in , ,

Viu Malaysia Umum 6 Drama Paling Dinantikan Untuk Tahun 2024

Platform penstriman Viu Malaysia umumkan 6 drama tempatan yang paling dinantikan untuk tahun 2024

Viu, perkhidmatan penstriman video OTT pan-serantau terkemuka milik PCCW bersedia untuk membuka tirai tahun baru dengan koleksi drama premium tempatan yang mengujakan. Koleksi tersebut merangkumi enam siri Viu Original dan sebuah dokumentari eksklusif bertajuk This is Johan.

Diumumkan buat pertama kalinya di acara Viu Upfront 2024 pada November lalu, antara Viu Original yang bakal ditayangkan adalah Terlanjur Cinta, Nafsu, Gadis Masa, The Secret, drama adaptasi Korea, Strong Girl dan juga yang paling dinantikan sambungan daripada Viu Original 2023,  From Saga With Love musim ke-2 . 

Viu Umum 6 Drama Tempatan Yang Paling Dinantikan Untuk Tahun 2024

Viu Malaysia bakal memulakan tahun 2024 dengan Terlanjur Cinta, sebuah naskhah eksklusif pertama sempena Ramadan di platform tersebut. Karya daripada penerbit terkemuka, Eirma Fatima ini bakal  ditayangkan pada Mac tahun hadapan. 

Sebuah lagi karya yang bakal menyusul dan tersedia dalam perancangan tahun hadapan ialah From Saga With Love Musim ke-2, sekuel untuk drama romantik komedi yang telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para penonton. 

Berikutan kejayaan musim pertamanya, Viu Malaysia telah memilih untuk menghasilkan musim kedua drama tersebut dengan mengekalkan barisan pelakon utama iaitu Siti Khadijah Halim, Ikmal Amry, Sophia Albarakbah dan Fimie Don.

Viu-ers juga bakal disajikan dengan drama adaptasi Korea– Strong Girl, yang diolah dari drama Strong Woman Do Bong Soon. Drama versi Malaysia ini bakal diterajui oleh dua pelakon tempatan berbakat, Nadhir Nasar dan Meerqeen.

Selain daripada siri Viu Original, Viu Malaysia juga bakal menayangkan This is Johan, sebuah dokumentari eksklusif yang mengisahkan tentang Joe Flizzow, seorang perintis dunia Hip Hop tanah air yang berpengaruh di peringkat domestik dan juga antarabangsa. 

Dokumentari ini akan merungkai evolusi industri hiburan tempatan. Dokumentari ini merupakan kolaborasi di antara Viu Malaysia dan Hotlink sebagai salah satu usaha Viu Malaysia dalam menyokong pembangunan bakat kreatif Malaysia. 

Viu Malaysia akan terus komited dalam memberikan impak positif kepada industri hiburan tempatan melalui drama-drama original dan eksklusifnya. 

Platform OTT ini juga akan terus menyediakan hiburan bermutu kepada pelanggan baru dan juga sedia ada melalui program-program inovatif berkualiti tinggi pada tahun akan datang. Viu-ers boleh menantikan pelbagai kandungan yang mencerminkan usaha Viu Malaysia dalam memberikan hiburan dengan sentuhan tempatan. 

Terlanjur Cinta

Demi menyelamatkan abangnya, seorang penagih dadah dari dipenjarakan dan juga mengubah nasib keluarga dari kemiskinan, Aishah membuat keputusan untuk berkahwin dengan duda terlajak, Pak Majid. Keputusan ini memaksa Aishah untuk melupakan perasaannya terhadap Amir, teman rapatnya sejak kecil. Keperibadian Pak Majid yang sopan dan budiman membuatkan Aishah jatuh hati walaupun terdapat perbezaan usia. Namun, sebaik sahaja mendapat sinar kebahagiaan, harapannya musnah setelah Pak Majid yang baru pulang dari lawatan kerja, memperkenalkan isteri barunya. Kemesraan Pak Majid yang telah berubah menyebabkan Aishah menjadi keliru. Dalam masa yang sama, Amir masih lagi mengintai peluangnya dari jauh, dengan harapan dapat memberi kebahagiaan yang seharusnya dimiliki Aishah.

