in ,

Yuna Kini Jadi Duta Produk Shampoo Rambut PANTENE

KINI lebih aktif mencipta nama di Amerika Syarikat (AS), penyanyi Yuna mengakui sedikit malu dan janggal untuk berkongsi kisah peribadinya kepada umum.

Yuna atau Yunalis Zarai bagaimanapun tertarik berbuat demikian selepas bersetuju melibatkan diri dalam sebuah filem pendek untuk produk Pantene berjudul ‘Wanita Besi’.

Kata Yuna, dia bersetuju untuk menceritakan mengenai kisah zaman persekolahan dan pembabitannya dalam bidang seni kerana ‘Wanita Besi’ menampilkan sisi berbeza serta bukan mengisahkan jalan cerita yang tipikal.

“Jujurnya saya pada mulanya segan nak cerita dan berkongsi kisah peribadi saya tetapi untuk filem pendek ini saya tertarik kerana ia tidak mengisahkan jalan cerita yang tipikal.

“Sebaliknya ia mengangkat kehidupan saya sendiri waktu persekolahan yang suka berangan, menulis lirik selain pernah kena marah dengan guru.

“Kisah ini sangat peribadi buat saya tambahan masa mula-mula cebur diri sebagai penyanyi dan pemuzik ada yang mahu tukar imej saya dan meminta saya menanggalkan tudung,” katanya dipetik mStar Online, hari ini.

Ujar isteri kepada ahli perniagaan, Adam Sinclair itu lagi, selepas menonton hasil akhir filem pendek berkenaan, dia tersedar bahawa setiap manusia mempunyai kekuatan dalaman dan perlu yakin dengan diri sendiri.

“Baru saya sedar maksud Wanita Besi itu. Kena cari kekuatan dalaman dan kena yakin dengan diri kita. Saya nak jadi diri sendiri tapi yang lebih baik. Jadi, saya tak boleh dengar cakap orang yang salah,” ujar Yuna.

Difahamkan, filem pendek berdurasi selama 5 hingga 10 minit itu akan mula ditayangkan di saluran YouTube Pantene pada 25 Jun ini.

Sementara itu, diajak berkongsi mengenai karier seninya, wanita berusia 32 tahun itu memberitahu album terbaharunya sudah hampir 80 peratus siap dan dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Asia’s Got Talent Open Auditions to be held at Taylor’s University, Kuala Lumpur

FTISLAND, EXID, MONSTA X Antara Yang Perform di Festival Muzik K-Wave 3