in , ,

Zainal Abidin Bakal Hiburkan Peminat di Konsert Khas Ambang Tahun Baru

Dengan diiringi band yang terdiri daripada para pemuzik terbaik Malaysia bertaraf dunia, Zainal Abidin menjanjikan bukan sahaja sebuah persembahan yang menghiburkan dan bertenaga, malah ia juga memberikan inspirasi dan semangat bagi menempuh tahun baru 2023

Cuma tinggal lima hari sahaja lagi dan seluruh dunia bakal mengucapkan selamat jalan kepada tahun 2022. Tanpa sebarang desas desus atau sebarang petanda awal, legenda muzik Malaysia, Datuk Zainal Abidin (juga Zainal Abidin atau Zainal) hari ini mengumumkan bahawa dia akan membuat persembahan istimewa di The Bee, Publika pada malam ambang tahun baru, 31 Disember 2022 (Sabtu) bermula jam 8 malam.

Dinamakan ZAINAL ABIDIN NYE SPECIAL, persembahan ini bakal menyaksikan ikon industri tersebut kembali ke sebuah ruang yang lebih mesra serta mementingkan intimasi di antara artis dan peminat. 

Zainal Abidin Bakal Hiburkan Peminat di Konsert Khas Ambang Tahun Baru

Zainal yang begitu dikenali sebagai penghibur hebat dan amat mementingkan kualiti juga telah menjemput para pemuzik negara yang nama-namanya amat gah di rantau ini sebagai anggota band iringan. Ia terdiri daripada Mac Chew (keyboard), Lewis Pragasam (dram), Steve Thornton (gendang serta percussion), Daniel Foong (bass) dan Sham Kamikaze (gitar). 

“Mereka ini semuanya bukan calang-calang pemuzik dan pada saya, adalah di antara yang terbaik di negara ini. Umum juga pasti mengetahui bahawa mereka ini juga sering diburu produser atau artis luar negara yang memerlukan khidmat serta ilmu pengetahuan muzik mereka yang mendalam. Kami semuanya telah lama membuat persembahan bersama, dan mereka amat memahami muzik serta cara saya di atas pentas. Saya amat bersyukur kerana diberikan peluang sekali lagi untuk berkongsi pentas di The Bee, serta menghiburkan peminat-peminat kami yang sudah lama tidak menyaksikan kami beraksi bersama-sama”, jelas Zainal Abidin.

Zainal Abidin Bakal Hiburkan Peminat di Konsert Khas Ambang Tahun Baru

Sebagai penganjur acara ZAINAL ABIDIN NYE SPECIAL, Rahul Kukreja dari RK Live Asia berkata, “Tahun ini kami begitu sibuk dengan penganjuran pelbagai konsert dan acara muzik dari artis luar dan dalam negara. Di fikiran kami, selepas acara yang terakhir minggu lepas, kami boleh bernafas sedikit lega dan mula merancang kalendar acara bagi tahun 2023. Namun begitu, apabila Zainal menyuarakan hasratnya untuk melabuhkan tabir tahun 2022 dengan sebuah konsert istimewa, kami tidak teragak-agak untuk menyambut peluang bekerjasama dengannya.

Legasi Zainal bukan sahaja sebagai suara sebuah generasi dengan katalog muzik yang sangat mengagumkan, dia juga mempunyai reputasi seorang penghibur live yang unik dan kekal relevan sehingga kini. Pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara telah dimenanginya dan ini menjadikan Zainal Abidin seorang ikon industri dan dipandang tinggi oleh artis-artis lain, samada seangkatan mahupun yang baru. Saya tahu bahawa masa persediaan bagi acara ini amat ketat, namun team ini semuanya, dari krew belakang tabir dan Zainal serta anggota-anggota band, sangat professional. Bersama-sama kami menjanjikan bukan sahaja sebuah persembahan yang mantap, malah dapat memberikan inspirasi serta semangat untuk membuka tirai tahun 2023.”

Zainal Abidin Bakal Hiburkan Peminat di Konsert Khas Ambang Tahun Baru

Dengan senarai lagu-lagu yang begitu banyak, bermula dari ketika Zainal masih lagi menjadi anggota di dalam kumpulan pop-synth 80an, Headwind, ianya pasti menjadi suatu yang sukar untuk Zainal memilih senarai akhir repertoire lagu bagi setiap persembahannya. Namun katanya, “Proses pemilihan lagu ini amat kolaboratif di antara saya dan anggota band. Selain ‘Hijau’ yang seakan lagu wajib untuk setiap persembahan, kami perlu memahami tujuan peminat-peminat serta para tetamu hadir ke konsert tersebut. Di sinilah pentingnya pengalaman, dan kami harus punyai elemen fleksibiliti untuk memastikan kejayaan setiap konsert, justeru audiens kami turut terhibur dan pulang bersama memori indah”.

Tambah Zainal lagi, “Persembahan ambang tahun baru pada Sabtu ini berbeza atas faktor intimasi yang menjadikannya lebih peribadi. Saya pernah membuat persembahan tahun baru di hadapan beribu-ribu penonton dan peminat samada di stadium mahupun dataran acara yang luas. Di dalam situasi ini, jika ada sebarang kesilapan terjadi, ia mungkin tidak akan disedari penonton. Lain pula jika konsert diadakan di venue yang lebih tertutup dengan kehadiran eksklusif peminat dan penonton yang dikawal jumlahnya, tiada sebarang ruang untuk kami membuat kesilapan kerana ia pasti disedari. Konsert ini pasti istimewa sekali. Jadi dapatkan tiket-tiket anda sekarang!”. 

Tiket boleh didapatkan secara tempahan (pre-booking) dan tetamu juga boleh mendapatkannya di The Bee pada hari acara (terhad kepada jumlah yang ditetapkan). Harga tiket umum bermula dari RM83.00, dan pakej kumpulan bermula dari harga RM300.00. 

Informasi mungkin berubah dari masa ke semasa; dan terma serta syarat adalah terpakai ketat untuk memastikan kelancaran acara serta pengurusan penonton. Untuk maklumat lanjut tentang ZAINAL ABIDIN NYE SPECIAL, urusan tempahan tiket dan juga pakej meja kumpulan, sila hantarkan mesej Whatsapp ke The Bee di +60175654233

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

PROFESOR ADJUNG HJ ADAM RICHMAN

Anugerah World Muslimpreneur Iktiraf Jenama Milik Muslim Sahaja 

Mengapa Kamera Telefon Pintar adalah Masa Depan Fotografi