Nafsu

Di sebalik kawasan setinggan dan lorong gelap Kuala Lumpur, Sam menipu dan menyamar sebagai bomoh demi kelangsungan hidup. Mangsanya adalah mereka yang mudah terpedaya dengan ilmu hitam dan dengan menggunakan kesempatan itu, Sam mengaut duit mereka dengan penipuan dan ilusi murahan. Namun hakikatnya, Sam mempunyai deria keenam dan boleh melihat makhluk ghaib, tetapi dia menolak kepercayaan itu kerana padanya ia adalah satu sumpahan. Apabila Dina, bekas kekasih Sam, datang meminta pertolongan mencari adik perempuannya yang hilang, Sam terima dengan hati yang berat. Namun, pencarian itu membawa mereka bertemu dengan satu kumpulan ajaran sesat, yang diketuai oleh seorang yang jahat. Sam bakal diduga dengan perkara-perkara yang di luar jangkaan akal. 

Gadis Masa

Maya dan Khairi bertemu dan jatuh cinta ketika mereka masih muda. Namun, hubungan mereka berada diambang kehancuran setelah beberapa tahun perkahwinan. Perbalahan tidak diduga menyebabkan kemalangan kereta yang membunuh Khairi. Dengan hati yang lara, Maya terjumpa payung lama yang mempunyai kebolehan untuk membawanya kembali ke masa lalu, ke saat dia dan Khairi pertama kali bertemu. Dengan kebolehan ini, Maya berazam untuk mengubah takdir dan percaya bahawa satu-satunya cara untuk menyelamatkan Khairi adalah sekiranya mereka tidak pernah bersama. Namun, melawan takdir bukanlah perkara yang mudah dan Maya mendapati bahawa setiap percubaan untuk mengubah takdir, membawa Maya kepada situasi-situasi yang lucu dan diluar jangkaan.

The Secret

Apabila Liya, seorang pelajar universiti popular ditemui mati, pihak berkuasa mengklasifikasikan kematiannya sebagai bunuh diri. Johanna, pensyarah Liya merupakan satu-satunya individu yang mengesyaki bahawa ada sesuatu yang lebih buruk telah terjadi apabila dia menemui sepucuk surat ugutan di bilik hostel Liya. Dengan bantuan sahabat baik Liya, Nini, penyiasatan mereka membawa kepada tuduhan merogol. Tetapi tanpa sebarang bahan bukti yang kukuh, andaian mereka berdua sukar untuk didengari, apatah lagi untuk dipandang serius. Johanna yang dibelenggu oleh trauma yang berpanjangan, berazam untuk membawa suspek ke muka pengadilan. Namun begitu, keadaan menjadi sukar apabila di mendapati bahawa ada pihak lain yang cuba untuk melakukan apa sahaja, untuk melenyapkan kebenaran.

From Saga With Love

Empat sekawan kembali ke Saga semasa musim bunga untuk bertemu dengan Akiro Shisho, tetapi kekacauan dan kejadian yang lucu sentiasa berlaku apabila Karma, Sham, Bianca, dan Bob bersama. 

Ini merupakan sekuel siri romantik komedi hit Viu Malaysia 2023, From Saga With Love, dibintangi Siti Khadijah Halim, Ikmal Amry, Sophia Albarakbah dan Fimie Don.

Strong Girl

Luna ialah seorang wanita muda yang dilahirkan dengan kekuatan luar biasa, setelah diwarisi melalui keturunan perempuan dalam keluarganya. Apabila Noah, Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat permainan video, melihat Luna menggunakan kuasanya untuk melawan sekumpulan pembuli, Noah memutuskan untuk mengupah Luna sebagai pengawal peribadinya untuk menangkap pengintip yang telah menghantar mesej ugutan kepadanya. 

Sementara itu, seorang penculik bersiri yang menjadikan wanita muda cantik sebagai sasarannya, sedang berkeliaran dengan bebas di bandar tersebut. Kes itu telah menyebabkan Inspektor Miqael, teman zaman kanak-kanak Luna yang diminatinya, kembali ke Kuala Lumpur untuk menyiasat kes tersebut. Luna kini mendapati dirinya terperangkap dalam cinta tiga segi di antara Noah dan Miqael, dan pada masa yang sama, terpaksa menggunakan kuasanya untuk menyelamatkan keadaan. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ziana Zain Umum Konsert Solo Bertaraf Mega Selepas 22 Tahun Tak Beraksi

Telefon Pintar Pengecasan Terpantas di Dunia realme GT3 240W Bakal Dijual