Menu

Sensasi Selebriti

Portal Berita Hiburan, Trending & Viral, Acara, Travel, Gaya Hidup & Tech Gadget Terkini

in ,

Zali Rusli Akui Kini Sudah Bersedia Berhadapan Cabaran

PEMBABITAN ahli keluarga seperti adik-beradik dalam kerjaya seni bukanlah perkara baharu. Malah, ada yang berjaya dikenali ramai dan sebaliknya.

Apapun, semua itu rezeki. Bagi penyanyi remaja, Zali Rusli, 16, yang juga adik kepada penyanyi Haqiem Rusli, dia sekadar mencuba nasib serta enggan melepaskan peluang keemasan yang datang kepadanya.Bernaung dengan syarikat rakaman, FMC yang sama dengan abangnya, Zali mengakui dia sudah sedia berhadapan cabaran.

Muncul dengan lagu solo pertama berjudul Pewangi ciptaan Haqiem serta Ibnu dan lirik ditulis Haqiem, Zali berkata, dia sangat berharap kehadirannya dalam industri hiburan akan diterima baik peminat.

Ditanya mengenai perbandingan segelintir pendengar terhadap vokalnya dan Haqiem, pelajar tingkatan empat ini berkata, ia semestinya tidak dapat dielak. Begitu juga, dakwaan mengaitkan dia menumpang nama Haqiem.

“Saya okey dan boleh terima apa saja dakwaan yang mengaitkan saya dengan abang. Pada saya, biarlah orang nak kata apa kerana itu hak mereka. Untuk saya, selesa positif dan cuba jadi diri sendiri.

“Abang pun selalu pesan, bila saya dah buat keputusan menceburi industri hiburan dan jadi penyanyi, saya kena tahan dengan segala dakwaan, kritikan mahupun kecaman daripada netizen di media sosial.

“Alhamdulillah, walau masih baharu bergelar penyanyi, saya dah boleh menghadapi tekanan. Abang juga selalu kata, sentiasa berbuat baik kalau nak orang baik dengan kita, jangan sombong dan merendah diri hormat pada orang lain,” katanya.

– Zali Rusli

Bersyukur video muzik lagu Pewangi yang dilancarkan pada awal Oktober tahun lalu sudah mencatat lebih 200,000 tontonan di YouTube, Zali berkata, dia mengimpikan lagu itu akan mesra radio dan jadi pilihan pendengar.

Bercerita mengenai sambutan Aidilfitri, Zali berkata, mereka sekeluarga biasanya bersederhana. Katanya, paling utama dapat meraikan dengan ibu bapa dan keluarga.

Ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak membenarkan aktiviti merentas negeri dan daerah ketika sambutan Aidilfitri, Zali bersyukur kerana dia tinggal bersama ibu bapa. 

“Saya bersyukur dan bertuah kerana masih lagi mempunyai ibu bapa dan tinggal bersama mereka. Bayangkan orang lain yang kebanyakannya merantau dari kampung, mereka tidak dapat pulang berhari raya bersama sanak saudara.

“Ini sudah kali kedua orang ramai tidak dibenarkan pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri. Pandemik Covid-19 pun belum berakhir, kasihan dengan orang lain tapi tak boleh nak buat apa. Kena ikut arahan kerajaan untuk kebaikan kita semua,

– Zali Rusli

Zali berkata, dia juga rindukan suasana persekolahan yang dulu. Namun, dalam situasi sekarang dia tetap akur kena mengikuti kaedah belajar ‘norma baharu’ iaitu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) untuk keselamatan serta kesihatan yang terjamin.

*Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Exit mobile version