in , ,

Wedding Adlin Aman Ramli dan Emelda Rosmila 23 Mei

Adlin, Emelda pilih hari jadi [sumber]

BERSERI wajah Emelda Rosmila Abdul Hamid, 29, menanti ketibaan rombongan peminangan buah hatinya, Adlin Aman Ramli, 37, dari Kuala Lumpur (KL). Barangkali bagi Emelda yang juga adik pelakon Amylia Rosnaida, waktu terasa begitu lambat berlalu. Percintaan terjalin selama empat tahun bernoktah juga apabila rombongan peminangan dengan enam kereta diketuai bapa saudara Adlin yang juga adik ibunya, Ruminah Sidek (Mak Mah), Rosnan Sidek selamat tiba di rumah keluarga Emelda di Kampung Melayu Batu 8, Ulu Kinta, Perak, jam 12.30 tengah hari, Sabtu lalu. Hadir sama, sahabat karib Adlin, pengarah, produser dan novelis, Raja Azmi Raja Sulaiman.

Imbas kembali detik awal percintaan teruna dara itu, Emelda berkata dia mula meminati dan mengagumi kematangan serta keperibadian pelakon, pengarah dan penulis skrip itu tatkala menyaksikan lakonan hebat Adlin dalam filem Puteri Gunung Ledang (PGL).

“Ketika itu saya baru berlakon dan Amylia pula baru berkahwin dengan AC Mizal. Pada satu majlis anjuran Astro, Adlin hadir sama. Cuba mengusik saya, AC Mizal beritahu Adlin saya meminatinya. Itulah episod awal perkenalan kami. Setahun berkawan, kami jatuh cinta. Saya bahagia berkawan dengan Adlin. Perwatakan garang dan serius namun semakin lama mengenalinya dia lelaki budiman yang kaya dengan kasih sayang.

“Selepas lama berkawan, sejak tahun lepas kami ingin bertunang tetapi ada saja halangan termasuk jadual kerja yang sentiasa menghambat kami berdua apatah lagi Adlin terlalu banyak komitmen. Adlin kuat bekerja sehinggakan tiba saat kami hendak bertunang, dia masih tenggelam dalam timbunan kerja yang tidak pernah berkurang. Majlis merisik diadakan 8 Ogos tahun lalu dan sepatutnya tidak lama selepas itu disusuli dengan pertunangan tetapi tak kesampaian. Tetapi selepas emak (Rokiah Ibrahim, 63) menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada pankreasnya sebulan lalu, majlis pertunangan ini tidak boleh bertangguh lagi. Abah (Abdul Hamid Mad Ally, 64) pergi terlebih dulu menyahut panggilan Ilahi pada 24 Februari tahun lalu tanpa sempat melihat saya naik pelamin.

“Terkilan rasa hati namun Allah lebih tahu apa yang baik buat hamba-Nya. Bimbang terjadi apa-apa kepada emak, elok kami segerakan majlis pertunangan ini. Maka tarikh 14 Mac dipilih untuk melestarikan cinta kami kepada satu ikatan yang lebih kukuh yang juga hari jadi saya ke-29,” katanya.

Akui Emelda, pada mulanya mereka bercadang mengadakan majlis pernikahan dan persandingan sekali gus tetapi tidak sempat membuat persiapan dan dahulukan majlis pertunangan. 

“Syukur segalanya berjalan bagai dirancang meskipun sebaik saja majlis pertunangan ini berlangsung, Adlin yang datang sama terpaksa bergegas balik ke KL kerana dia perlu hadir dalam konsert minggu pertama AF7 (Akademi Fantasia musim ketujuh) sebagai pengkritik tetap. Lewat petang saya juga pulang ke KL kerana esoknya (semalam) saya bersama Adlin menghadiri majlis persandingan Que Haidar dan Linda Jasmine di Kulai, Johor,” katanya.

