in

Yuna Lancar Album di Amerika Syarikat

Yuna berjaya lancar album di AS, bakal hiburkan peminat pada malam kemuncak ABPBH 2010

SEMPURNA sudah pelancaran album EP penyanyi Yunalis Zarai atau Yuna, berjudul Decorate, pada 15 Mac lalu di Austin, Texas, Amerika Syarikat (AS). Malah lebih membanggakan, seperti yang diceritakan sendiri oleh Yuna kepada Hip, album memuatkan lima lagu itu juga boleh dimuat turun menerusi iTunes. Suatu pencapaian yang cukup dihargainya.Selain Decorate, lagu lain yang disenaraikan dalam album terbabit ialah Deeper Conversation, Someone Out Of Town, Coffee dan Fears and Frustrations.Bersandarkan bakat yang dimiliki, kini bukan lagi mimpi buat anak Malaysia sepertinya untuk melebarkan pengaruh di pentas antarabangsa, selepas berjaya menawan kelompok peminat muzik di tanah air sendiri.

Peluang berharga menyertai naungan syarikat Fader Label yang beroperasi di New York dilihat sebagai pembuka jalan untuk calon kategori Penyanyi Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010 ini merealisasikan impian yang semakin jelas terbentang di depan mata.

Menurut laman web label berkenaan, selepas Decorate, album penuh penyanyi ini akan menyusul kemudian.

Yuna

“Saya amat bersyukur dengan kesempatan indah ini. Sekalipun saya perlu bermula dari bawah, ia bukan satu alasan untuk saya mengeluh. Sebaliknya ia menjadi pengalaman terbaik, sekali gus memastikan misi untuk berkongsi muzik saya terus berjalan,” ungkapnya yang dihubungi menerusi e-mel baru-baru ini.
Jika tiada aral melintang, Yuna akan terbang ke Kuala Lumpur pada penghujung bulan ini demi komitmennya terhadap malam kemuncak ABPBH 2010 di Arena Of Stars, Genting Highlands, 3 April nanti.

Selain berdebar menantikan keputusan kategori yang turut mencalonkan namanya, Yuna juga antara artis popular yang bakal mengadakan persembahan pada malam gemilang itu.

Tahun lalu, Yuna membuktikan dirinya mula diterima peminat apabila dinobatkan sebagai Artis Baru Wanita Popular. Tahun ini, penyanyi lagu Dan Sebenarnya ini melihat fasa popularitinya meningkat setapak lagi dengan pencalonan dalam kategori Penyanyi Wanita Popular, bersaing dengan Alyah, Stacy, Adira dan Ana Raffali.

“Saya dimaklumkan, 1 April ini saya akan terus memulakan latihan, diikuti persembahan raptai di Genting Highlands. Ia bakal menjadi persembahan sulung saya untuk ABPBH. Saya juga berdebar untuk menunggu keputusan siapa yang bakal memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular.

“Saya yakin perasaan gementar itu turut dirasai semua finalis. Menang sudah tentu menjadi bonus terbaik buat kami. Tapi yang paling jelas di sini, ABPBH terus menjadi penanda aras dunia hiburan tanah air. ABPBH antara sebuah acara yang ditunggu-tunggu ramai peminat dunia seni,” katanya yang dijangka kembali semula ke Los Angeles sekitar Mei.

Ditanya dia melihat reaksi dan maklum balas orang luar terhadap muziknya, Yuna menjelaskan, perjalanan seninya di luar negara bagaikan direstui, apatah lagi dengan sokongan diberikan pihak syarikat Fader Label kepadanya yang tidak berbelah bagi.

“Alhamdulillah setakat ini, maklum balas yang diterima amat bagus daripada pihak dan individu yang berpengaruh dalam liga muzik di sini. Rata-ratanya mereka menyukai muzik saya. Itu sudah cukup bagus untuk permulaan langkah saya di AS.

“Paling mengharukan, mereka tidak menjadikan imej saya sebagai satu isu besar. Saya bertuah sebab mendapat sokongan sepenuhnya daripada Fader Label. Syarikat ini dianggap sebagai entiti yang amat menghargai muzik. Apabila dapat tawaran menjadi artis di bawah naungan mereka, gembira saya tiada kepalang,” katanya sambil menyifatkan Fader Label sebagai syarikat yang sangat cool.

Rindukan Qi

BIARPUN terpisah jauh daripada keluarga, teman tersayang dan peminat di Malaysia, Yuna tidak sesekali menjadikannya sebagai penghalang. Lihat saja melalui laman sosial Twitter dan Facebook, penyanyi Cinta Sempurna ini begitu aktif berkongsi perkembangan diri bersama mereka.

Malah, Yuna juga tidak segan meluahkan isi hati terhadap jejaka yang kini bertakhta di hatinya, Qi. Sejak berkawan dengan pengacara Jalan Jalan Cari Makan yang turut bergelar pelakon itu, darjah keterbukaan Yuna terhadap soal peribadi juga kian ketara.

Contohnya pada 15 Mac lalu, Yuna menulis sebuah kenyataan berbunyi “I Miss Qi (Saya rindukan Qi)”. Kata Yuna, Qi yang kini berada di Buenos Aires, Argentina, untuk merakamkan rancangan Disney, Art Attack, sangat menyokong kerjaya seninya.

“Qi seorang yang sangat positif dan dia sentiasa membakar semangat saya untuk melakukan yang lebih baik. Kerjaya memang antara agenda penting buat saya pada masa sekarang dan mujur dia seorang yang cukup memahami, sekalipun kami berjauhan. Yang penting kami gembira.

“Saya pun sudah biasa dengan hubungan jarak jauh. Tak kiralah dengan keluarga, kawan mahupun Qi. Sejak zaman sekolah lagi, saya sering ke luar negara. Contohnya, ke Itali untuk program pertukaran pelajar selama beberapa bulan.

“Saya tidaklah terlalu demam rindu dengan Malaysia. Kalau rindu sangat, saya akan manfaatkan teknologi terkini yang hanya boleh dicapai di hujung jari. Selain Twitter serta Facebook, saya boleh menggunakan Skype untuk mengubat kerinduan,” ungkapnya menamatkan bicara.

INFO:
Nama sebenar: Yunalis Zarai
Nama komersial: Yuna
Usia: 24 tahun
Tarikh lahir: 14 November 1986
Asal: Alor Setar, Kedah
Kejayaan:
– Anugerah Shout! 2010 (Popstar Award, Break Out Award (Artis Baru), Ultimate Shout! Award)
– Anugerah Industri Muzik ke-17 (Artis Baru Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik (Deeper Conversation), Lagu Pop Terbaik (Dan Sebenarnya) dan Lagu Terbaik (Dan Sebenarnya)
– Anugerah Juara Lagu 24 (Naib juara menerusi lagu Dan Sebenarnya)
– Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (Artis Baru Wanita Popular)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Nasir | 23

Tahniah! Ramli M.S & M. Nasir Dapat Gelaran Dato’

Filem CUN