in , ,

Wafiy Aan Mahu ‘Lupa’ Kisah Silam, Kini Tampil Dengan Single Sulung

Penyanyi Remaja Popular Muncul Dengan Single Sulung Di Bawah Naungan Label Terkenal Rocketfuel Entertainment

Kalau dahulu, wajah comelnya sering membuat kita terhibur di kaca televisyen, kini, penyanyi, pelakon dan pengacara TV remaja popular yang semakin kacak, anak kelahiran Beaufort, Sabah, Wafiy, tampil dengan sebuah single sulung di bawah naungan Rocketfuel Entertainment berjudul ‘LUPA’.

Mungkin ramai di luar sana lebih mengenali pemilik nama sebenar Mohd Wafiy Ilhan Johan sebagai seorang pelakon kanak-kanak berbakat yang kini sudah pun menginjak remaja menerusi pelbagai drama, telefilem serta filem yang dibintanginya.

“Saya sebenarnya bermula sebagai penyanyi sewaktu di awal pembabitan dalam industri hiburan sebagai salah seorang peserta Ceria Popstar musim yang pertama pada tahun 2013, namun rezeki lebih dalam bidang lakonan dengan tawaran yang mencurah-curah,” kata Wafiy.

Wafiy Mahu ‘Lupa’ Kisah Silam

Siapa sangka, artis yang berusia 19 tahun ini sudah pun berkecimpung dalam bidang seni negara hampir sedekad lamanya.

“Selama ini saya hanya bergerak sendiri tanpa mana-mana pihak pengurusan, kemudian di usia 19 tahun saya mengambil keputusan untuk menyertai Astro semula di mana kerjaya nyanyian saya akan dikendalikan oleh pihak Rocketfuel.

“Bercerita mengenai lagu LUPA, sebenarnya idea disebalik pembikinannya sudah pun bermula sekitar 4 tahun yang lepas sehingga saya sendiri pun hampir terlupa tentang kewujudannya,” jelas Wafiy sambil tertawa.

Single dalam genre pop ini adalah ciptaan komposer dari negara seberang, Herdasyira sepenuhnya yang menceritakan tentang seorang lelaki yang ditipu kekasihnya dan sukar baginya untuk melupakan bekas teman wanitanya kerana hatinya disakiti.

“Walaupun lagu ini tentang kecurangan, saya tidak mahu ‘memberatkan’ lagi maksudnya kerana melodinya yang santai dan bersahaja.

“Siapa yang tidak pernah ditipu bukan? Pasti akan merasa ‘sakit hati’, namun kita sentiasa cuba untuk melupakan pengalaman tersebut dan sentiasa berfikiran positif, selain hanya move on dengan kehidupan,” tambah Wafiy.

Proses rakaman single ini tidak memakan masa yang lama kerana Wafiy sudah pun ‘kenal’ dengan jalan ceritanya dan faham apa yang dimahukan komposer bagi menghidupkan karya tersebut.

“Pada mulanya, tajuk lagu ini adalah ‘Minta Ampun’ dan apabila dirombak semula kami bercadang untuk menukarnya kepada LUPA kerana lebih sesuai dengan jalan cerita yang cuba disampaikan.

“Susunan muziknya juga turut diberi penambahbaikan oleh pihak Rocketfuel agar seiring dengan trend masa kini.

“Lagu pop rancak ini mempunyai unsur muzik RNB dengan elemen easy jazz yang santai menambah mood ceria walaupun lagu ini menceritakan tentang hati yang disakiti,” jelas Wafiy.

Selain itu, peminat Wafiy juga berpeluang menonton video muzik (MV) LUPA lakonannya dengan jalan cerita yang menarik mengangkat tema komedi dengan elemen kejutan di penghujungnya.

“Saya seorang yang ringkas tetapi suka mencuba sesuatu yang baharu, dan dari segi muzik pula saya mahu menjadi penyanyi versatil yang tidak terikat pada mana-mana genre.

“Selain bidang nyanyian, saya juga gemarkan bidang pengacaraan dan mahu meneroka bidang tersebut dengan lebih lagi serta cuba memperbaiki mutu pengacaraan saya dari semasa ke semasa.

“Dan kejayaan yang saya kecapi pada hari ini tidak mungkin terjadi sekiranya tiada sokongan dari keluarga sejak mula lagi, merekalah tonggak kekuatan saya selama ini, selain peminat-peminat saya,” kata Wafiy.

Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment berkata, “Walaupun masih muda, Wafiy adalah di antara artis negara ini yang mempunyai potensi besar untuk pergi jauh.

“Bakat yang dimilikinya sedari kecil digilap secara tidak sengaja melalui pengalamannya sepanjang berada dalam industri seni nyata memberi keyakinan buat dirinya, dan dengan terlancarnya lagu LUPA ini dapat melonjakkan lagi nama Wafiy.

Kongsi Wafiy menutup bicara, “Saya hanya mahukan pendengar terhibur dengan karya ini kerana tiada maksud ‘berat’ yang tersirat, semoga peminat saya semakin bertambah bukan sahaja di dalam negara bahkan di Indonesia juga.

Lagu ‘LUPA’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Lirik Lagu LUPA (WAFIY AAN)

Tajuk : LUPA

Artis : Wafiy

Penulis Lirik : Herdasyira

Komposer : Herdasyira

Terbitan : Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.

Kadang aku merasa

Takkan ada cinta

Seindah dari cintamu

Oh kasihku

Kadang aku menyangka

Takkan ada cinta

Seperti cinta darimu

Namun baru aku tahu

Semua itu

Hanya permainan cintamu

Yang palsu

Semakin lama semakin ku tahu

Bukan dirimu

Menjadi teman hidupku

Telah Ku tahu

Aku hanyalah permainan untukmu

(Chorus)

Aku

Tak akan pernah melupakanmu

Yang telah menyakiti diriku

Begitu dalam

Rasa sakitnya

Minta ampun

Kamu

Tegar tegar tegarnya padaku

Tegar mempermainkan diriku

Begitu saya

Namun Diriku

Move on baby

Pergi saja pergi dariku

Lupakan aku

Lupakan setiap kenangan

Yang lalu

Sudah lama sudah ku tahu

Bukan dirimu menjadi teman diriku

One two three four…

(Chorus)

Biar saja

Ku tak mau tak mau

Kau Kembali

Ku tak mau tak mau

Kau sakiti

Lagi dan lagi

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Precession Capital Berhad (PCB) Kekal Teguh Dengan Misi Untuk Memacu PKS

11 Program Khas Aidiladha Di TV2, Bertemakan Indahnya Pengorbanan