Bergelar tunangan dan bakal menjadi isteri, tiada apa yang merubah rutin hidup Emelda kerana Adlin memahami minat bakal isterinya itu. Dia terus berlakon dan akan ke lokasi telefilem arahan Rashid Sibir, Bukan Ini Pintaku untuk siaran Astro dan drama 26 episod, Jongkang Jongkit arahan Adlin.

Kesibukan sedia ada akan bertambah kerana dua bulan dari sekarang, pasangan itu akan diijabkabulkan. Jika majlis pertunangan diadakan pada hari jadi Emelda, majlis kenduri dan persandingan pula bakal dilangsungkan pada hari jadi Adlin, 23 Mei ini.

Dengan senyuman terukir di bibir, Emelda berkata, dia akan memastikan majlis perkahwinannya itu meriah dengan kehadiran saudara-mara, sahabat handai dan wartawan yang banyak membantu kejayaan kerjayanya dan Adlin.

“Saya tidak mahu cerita wartawan bersungut susah hendak membuat liputan perkahwinan artis terjadi pada majlis saya nanti. Saya akan berkongsi kebahagiaan itu dengan semua orang. Tiada apa yang patut saya sembunyikan kerana ia perkara baik malah saya perlukan restu semua demi kebahagiaan kami. Cuma pada majlis pertunangan ini, kami tidak menjemput ramai hanya saudara-mara terdekat. Bagaimanapun, kedatangan wartawan ke majlis ini tetap kami sekeluarga raikan,” katanya.

Kemunculan Emelda paling dirasai peminat drama Melayu menerusi lakonannya dalam Manjalara dan Kekasih Ku Seru. Kredibiliti Adlin pula terserlah menerusi watak Sultan Mahmud dalam filem dan teater Muzikal Puteri Gunung Ledang.

Dalam keseriusan wajah dan kelantangannya mengkritik pelajar AF, ada sisi komedi dalam diri anak seniman ternama, Allahyarham A R Tompel. Lakonannya dalam Los & Faun arahan Afdlin Shauki menggeletek hati penonton.

Di ambang kebahagiaan bakal bergelar isteri, Emelda menyedari dugaan hidup sebagai anak seni. Bagaimanapun, dia yakin persefahaman yang terjalin sekian lama antara mereka mengukuhkan ikatan kasih sayang dan rumah tangga yang bakal dibina.

“Kami berkecimpung dalam bidang sama dan saya tahu perangai Adlin yang kurang melayan perkara remeh temeh di lokasi kerana tumpuan utamanya ialah kerja. Saya pernah bekerja dengannya dalam drama Labu Labi dan Madu Tiga. Bukan saja tidak melayan kerenah pelakon lain malah saya pun dilayan sama seperti mereka. Tiada keistimewaan diberi di lokasi walaupun saya kekasihnya. Moga caranya itu berterusan sampai bila-bila. Sesiapa pun mengharapkan istana yang dibina utuh selamanya,” katanya.

Hari itu, Emelda menyarung baju kurung moden rona putih yang menjadi warna kegemarannya. Ia rekaan sahabat baiknya, Kia Conggo. Pentas untuk menyarung cincin pertunangan ditempah khas dari Nasha Butik di Ipoh. Gubahan hantaran hasil kerja tangannya sendiri kerana di samping berlakon, Emelda juga suka kerja seni dan fesyen.

Pada majlis itu Emelda menerima tujuh dulang hantaran termasuk sepersalinan baju, manisan dan kuih-muih dengan dibalas sembilan dulang tetapi jumlah hantaran balas itu bertambah dengan pemberian saudara-mara.

“Selepas pemergian ayah, emak bergilir tinggal dengan kami empat beradik yang semuanya menetap di KL. Ingat hendak buat majlis ini di KL tetapi emak mahu buat di rumah pusaka tinggalan arwah ayah kerana saudara-mara kami pun ramai di sini. Sejak emak tinggal di KL rumah ini pun hilang seri,” katanya.

