in , ,

Tuntut RM1 juta, Ustaz Abu Syafiq Saman Fitnah 2 Individu Termasuk Amin Idris

Pada hari ini, Khamis bersamaan 7 Mei 2020, pendakwah bebas, Ustaz Abu Syafiq telah memfailkan saman di mahkamah terhadap pengacara dan penceramah motivasi, Amin Idris bersama seorang lagi individu kerana mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Perkara tersebut disahkan oleh firma guamannya selepas Amin Idris dan seorang lagi individu memuat naik kenyataan secara dalam talian yang disifatkan menjejaskan jenama peribadi, imej dan reputasi Abu Syafiq. Peguam, Nurul Hafidzah Hassan dalam satu kenyataan berkata, saman tersebut difailkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor dan Mahkamah Sesyen Kuantan, Pahang.

“Anak guam kami, Ustaz Abu Syafiq, memfailkan saman fitnah terhadap Amin Idris dan individu tersebut kerana memfitnah beliau.

“Ia dilakukan oleh defendan-defendan tersebut yang telah menerbit dan menyiarkan kenyataan-kenyataan palsu dan fitnah mengenai anak guam,”

– Nurul Hafidzah Hassan

Nurul Hafidzah berkata, tindakan saman itu bertujuan untuk melindungi reputasi anak guamnya dan supaya kedua-dua defendan bertanggungjawab terhadap kenyataan-kenyataan mereka yang salah dan berbaur fitnah.

Tambahnya, ia juga untuk membuktikan kebenaran bahawa Abu Syafiq tidak bersalah dan tidak melakukan seperti apa yang didakwa oleh Amin Idris dan seorang lagi individu tersebut. 

“Sebelum mengambil keputusan untuk menyaman, Ustaz Abu Syafiq telah berusaha untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tetapi Amin Idris dan individu tersebut enggan meminta maaf.

“Ustaz Abu Syafiq telah cuba meminta agar kenyataan-kenyataan fitnah dipadamkan dan permohonan maaf dilakukan namun Amin Idris dan seorang lagi individu enggan berbuat demikian.

“Apa yang pasti melalui bukti-bukti yang telah diteliti, kami mendapati anak guam tidak membuat kenyataan-kenyataan seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak, ” 

– Nurul Hafidzah Hassan

Dalam pada itu, Nurul Hafidzah turut memberitahu bahawa pihaknya sedang meneliti beberapa akaun sosial media lain yang membuat komen fitnah, ‘body shaming’, menghina dan lain-lain jenis perlakuan yang melanggar undang-undang untuk dibawa ke muka pengadilan.

“Kami berharap masyarakat lebih celik, peka dan tahu membezakan kritikan dan pendapat berbanding fitnah.

“Salah yang kita sangka tidak semestinya ia benar dan ia tidak memberikan lesen untuk memfitnah, memalukan dan melakukan serangan peribadi, ”

– Nurul Hafidzah Hassan

Terdahulu, Amin Idris menerusi laman Facebook pada 27 April lalu, mendedahkan Abu Syafiq menuntut ganti rugi sebanyak RM1 juta kerana posting beliau. Ia susulan status yang dimuat naik Amin Idris di laman sosial sebelum ini membabitkan isu dengan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew yang dianggap menjatuhkan reputasi.

Dalam tuntutan dibuat Abu Syafiq itu, menerusi peguamnya menyifatkan status dimuat naik oleh Amin Idris membuatkan Abu Syafiq menerima pelbagai reaksi negatif dari banyak pihak termasuklah masyarakat. 

Menerusi tuntutan sama, permohonan maaf tersebut perlu dibuat di semua medium dan mesti mendapatkan kelulusan daripada Abu Syafiq. Amin Idris diberi masa tujuh hari untuk membuat permohonan maaf dan membayar RM1 juta.

Amin Idris sebelum ini melahirkan rasa kesyukuran dan terima kasih apabila keputusannya untuk tidak meminta maaf dan membayar ganti rugi berjumlah RM1 juta kepada Ustaz Abu Syafiq mendapat sokongan masyarakat dan netizen.

“Saya bersyukur kerana bukan saya seorang yang melihat kebiadaban dia. Dalam masa sama, ini menambah motivasi untuk teruskan berjuang. Lebih jelas lagi, ini juga tanda rakyat Malaysia menolak agamawan yang tandus akhlaknya,” 

– Amin Idris

Sebelum ini, beberapa media dan portal dalam talian telah menyiarkan berita tentang Ustaz Abu Syafiq menyokong gedung pakaian Jakel dan menyifatkan Senasib Difitnah oleh netizen. 

Baru-baru ini hangat diperkatakan mengenai satu kenyataan oleh adik kepada Pengarah Urusan Jakel iaitu Muzaffar Jakel yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum Melayu menerusi Instagram.

Kenyataannya itu mengundang kemarahan netizen di mana ada di kalangan mereka bertindak mahu memboikot jenama tersebut dan memilih butik pakaian jenama lain seperti jenama baju dari Ustaz Ebit Lew dan Adam Corrie untuk persiapan sempena hari raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Isu tersebut turut mendapat perhatian pendakwah sensasi, Ustaz Abu Syafiq yang tampil menyatakan sokongan terhadap perniagaan Jakel untuk berdepan kontroversi yang melanda jenama tersebut.

Menerusi satu video dikongsikan di Instagram, Ustaz Abu Syafiq mengatakan situasi yang terjadi kepada Jakel adalah sama seperti apa yang berlaku kepadanya sebelum ini, apabila ada beberapa pihak yang cuba melaga-lagakan, sehingga mengundang fitnah.

“Terbaru berkaitan dengan Jakel, apa yang berlaku kepada Jakel kali ini hampir sama apa yang berlaku ke atas saya, iaitu melaga-lagakan antara umat Islam…”

– Abu Syafiq

Menurutnya lagi, segala yang berlaku ini adalah fitnah di bulan Ramadan. Dalam pada itu, pendakwah itu menyatakan bahawa dia tetap akan menyokong dan membeli pakaian dan kain di Jakel.

“Jadi saya ingin isytiharkan bahawa saya orang pertama yang menyokong Jakel. Insya-Allah kita akan membeli kain di Jakel, kita jahit untuk pelajar-pelajar tahfiz, anak yatim dan miskin serta orang susah yang memelukan,” 

– Abu Syafiq

Terdahulu, Muzaffar Jakel telah pun membuat satu permohonan maaf berikutan kenyataannya yang menimbulkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat Melayu. Menurutnya kenyataan itu adalah kenyataan peribadi dan bukanlah mewakili dari kenyataan syarikat Jakel.

Jadi, apa pendapat anda tentang isu ini? Jika ada pendapat dan pandangan, anda boleh menulis di ruangan komen kat bawah ini. Kita komen yang baik-baik. Semoga dengan apa yang dipaparkan ini memberikan sedikit sebanyak info dan pengajaran buat kita semua. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Michael Pena Movie Filem | 19

Filem MOM Raikan Hari Ibu di RTM

Shukri Yahaya | 20

Shukri Yahaya Teruja Nak Dapat Anak Lelaki