Pasangan glamor tanah air, Fasha Sandha dan Aidil Aziz, kini bukan sekadar bintang di layar perak, malah melangkah ke dunia keusahawanan F&B dengan penuh keyakinan. Pada 6 Ogos 2025 lalu, Budiey sempat hadir menyaksikan pembukaan dan pelancaran rasmi cawangan ke-208 Kopi Saigon yang terletak di MyTOWN Cheras, sekali gus mencatat sejarah sebagai ‘signature outlet’ pertama jenama ini dalam sebuah pusat beli-belah. Tahniah Budiey ucapkan buat Fasha & Aidil.
Menariknya, ini merupakan cawangan kedua Kopi Saigon yang dimiliki bersama selebriti selepas kejayaan Datin Anne Ngasri membuka cawangan pertamanya. Tetapi kali ini, sentuhan Fasha dan Aidil menjadikan ia sebuah projek yang cukup peribadi — bukan sekadar menumpang nama, tetapi mereka turun padang menguruskan perniagaan dari awal hingga akhir.
Dari Pelanggan Setia Kepada Pemilik Bersama
Fasha mendedahkan dia mula jatuh hati dengan Kopi Saigon sejak tahun 2021, ketika pertama kali mencuba rasanya. Baginya, kopi ini unik kerana tidak memualkan dan tidak menyebabkan sakit kepala, berbeza dengan sesetengah kopi lain di pasaran.
“Bermula sebagai pelanggan biasa, saya lama-kelamaan jadi peminat tegar. Setiap kali ada sambutan hari lahir atau majlis khas, saya akan pesan Kopi Saigon. Malah, di mana-mana majlis yang saya hadiri, orang akan cari kopi ini dulu,”
– Fasha
Pertemuan dengan pengasas Kopi Saigon, Asyraf Kamal, membuka lembaran baharu apabila beliau menawarkan peluang untuk Fasha dan Aidil membuka cawangan mereka sendiri. Setelah membuat kira-kira, pasangan ini melabur sekitar RM200,000 menggunakan modal sendiri. Peluang mendapatkan lot strategik di MyTOWN Cheras pula datang tepat pada masanya — dan tanpa berlengah, mereka terus menyambar tawaran itu.
Sokongan Padu Dari HQ, Usaha Bersama Dari A Sampai Z
Bukan sekadar menyerahkan urusan kepada orang lain, Fasha dan Aidil membuktikan mereka serius dalam perniagaan ini. Mereka menerima latihan barista dan kursus pengurusan outlet, malah berhasrat untuk sendiri menyediakan minuman kepada pelanggan pada hari-hari tertentu.
“Kami terlibat dari A ke Z. Dari strategi pemasaran, mencari barista, menjaga kualiti servis hingga ke operasi harian — semua kami sentuh. Saya sendiri ada pengalaman uruskan salon selama lapan tahun, jadi saya tahu betapa pentingnya disiplin dalam bisnes,”
– Fasha
Aidil pula mengakui jatuh cinta dengan Peach Tea Kopi Saigon, dan lebih teruja apabila mengetahui ia adalah jenama tempatan.
“Produk mereka konsisten, dan boleh dinikmati semua lapisan umur. Asyraf sangat faham kehendak pasaran. Gabungan idea kreatif beliau dan semangat kami buatkan saya yakin untuk melangkah jauh,” kata Aidil penuh yakin.
Kisah Inspirasi Dari Pengasas Kopi Saigon
Majlis pelancaran turut dihadiri Asyraf Kamal dan isterinya, Fana Rahim, yang menjadi tulang belakang kejayaan Kopi Saigon sejak ia diasaskan. Asyraf menceritakan bagaimana jenama ini bermula daripada sebuah booth kecil pada 2021 dengan misi membawa pengalaman kopi Vietnam kepada rakyat Malaysia.
“Kami nak semua orang rasa kopi premium pada harga mampu milik. Dari satu booth, kini lebih 200 outlet aktif. Kolaborasi dengan Fasha dan Aidil ini istimewa kerana mereka bukan sekadar selebriti, tetapi pemilik yang komited. Kami yakin kerjasama ini akan membawa Kopi Saigon ke seluruh Malaysia dan Asia Tenggara,” jelas Asyraf.
Misi Besar: 500 Cawangan Dalam Dua Tahun
Kopi Saigon kini memasang impian besar untuk membuka 500 cawangan dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang. Strateginya jelas — gabungan kualiti produk, strategi pemasaran agresif, dan kerjasama dengan ikon terkenal seperti Fasha dan Aidil menjadi resipi utama kejayaan.
Apa Kata Budiey?
Budiey rasa langkah Fasha dan Aidil ini bukan sekadar strategi menambah pendapatan, tapi juga simbol transformasi artis Malaysia yang kini berani keluar dari zon selesa. Mereka bukan setakat jadi wajah promosi, tapi benar-benar turun padang belajar dan bekerja dalam bisnes. Ini memberikan mesej penting kepada artis lain — pengaruh dan populariti boleh jadi modal besar dalam dunia perniagaan, tapi kejayaan hanya datang bila ada komitmen dan disiplin.
Kopi Saigon pula bijak memanfaatkan kolaborasi ini untuk mengukuhkan jenama di pasaran. Kalau mereka terus konsisten dan inovatif, tak mustahil visi 500 cawangan akan jadi kenyataan — malah mungkin lebih awal dari sasaran.
Kalau Budiey nak simpulkan, kolaborasi ini ibarat campuran sempurna antara rasa kopi yang memikat dan aura selebriti yang memukau. Gabungan yang boleh bikin orang bukan sahaja nak minum kopi, tapi nak rasa pengalaman keseluruhan jenama ini.