in ,

Mat Redho Jadi Hos Travelog Bukan Jalan Biasa

Permulaan tahun baharu ini pastinya ramai yang mula merangka destinasi menarik untuk dikunjungi sepanjang tahun 2018. Mengambil inisiatif memudahkan dan memberi panduan kepada penonton salurannya mendapatkan info menarik percutian dalam negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan program travelog terbaharu bertajuk “Bukan Jalan Biasa”.

13 episod travelog berkonsepkan eco pelancongan yang tempatnya kaya dengan alam semulajadi menemui penonton mulai 1 Januari 2018, setiap Isnin, pukul 9.00 malam di TV1.

Menampilkan pengacara, Mat Redho yang merupakan anak Malaysia pertama yang menyertai Ninja Warrior, program ini berkongsi paparan menarik dan pengalaman berada di destinasi yang wajib dikunjungi setiap rakyat Malaysia termasuklah Cameron Highlands, Hutan Simpan Royal Belum, Pulau Perhentian, Mersing, Semporna, Kundasang dan Miri, Sarawak.

Mat Redho berada di Sepat Village House berasam kru travelog Bukan Jalan Biasa

Travelog Bukan Jalan Biasa Warnai Program Tahun Baharu 2018 Di TV1

Nantikan episod pengenalan di Cameron Highlands mengunjungi Tanah Rata, Mat Redho ke Rumah Pokok dengan laluan berbukit dan berbatu. Rumah Pokok merupakan inspirasi rumah tradisional masyarakat orang asli Cameron Highland yang dibuat daripada buluh, rotan dan daun kelapa. Destinasi seterusnya ialah di Hutan Mossy, kawasan hutan yang dipelihara yang dipenuhi persekitaran berlumut melalui laluan bertangga yang mencecah suhu sehingga 10 darjah Celsius pada waktu malam.

Seterusnya dari Hutan Simpan Royal Belum, Grik, Perak, beliau bergerak ke Jeti Awam Pulau Banding yang kemudiannya menginap di Rumah Bot untuk bermalam. Beliau kemudiannya melawat perkampungan orang asli kaum Jahai di Kampung Aman Damai dan membuat aktiviti menyumpit yang merupakan kemahiran kaum Jahai. Antara aktiviti lain menikmati keindahan matahari terbenam yang mendamaikan.

Mat Regho meneruskan perjalanan menuju ke Besut, Terengganu dan singgah di Perhentian Rehat Banjaran Titiwangsa sambil menikmati keindahan pemandangan banjaran gunung-ganang. Setibanya di bandar Besut, menuju ke Bukit Bubus dan melakukan aktiviti luncur ‘paragliding’ sambil menikmati keindahan pemandangan daripada udara. Keesokan harinya, beliau menerokai Gua Jejawi. Terdapat sebanyak 12 buah gua yang wujud di sepanjang pantai tersebut. Pendakian Bukit Keluang merupakan aktiviti terakhir yang dilakukan dan dapat melihat panorama indah dengan lautan terbentang luas dan dapat melihat 3 buah pula yang terkenal iaitu Pulau Rhu, Pulau Perhentian dan Pulau Redang.

Selesai menjelajah pekan Besut, Mat Redho berkunjung ke Kuala Besut dan menaiki bot menuju ke Pulau Perhentian Kecil. Aktiviti yang dilakukan beliau ialah mendaki Bukit Kincir Angin yang menjadi mercu tanda Pulau Perhentian Kecil. Ia merupakan Kincir Angin yang pertama didirikan di kawasan Asia yang berfungsi untuk membekalkan tenaga elektrik kepada penduduk pulau tersebut.

Di Tanjung Sepat, Kuantan, Pahang dari Marang, Terengganu, perjalanan diteruskan dan beliau menginap di Sepat Village Resort. Aktiviti kayak merupakan pilihan Mat Redho untuk percutian di Tanjung Sepat kali ini yang mana beliau memilih Sungai Penuh yang terdiri dengan tumbuhan paya bakau. Setelah selesai, beliau meneruskan perjalanan ke Maran, Pahang untuk menuju ke Hutan Lipur Jerangkang.

Perjalanan bergerak ke Mersing, Johor dan menginap di sebuah ‘homestay’ di Kampung Tenglu Laut dan bersiar-siar di sekitar kampung tersebut. Mat Redho sempat mencuba aktiviti ‘menarik kepah’ di persisiran pantai bersama penduduk kampung. Keesokannya beliau menuju ke jeti Mersing untuk menjelajah pulau-pulau di Kepulauan Mersing. Sebanyak 5 buah pulau dilawati beliau dengan menggunakan perkhidmatan bot laju yang ditawarkan iaitu Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Lima, Pulau Rahsia dan Pulau Mentinggi (dikenali sebagai Pulau Maldives Malaysia).

Mat Redho menjelajah ke Pulau Aur dengan menaiki bot laju yang diwartakan sebagai Taman Laut pada tahun 1994 dan aktiviti menyelam tidak dibenarkan. Beliau terpesona apabila sampai ke Pulau Aur apabila melihat kecantikan pantai dan kejernihan air yang memukau. Mat Redho menaiki bot menuju ke Pulau Dayang untuk mendaki Bukit Letak Semalu menikmati pemandangan indah dari atas puncak bukit tersebut. Setelah selesai dia mandi laut di Pulau Dayang.

Tidak kurang menariknya kunjungan ke Semporna, Sabah. Beliau bertolak ke Pulau Bohey Dulang yang terletak di bawah Taman Marin Tun Sakaran dan memulakan aktiviti mendaki Bukit Bohey Dulang. Mat Redho meneruskan perjalanan menuju ke Pulau Bodgaya yang merupakan perkampungan atas laut oleh Kaum Suku Bajau Laut Palauh. Beliau sempat melawat rumah penduduk yang didirikan di atas laut dan mereka jarang menjejakkan kaki di darat. Aktiviti terakhir Mat Redho ialah berkunjung ke Pulau Sibuan untuk melakukan aktiviti snorkel dan juga selam skuba.

Mat Redho meneruskan perjalanan menuju ke Ranau, Sabah menginap di kawasan Ladang Teh Sabah yang menyediakan penginapan Rumah Panjang Suku Kaum Rungus. Antara tempat menarik yang dikunjunginya ialah di ladang ternakan lembu tenusu untuk merasai pengalaman memberi makan anak lembu dan membeli susu segar yang diperah di ladang tersebut. Seterusnya beliau menuju ke Bukit Kristal yang menampilkan pemandangan memukau pekan Kundasang yang berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu.

Beliau menuju ke Kota Belud kemudiannya singgah di Kampung Melangkap Tiong yang mempunyai sungai yang kaya dengan ikan kelah dan dipanggil sebagai Pelancongan Ikan Jinak. Penduduk tempatan mengamalkan sistem Tagal yang bermakna ikan kelah di situ tidak dibenarkan ditangkap untuk waktu-waktu tertentu yang ditetapkan bagi tujuan peliharaan dan perlindungan.

salah satu episod Bukan Jalan Biasa

Ikuti banyak lagi aktiviti menarik dikongsikan dalam travelog ini di TV1.

Bagi anda yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Mat Redho hos program

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Jangan Tutup Lampu Suria FM Bob Ringgo Kupas Fenomena Alam Ghaib

Ini Cara Untuk Naik Uber ke KLIA Secara PERCUMA