luar negara. 

babak dalam Gerak Khas 2019

En. Basir dinasihati doktor untuk berehat seketika akibat sakit jantung yang menyerangnya baru-baru ini. Beliau mengarahkan Ramli untuk mengambil alih tugas sebagai ketua syarikat. Ramli mula mengambil kesempatan menggelapkan wang syarikat semasa mengambil tempahan percutian pelanggan. 

Pelbagai helah digunakan Ramli termasuk ketika berurusan dengan Inspektor Jeslina serta seorang kenalan lamanya, Naidu. Ramli berang apabila seorang kakitangan syarikat iaitu Nora dapat mengesan tempahan palsu yang dbuat Ramli. Beberapa berita tentang kejadian penipuan pakej percutian oleh ejen pelancongan mula menarik perhatian pihak polis. 

Inspektor Jeslina segera membuat semakan tempahannya dan terkejut apabila mendapati tempahan tiket penerbangannya menghadapi masalah. En. Basir bersemuka dengan Ramli bagi mendapatkan penjelasan selepas menerima aduan Inspektor Jeslina. Ramli pula mengugut untuk membocorkan rahsia hubungan sulit En. Basir bersama Nora pada isteri En. Basir. 

poster Gerak Khas 2019

Nora tertekan dengan ugutan tersebut sehinggakan beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan di syarikat tersebut. En. Basir bersemuka dengan Ramli untuk meminta penjelasan dan tiba-tiba beliau rebah selepas diserang sakit jantung.

Kesinambungan episod ‘Ejen Penjerat’ membawa kepada situasi dimana Inspektor Jeslina terkejut apabila mendapat berita bahawa En. Basir telah meninggal dunia selepas terkena serangan sakit jantung ketika bertemu Ramli. Ramli dilantik oleh ahli lembaga pengarah syarikat untuk menerajui syarikat selepas kematian En. Basir.

Nora mengesyaki bahawa Ramli merupakan punca En. Basir tertekan dan diserang sakit jantung. Beliau juga tahu taktik penipuan yang dilakukan Ramli terhadap pelanggan syarikat pelancongan tersebut. Nora ditangkap ketika beliau menceroboh masuk ke pejabat untuk mendapatkan maklumat palsu yang dilakukan Ramli. 

Nora berterus terang tentang niatnya dengan pihak polis dan lega apabila Inspektor Jeslina muncul kerana mereka pernah berurusan di pejabat sebelum ini. Ramai pelanggan syarikat mula menyedari yang pakej percutian mereka adalah palsu. Ramli mula memikirkan cadangan untuk melarikan diri ke Australia. 

Pihak polis memanggil Ramli untuk mendapatkan maklumat lanjut. Ramli berurusan dengan seseorang untuk mendapatkan dokumen perjalanan ke Australia. Sebenarnya individu tersebut merupakan seorang detektif yang menyamar untuk memperdayakan Ramli. Beliau mengambil kesempatan pada saat akhir untuk menipu lebih ramai mangsa dan mendapatkan tunai daripada mereka dengan segera. Ikuti kesudahannya di TV2.

Watak utama siri ini Norman Hakim, Abby Abadi, Datuk Yusof Haslam, Zul Ariffin dan Erra Fazira.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gara-Gara Terlalu Penat, Aishah Hampir Pitam Di Belakang Pentas ABPBH32

Kedah, Lokasi Terakhir Karisma Jelajah Suria 2019