in , ,

Zakiy Hanafi, Dari Irama Nasyid ke Pop Rock

Siapa sangka alunan bacaan ayat suci al-Quran dan nyanyian lagu nasyid serta lagu artis popular yang dimuat naik di Instagram membuka ruang dan peluang kepada penyanyi baru ini menonjolkan bakat yang ada dalam diri.

Mesej peribadi (DM) yang diterima Zakiy Hanafi membolehkan dirinya kini melangkah setapak lagi apabila bergelar penyanyi profesional di bawah syarikat rakaman True Faith Creative seterusnya diberi peluang merakamkan single sulung.

Zakiy, 25, atau nama sebenarnya Mohammad Zakiuddin Hanafi mengakui tidak pernah menjangka sama sekali akan melangkahkan kaki ke dunia glamor.

Zakiy Hanafi

Malah, single Pendam hasil ciptaan Adi Pawana dan Pown Hasril serta lirik oleh Adi Pawana yang dilancarkan pada 5 Jun lalu itu adalah berentak pop rock yang benar-benar keluar dari zon selesa dirinya.

“Ini single pertama saya. Sebelum ini saya menyanyi juga tapi dalam genre nasyid. Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir pun nak masuk industri ini secara mainstream.

Kisahnya bermula selepas tamat pengajian di Maahad Qiraat Shoubra, Mesir pada Oktober tahun lalu.

“Selepas pulang dari Mesir saya mengadakan program jelajah di Perak. Ketika sedang berehat saya mendapat DM daripada Abang Fadly Yusof iaitu pengurus Khai Bahar.

Dia menyatakan hasrat untuk membawa saya masuk dalam bidang ini selepas melihat nyanyian saya di IG. Khai pernah memberitahu dia yang saya meminatinya dan menyanyikan lagunya. Sejak dari itu abg fadly selalu melihat nyanyian saya.

“Pertemuan pertama kami pada sesi pelancaran muzik video Ratuku nyanyian Khai.

Selepas perbincangan dibuat, secara rasmi saya menyertai syarikat rakaman itu pada 1 Januari tahun ini,”

– Zakiy Hanafi
Zakiy Hanafi

Zakiy yang juga bekas penuntut di Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu berkata, dia menyahut cabaran diberikan dengan menyanyikan genre pop rock.

“Sebagai pendatang baharu dalam bidang ini saya percaya syarikat rakaman ada strategi dan perancangan tersendiri. Jadi, saya terima apa yang diputuskan mereka untuk kerjaya saya. Cuma, difahamkan saya mahu dibawa keluar dari genre nasyid dan ingin menjadikan saya penyanyi versatile.

“Diakui lama juga fikir mengenai perkara ini. Malah saya ada bertanya dan minta pandangan daripada artis nasyid lain. Ada yang beri kata-kata positif dan tidak kurang juga yang menentang. Alasan sebab saya ada latar belakang agama dan seorang qari.

“Tapi, setiap pandangan mereka saya terima dan saya ambil dari sudut positif. Apatah lagi keputusan ini berkaitan diri saya dan bukannya orang lain. Bagi saya, ini peluang untuk luaskan lagi penyampaian mesej positif bukannya kepada satu kelompok peminat muzik semata-mata. Malah, ia disampaikan dalam pelbagai cara yang lebih kreatif,” katanya.

– Zakiy Hanafi

Menariknya, Zakiy yang juga bekas finalis program Akademi Al Quran musim kelima pada 2011 yang ditayangkan di TV9 tidak mengambil masa lama untuk merakamkan lagu Pendam itu.

Zakiy Hanafi

“Lagu ini sangat mencabar sebab nak dapatkan suara yang betul sesuai dengan genre. Saya nak orang faham, qari tak semestinya boleh menyanyi, begitu juga penyanyi tak semestinya boleh mengaji. Tidak ramai boleh buat kedua-duanya dalam masa yang sama.

“Jadi, saya cuba nak beri kefahaman kepada warganet yang mana saya boleh mengklasifikasikan tarannum dalam al-Quran ada tujuh dan lagu pula dalam pelbagai genre. Apabila mengaji saya boleh ikut ‘tune’ mengaji, begitu juga sebaliknya.
Kiranya, tak bercampur.

“Cuma, cabaran saya adalah jarang menyanyikan genre ini. Lagu ini mengambil masa empat jam proses rakaman. Apa yang lebih menarik lagi, lirik lagu ini sarat dengan mesej positif di mana ia diadaptasi dari ayat Al-Quran. Alhamdulillah, ia dilancarkan 5 Jun lalu walaupun tarikh asal lebih awal. Namun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia ditunda termasuk penggambaran muzik video,”

– Zakiy Hanafi

What do you think?

74 points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Risteena Munim & Isa Khan dalam Drama Bersiri BULAN DI KOTA LANGIT

Anugerah Akademi Ke-93, BAFTA Ditangguh Tahun Depan