in

Yang Menarik Tentang Pementasan DIA SEMANIS HONEY MUZIKAL

Kerinduan peminat seni terhadap karakter Ahnaf Wafiy dan Hani Safira menerusi drama bersiri Dia Semanis Honey bakal terubat apabila naskhah berkenaan bakal dipersembahkan dalam bentuk teater muzikal di panggung paling berprestij, Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur bulan depan.

Pementasan Dia Semanis Honey Muzikal yang akan membuka tirai 2017 sekali gus menyaksikan dua tonggak utama persembahan itu, Alif Satar dan Siti Nordiana kembali berkolaborasi yang secara tidak langsung dijangka mengembalikan fenomena naskhah berkenaan.

Dia Semanis Honey-09

Alif Satar, Siti Nordiana Kembali Berganding Dalam Pementasan Muzikal

Selain Alif yang memegang watak Ahnaf Wafiy dan Siti Nordiana sebagai Hani Safira, pementasan Dia Semanis Honey Muzikal juga mengekalkan pelakon asal yang lain dalam drama bersiri popular itu seperti Nadya Syahera, Datin Nina Juren, Ahmad Fauzi, Aleza Shadan, Dafi Ismail dan Farez Ridzwan serta dibantu oleh pelakon-pelakon lain termasuk Ungku Hariz dan Marsha Milan Londoh.

Teater Dia Semanis Honey Muzikal yang diterbitkan oleh Michael Ang arahan Dira Datuk Seri Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee ini akan dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya selama sepuluh hari bermula 3 hingga 9 Januari 2017.

Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad, ”Usaha membawa naskhah Dia Semanis Honey ke pentas teater dilakukan oleh Astro dan rakan-rakan kerjasama strategik bermatlamat mengubat kerinduan peminat-peminat drama Melayu terhadap karya yang pernah mencipta fenomena beberapa bulan lalu.

Fenomena Dia Semanis Honey Bakal Berulang

Pada masa sama, kami berhasrat untuk terus mengukuhkan kedudukan Astro sebagai platform utama penyiaran drama-drama tempatan yang terbaik.”

Raqim turut menambah, ”Usaha membawa naskhah istimewa ini ke Istana Budaya juga untuk membuktikan kepada masyarakat penonton bahawa Astro tidak pernah berhenti mengatur strategi untuk kekal konsisten dalam menghasilkan drama-drama hebat kerana penonton kini bijak menilai karya bermutu dan terbaik untuk ditonton.

Sehubungan itu, kami sentiasa memastikan setiap drama yang disiarkan memenuhi semua elemen penting di samping mempunyai daya tarikan kuat yang mampu memikat penonton terutamanya jika terdapat sebarang kemungkinan atau perancangan untuk mengangkat kesinambungan drama-drama tersebut ke peringkat yang lebih tinggi di masa hadapan kelak,” kata Raqim lagi.

Pada masa sama, Raqim memberitahu, Astro sentiasa teliti memastikan elemen-elemen penting dititik beratkan termasuk kualiti produksi, plot penceritaan, pemilihan barisan pelakon, pembinaan watak, penulisan skrip dan nilai komersial.

Dia Semanis Honey-19

Drama bersiri Dia Semanis Honey yang pernah ditayangkan menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD tidak lama dahulu ternyata memenuhi setiap elemen-elemen yang digariskan.

Untuk rekod, ketika ditayangkan di dua saluran berkenaan, drama bersiri Dia Semanis Honey merupakan antara drama yang mencatat jumlah tontonan tertinggi di platform Astro selain drama Suri Hati Mr Pilot, Tersuka Tanpa Sengaja dan beberapa drama lain.

Populariti Dia Semanis Honey meninggalkan impak yang besar dan luar biasa sehingga menjadi sebutan dalam kalangan netizen di rangkaian media sosial sekali gus termasuk dalam senarai kata kunci pencarian Google utama (Top Google Keyword Search) pada bulan Mei 2016.

”Rentetan kejayaan dan maklum balas positif yang diterima, menyebabkan Astro membuat keputusan untuk mengangkat karya Dia Semanis Honey ke pentas Istana Budaya yang berprestij.

Daripada aspek pemilihan pelakon pula, kami turut mengekalkan barisan pelakon asal kerana nilai komersial yang mereka miliki, selain kemampuan mereka menyanyi dan menari dengan baik agar bersesuaian dengan watak yang mahu ditampilkan dalam muzikal ini.

Ia juga adalah bonus apabila semua pelakon utama dalam muzikal ini boleh menyanyi dengan baik, terutama Alif dan Siti Nordiana yang merupakan penyanyi profesional,” jelas Raqim lagi.

Dalam memastikan pementasan Dia Semanis Honey Muzikal menjadi sebuah produksi yang hebat, pihak produksi sepakat memilih komposer Muhaiyudin Ramly sebagai pengarah muzik untuk memberikan sentuhan magisnya dalam muzikal ini. Pementasan naskhah ini juga menampilkan sentuhan Saifful Hirman selaku koreografer, manakala skrip pula ditulis oleh Khairulnazwan Rodzy.

Lantaran, Dia Semanis Honey pada kali ini dipersembahkan dalam bentuk muzikal, maka sebanyak lebih 20 buah lagu yang merangkumi lagu-lagu lama dan mash up yang diberi susunan nafas baharu akan ditampilkan.

Tidak ketinggalan lagu-lagu popular nyanyian Alif Satar dan Siti Nordiana juga akan menjadi latar pementasan naskhah ini.

Para peminat drama Dia Semanis Honey dan pencinta-pencinta seni tempatan yang berhasrat untuk menonton pementasan muzikal ini boleh mendapatkan tiket-tiket yang berharga antara RM40 hingga RM180 di laman web www.airasiaredtix.com.

Dia Semanis Honey-14

Barisan pelakon teater Dia Semanis Honey Muzikal

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Senarai Top 10 Drama Melayu Paling Popular Di Carian Google Malaysia 2016

Ulasan Konsert 3 Juara Separuh Akhir 1: Lagu Medley Cabaran Peserta