in

Trailer Filem Vikingdom The Blood Eclipse Dilancarkan di Youtube

VIKINGS SERANG YOUTUBE!

Vikingdom – The Blood Eclipse

[dropcap]K[/dropcap]RU Studios telah melancarkan treler filem yang dinanti-nantikan ramai berjudul “Vikingdom” arahan Yusry Abdul Halim di You Tube. Filem bergenre aksi, fantasi dan penggembaraan ini adalah filem Bahasa Inggeris buatan Malaysia untuk pasaran antarabangsa.

Dibintangi oleh Dominic Purcell (Prison Break, Killer Elite), Natassia Malthe (Dead or Alive, Elektra), Craig Fairbrass (Cliffhanger), Jon Foo (Tekken) dan Conan Stevens (The Hobbit), Vikingdom bakal memperkukuhkan lagi kedudukan KRU Studios diarena antarabangsa dan membuka laluan yang lebih besar bagi menembusi pasaran Amerika pada tahun ini.

Norman Abdul Halim, selaku Presiden Eksekutif KRU Studios dan Penerbit Eksekutif Vikingdom berkata,

“Idea untuk menerbitkan filem bertemakan sejarah dan mitos orang-orang Vikings ini telah diilhamkan seawal tahun 2008. Pihak kami tahu bahawa projek ini adalah terlalu besar bagi kami ketika itu dan kami perlukan masa untuk menyiapkan skrip, memperkukuhkan rangkaian perniagaan diperingkat antarabangsa, memperkasakan kemahiran didalam penghasilan kesan khas visual (CGI) serta mendalami pemahaman tentang pasaran filem diperingkat global. Oleh kerana itu, pihak kami menerbitkan “Deadline” pada 2009, dibintangi Brittany Murphy (Clueless, Just Married) dan “Hikayat Merong Mahawangsa” pada 2010… sebagai persediaan kami untuk tugasan yang lebih mencabar iaitu Vikingdom pada 2011. Projek ini memberikan kami pengalaman berharga dan ini bukanlah penghujungnya; malah merupakan permulaan baru bagi KRU untuk meluaskan perniagaan diperingkat antarabangsa.”

Vikingdom memakan masa selama 6 bulan bagi kerja-kerja pra-produksi, 2 bulan bagi produksi (penggambaran) dan 16 bulan bagi pasca produksi, khususnya bagi kerja-kerja kesan khas visual merangkumi lebih 3,000 syot.

Kesemua kerja-kerja pra-produksi, produksi dan pasca produksi telah dijalankan di Malaysia, oleh hampir keseluruhannya warganegara Malaysia. Kebanyakan lokasi bagi penggambaran adalah di studio pentas bunyi di sekitar Kuala Lumpur untuk menghasilkan dunia fantasi “surreal” sepertimana yang digambarkan didalam filem-filem seperti “Lord of The Rings” dan “300”.

Yusry selaku peneraju utama bagi kesemua aspek kreatif filem ini berkata:

“Vikingdom adalah filem aksi yang sarat dengan kesan khas visual dan 2 tahun dalam hidup saya didedikasikan bagi menyiapkan projek ini. Semasa produksi, cabaran utama adalah bagi penggambaran babak-babak aksi dan semasa pasca produksi, tiada yang lagi sukar melainkan menyiapkan kesan khas visual. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kesemua pelakon dan kru yang membantu saya didalam pelbagai peringkat produksi bagi filem ini dan berharap semua pihak akan berpuashati dengan hasilnya.”

Pada 26hb dan 27hb Mac 2013, Vikingdom akan ditayangkan di Los Angeles kepada para pengedar di Amerika Syarikat. Filem ini dijangka akan ditayangkan kepada awam pada Ogos 2013.

Layari Facebook Vikingdom https://www.facebook.com/Vikingdom

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Kejutan Program Da’i Minggu Ke-8

Temubual Eksklusif Budiey Bersama Wings #WingsRockestra2013