in ,

Gara-Gara Terlalu Penat, Aishah Hampir Pitam Di Belakang Pentas ABPBH32

Penyanyi terkenal, Aishah, mengaku hampir pitam sebelum mengadakan persembahan pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-32, Ahad lalu, kerana kepenatan.

Beliau yang mendapat perhatian ramai dengan persembahan memukau pada acara terbabit mendedahkan, sejak kebelakangan ini dirinya memang sibuk dengan pelbagai komitmen seni.

“Kebelakangan ini, memang saya agak sibuk. Sebelum malam kemuncak ABPBH 32, saya ada persembahan di Singapura. Penerbangan balik ke ibu negara adalah pada Ahad dan saya mendarat jam 11.30 pagi. Seterusnya, jadual penuh dengan ‘soundcheck’ dan raptai untuk acara berkenaan. Selepas itu, kami bergegas pulang ke hotel untuk bersiap.

“Lucunya, sekerat jalan, baru saya tersedar telefon bimbit tertinggal di lokasi acara. Lintang pukang jadinya sampai kena pusing balik. Nasib baik saya jumpa telefon itu semula. Sampai sahaja di hotel dan selepas selesai mandi serta solat, saya bersolek dan menyarung pakaian untuk berjalan di permaidani merah ABPBH 32.

“Di belakang pentas, ketika menunggu giliran untuk menjayakan persembahan, saya dan suami yang setia menemani sama-sama terlelap. Maklum sahaja, artis vintaj nak turut serta acara orang muda, sampai boleh terlelap. Apabila bangun dari tempat duduk kerana giliran hampir tiba, saya terasa seperti hendak pitam kerana terlalu penat,” katanya.

Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin, 54, berkongsi perkara itu menerusi laman sosial Instagramnya, semalam.

Pada persembahan berkenaan, Bintang Paling Popular ABPBH 1990 yang digelar ‘The Living Legend’ itu menyampaikan lagu Kemaafan Dendam Yang Terindah dan Kau Pergi Tanpa Pesan.

PEMENANG Anugerah Bintang Paling Popular, Mira Filzah, menerima trofi daripada Aishah pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH Ke-32 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. – NSTP/Surianie Mohd Hanif

Calon Top 5 kategori penyanyi Wanita Popular DuitNow bersama-sama Siti Nordiana, Wany Hasrita, Ara dan Stacy itu berkata, suaminya turut menyuntik semangat untuk beliau memberikan persembahan terbaik di pentas ABPBH 32.

“Seminit sebelum naik ke pentas, abang (panggilan untuk suami) nampak saya kurang selesa sebab pelbagai perkara terjadi. Lalu, dia membisikkan ke telinga sambil mengimbas kembali memori malam kemuncak Gegar Vaganza musim keempat. Katanya, jika saya boleh menyanyi habis-habisan pada pertandingan berkenaan, kenapa tidak pada ABPBH 32?

“Bisikan itu seperti satu suntikan semangat untuk saya. Dalam hati dan minda, saya berkata sendiri, ayuh gegarkan malam ABPBH 32 dengan memberikan persembahan paling baik,” katanya yang bersyukur apabila persembahan itu mendapat pujian ramai.

Aishah turut diberikan penghormatan menyampaikan trofi Bintang Paling Popular ABPBH 32 yang dimenangi oleh Mira Filzah.

Sumber: Berita Harian

What do you think?

73 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Senarai 13 Nama Peserta Gegar Vaganza Musim Ke-6

Isu Ejen Penjerat Dalam Drama Gerak Khas