in

Yayasan AirAsia Tawar Platform Baharu untuk Perusahaan Sosial Asean

Cabang dermawan Kumpulan AirAsia, Yayasan AirAsia, telah melancarkan butik pop-up pertama bagi perusahaan sosial syarikat itu di klia2. Dinamakan sebagai ‘Destination: GOOD’, butik itu menawarkan pelbagai barangan dari perusahaan sosial dari seluruh rantau Asean.

Dibuka dengan kerjasama Malaysia Airports, Destination: GOOD pop-up@klia2 bertujuan untuk mewujudkan pengalaman membeli-belah yang unik untuk para pelancong di terminal lapangan terbang itu. Selari dengan posisi klia2 sebagai hab AirAsia dan sebagai lapangan terbang yang menyediakan rangkaian paling luas di Asean, Destination: GOOD menawarkan lebih 200 produk yang dihasilkan secara mampan oleh 25 perusahaan sosial Asean. Produk yang boleh didapati termasuklah produk organik, alat tulis, aksesori dan perhiasan rumah yang menyumbang kepada yayasan itu.

AirAsia

Yayasan AirAsia Tawar Platform Baharu untuk Perusahaan Sosial Asean

Antara perusahaan sosial tempatan yang menawarkan produk mereka di butik itu adalah Malaysian Unity of Cultures (MUOC), Bingka KL dan Batik Boutique. Dari Asean pula, butik ini menawarkan pelbagai pilihan seperti tukang perak Selaka Kotagede dari Indonesia, pembuat aksesori Rags2Riches dari Filipina, tukang tenun Folkcharm dari Thailand dan pembuat kertas Zo Project dari Vietnam.

Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Cik Yap Mun Ching berkata, “Sejak 2012, kami telah memberikan sebanyak 19 geran kepada perusahaan sosial untuk memperluaskan perniagaan mereka – kerana kami sedar bahawa mereka memerlukan bantuan ini untuk menerokai pasaran baharu. Dengan kerjasama Malaysia Airports, kami dapat menawarkan platform antarabangsa kepada mereka, seterusnya meraikan ulang tahun ke-50 ASEAN dengan penuh makna.”

Sempena musim percutian yang akan datang, Yayasan AirAsia juga memperkenalkan empat kotak hadiah GOOD yang merangkumi pelbagai cenderamata. Berharga RM100 atau USD25 untuk setiap kotak, pembeli boleh memilih tema yang berbeza seperti Perjalanan, Pakaian, Permainan, dan Masakan. Ditawarkan bermula hari ini sehingga stok masih ada, para pelancong klia2 boleh membeli kotak hadiah ini untuk diberi kepada keluarga dan rakan-rakan mereka. Tetamu AirAsia juga boleh membeli kotak GOOD di kedai ROKKI dalam penerbangan bermula 1 Disember 2017.

Menyokong inisiatif itu, Datuk Badlisham Ghazali, Pengarah Urusan Malaysia Airports berkata, “Objektif utama Destination GOOD untuk menyediakan platform bagi perusahaan sosial ASEAN adalah sejajar dengan matlamat Malaysia Airports di beberapa peringkat. Kami melihat kerjasama ini sebagai usaha tanggungjawab korporat sosial kami untuk menyokong perusahaan dari negara-negara jiran dan ia juga menandakan satu inisiatif bersama oleh syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang untuk memberikan pengalaman lapangan terbang terbaik untuk para penumpang kami.”

Untuk maklumat lanjut mengenai Yayasan AirAsia, sila layari airasiafoundation.com atau mengikuti laman Facebook di facebook.com/AirAsiaFoundation.

AirAsia

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Fazura Tak Tolak Jodoh Dengan Fattah Amin

RTM Siar Drama STESEN, SERUNDING, SAMPAN SERINGGIT