Emelda menerima cincin pertunangan emas putih bertatah berlian yang disarungkan ke jari manisnya oleh kakak Mak Mah, Jumaiyah Sidek sambil disaksikan Mak Mah sendiri. Sebagai balasan, Adlin turut disarungkan cincin perak oleh bakal ibu mentuanya.

Wang hantaran ditetapkan RM29,000 dan mas kahwin, RM1,001. Bagaimanapun, Mak Mah menambah RM1,000 lagi sebagai hadiah kepada bakal menantu menjadikan wang hantaran RM30,000.

Adlin berkata, dia tertarik pada kelembutan yang ada pada Emelda memandangkan dia agak ‘keras’ orangnya.

“Emelda banyak mengajar saya untuk berlemah- lembut. Emak saya pun lembut juga tetapi biasalah kalau emak mengajar, payah kita hendak ikut tetapi kalau dengan kekasih hati cepat pula kita boleh berubah. Emak dan Emelda senada dan seirama membuatkan mereka cepat serasi. Emak puji bakal menantunya cantik. Emak tahu saya kerja kuat dan tiada siapa menjaga makan minum saya. Sekarang emak lega ada orang yang akan menjaga kebajikan saya. Emelda sangat mengambil berat dan semua ciri seorang isteri yang diidamkan ada padanya. Emelda memberi ketenangan kepada saya dan harap perkara itu berterusan dalam rumah tangga kami nanti. Perwatakan saya yang keras, kuat bekerja dan cara berfikir sama macam bapa yang berdarah Mandailing. Apabila bercakap, suara arwah keras dan tegas. Apa yang bapa buat dulu iaitu mengarah dan menulis skrip, itulah yang saya buat sekarang. Sikap penyayang pula diwarisi daripada emak. Orang Jawa cakapnya lembut. Emak kata saya mewarisi sikapnya dan bapa,” katanya.

Bagi mengukuhkan keutuhan rumah tangganya dengan Emelda, Adlin berkata sebolehnya dia tidak mahu membuka ruang kepada masyarakat dan wartawan untuk memperkatakannya. Dia tidak mahu orang menjaja cerita rumah tangganya. Biarlah orang memperkatakan mengenai kerjaya mereka.

“Selama berkawan pun, kami tidak terlalu mendedahkan diri bagi mengelakkan kontroversi,” katanya

Oleh kerana majlis persandingan mereka tidak lama lagi, Adlin dan Emelda mula membuat persiapan. Begitu pun, Adlin lebih senang menyerahkan kepada Emelda untuk memilih konsep dan warna tema majlis itu.

“Saya ini lelaki, ikutlah saja cita rasa orang perempuan. Yang mana elok bagi Emelda, baiklah untuk saya. Majlis persandingan itu akan diadakan di tiga tempat, Ipoh, kampung emak di Meru, Klang dan di KL untuk meraikan kawan-kawan. Destinasi berbulan madu belum difikirkan lagi,” katanya.

Latar keluarga Adlin, adik-beradik sebapanya ada 18 orang. Manakala adik-beradik seibu pula enam orang. Bagaimanapun jelas Adlin mereka semua rapat dan rumah Mak Mah di Meru tempat berkumpul. Mak Mah juga menjadi pakar rujuk anak-anaknya. [sumber]

What do you think?

72 Points
Upvote Downvote

Comments

Leave a Reply
  1. salam’….tahniah’..semoga abadie selamanya’…..salam doa untuk adlin n emelda’….hope emelda akan terus berlakon,…love ya’…

  2. Tahniah pd Adlin & Emelda..moge kekal hingge ke akhir hayat & tabah mengharungi kehidupan bersuami-isteri….

Leave a Reply

Loading…

0

Written by Budiey (Admin)

Penggemar filem seram yang sentiasa mengemaskini pengetahuan tentang gajet & teknologi masa kini dan masih tegar menjadi penulis portal hiburan & gaya hidup sepenuh masa sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber yang aktif menemubual selebriti dan menerbitkan video Buletin Viral di Budiey Channel.

Penyakit Gout

Gambar Sidang Media Penyertaan FFM22-KK2009