in , ,

Zayne Pelapis Baru Inteam

Setelah 20 tahun bergiat di dalam industri muzik tanahair, kumpulan nasyid Inteam bakal mempunyai pelapis mereka sendiri iaitu kumpulan baru empat orang anak muda yang menamakan diri mereka ZAYNE.

Kumpulan Zayne baru-baru ini telah memeterai perjanjian pengurusan Artis dan penerbitan lagu bersama Inteam melalui syarikat Inteam Records Sdn Bhd atau dikenali sekarang dengan nama Inteam Digital sebagai artis baru mereka.

Kumpulan baru ini terdiri dari empat orang anak muda iaitu MUHAMMAD FURQAN FAWWAS BIN SALLEH SANI (22 tahun), MATIN MUZZAMIL BIN MOHD YA’ACOB (24 tahun), AHMAD NAUFAL BIN AZRIN (21 tahun) dan ABDUL BASIT ZULKIPLI (25 tahun).

Zayne Pelapis baru Inteam

Mereka terdiri daripada graduan Universiti Al-Azhar, Mesir dalam bidang Al-Quran dan Qiraat serta Usuluddin, pelajar lepasan  pengajian Maahad Tahfiz, manakala seorang lagi masih meneruskan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Pengajian Islam Syariah.

Menamakan kumpulan mereka Zayne yang berasal dari perkataan Arab bermaksud perhiasan yang indah, Zayne kini sedang giat merakam single pertama mereka di Studio Inteam di Bandar Sri Damansara. Menurut kata Fawwas yang merupakan ketua kumpulan Zayne.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana telah terpilih untuk bekerjasama dan menyebarkan mesej yang baik melalui nasyid di bawah bimbingan abang-abang senior kami Inteam yang telah berpengalaman dalam bidang ini lebih 20 tahun,”

– Fawwas

Di tanya samada mereka akan dibayangi imej kumpulan Inteam, Naufal berkata,

“InshaAllah kami akan membawa identiti kami sendiri, bersesuaian dengan kumpulan sasaran kami iaitu remaja, tambahan pula abang-abang Inteam telah menasihati kami supaya tidak terikut dengan imej dan cara pembawakan mereka, sebaliknya memberi kami kebebasan memilih cara sendiri,”

– Naufal

Kumpulan Zayne sebelum ini telah pun merakamkan beberapa lagu projek rakaman semula seperti lagu ‘Man Ana’ menampilkan Rahim Inteam, ‘Iktiraf’ menampilkan Lah Ahmad dan beberapa lagu lagi yang diberi nafas baru. Lagu-lagu tersebut telah pun dimuatnaik di rangkaian Youtube Inteam Digital sebelum ini dan mendapat jumlah tontonan yang sangat baik.

“Sebagai artis baru, kami perlu banyak belajar dan memerlukan bimbingan artis-artis yang telah lama dan berpengalaman. Kami akan cuba buat yang terbaik, dan mengharap sokongan padu dari semua,”

– Mateen

“InshaAllah, lagu terbaru sebagai single rasmi pertama kami akan dilancarkan pada Februari nanti dan kami akan mempromosikan lagu tersebut yang berjudul NUR, dan ia akan dimuatnaik di semua platform digital seperti Spotify, Deezer dan rangkaian Youtube Inteam Digital,”

– Basit

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Setelah Tiga Tahun Menyepi, Anugerah Industri Muzik Kini Kembali di Tahun 2020

Video Sajat & Kawan-Kawan Selepas Solat di Raudhah Tersebar di Facebook