in ,

Telemovie Nota Untuk Sang Awan Lakonan Beto Kusyairi

Kisah inspirasi penulis novel berkerusi roda di bawakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi tayangan telemovie bertajuk “Nota Untuk Sang Awan” mengisi slot Citra di TV2 pada 19 Mac ini, pukul 11.00 malam. Ia menampilkan gandingan pelakon hebat Beto Kusyairi, Aisya Hasnaa, Anne Ngasri, Mubarak Majid, Rosli Rahman Adam, Emelie Hanif dan Darling Ngasri.

Kisahnya berkembang dengan watak Arman, seorang penulis novel sastera yang cacat dan berkerusi roda. Kemalangan di jalanraya 2 tahun lampau mengorbankan isteri tersayang. Arman yang terselamat, atas rasa bersalah menutup hidupnya dari dunia luar dan menghabiskan hampir sepenuh masanya di rumah membaca buku-buku dan menulis karya-karya perihal kehidupan. Sesekali adik perempuannya, Lisa akan melawatnya di rumah demi membantu keperluan.

Poster Drama Nota Untuk Sang Awan

Inspirasi Penulis Novel Berkerusi Roda Dalam Telemovie “Nota Untuk Sang Awan” Di TV2

Arman seorang lelaki berjiwa klasik. Masih bekarya dengan menggunakan mesin taip, dia tidak mahu sentuhan seninya dicemar peralatan moden. Melihat adiknya melibatkan diri dengan laman sosial facebook menggunakan laptop, memberinya idea untuk karya terbaru, dengan subjek dan persoalan ‘bagaimana manusia berteraksi di zaman moden dengan teknik kuno iaitu berutusan surat menggunakan merpati’.

Beberapa percubaannya gagal namun dia tidak putus asa dan kejayaan mula berpihak padanya. Kejayaan tunggal itu mempertemukan Arman dengan Melia, mereka mula berbicara perihal hidup. Melia banyak menceritakan masalahnya dan Arman selalu memberikan galakan.

Atas nasihat Arman, Melia mampu melalui harinya dengan lebih tabah. Walaupun demikian, bapanya masih bersikap seperti dulu, namun satu insiden dimana Melia di masukkan ke dalam hospital akibat keletihan menginsafkan bapanya untuk lebih memikirkan kepentingan anak perempuannya. Dia bertekad untuk mengubah keadaan lebih baik apabila bapanya telah mendapat kerja, malah dengan gaji yang lebih besar, Melia tidak perlu lagi bekerja tambahan, dia akhirnya boleh memberi lebih fokus pada pelajarannya.

Walaupun kata-kata nasihat Arman membangkitkan keyakinan Melia, hakikatnya kerumitan jiwa yang dilalui Arman masih belum selesai, dia masih belum memaafkan dirinya yang menjadi punca kematian isterinya. Melia berhasrat bertemu Arman namun dia enggan. Arman masih belum bersedia mengadap dunia luar.

Di nota terakhir Melia menulis masa dan alamat mereka akan bertemu. Adik Arman, Lisa melihat nota tersebut. Mengetahui sikap degil abangnya tidak mahu bertemu, dia bertemu Melia. Menceritakan perihal Arman. Melia rasa simpati mahu bertemu lelaki yang berjaya merubah dan memberikan keyakinan dalam hidupnya.

Mereka bertemu. Melia meyakinkan Arman betapa nota-notanya telah banyak membantunya mencari arah hidup. Sudah sampai dia membalas jasa dengan meyakinkan Arman untuk keluar mengadap kehidupan dengan penuh keberanian.

Arman terharu dengan kata-kata Melia, tidak disangkanya, gadis remaja bermasalah yang dinasihatinya, akhirnya menasihatinya kembali. Situasi Arman dan Melia memberikan inspirasi pada Arman untuk menyiapkan novel terbarunya dengan tajuk “Nota Untuk Sang Awan”. Sebuah karya yang menceritakan perihal ketabahan dan kesungguhan dicapai dua insan hanya melalui kata-kata dan galakan dari nota yang diutus dari seekor burung.

Novel Nota Untuk Sang Awan akhirnya menjadi best seller, Arman yang berkerusi roda menjadi jurucakap di program-program motivasi memceritakan kepada umum bagaimana manusia boleh bangkit dari kegelapan jiwa mengejar sinar cahaya, hanya berbekal keazaman dan sokongan dari mereka-mereka yang menyayangi.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Cabaran Rentak Juara 2017 Kini Bermula

Filem TALENTIME Masih Ditayangkan Lagi Selepas 8 Tahun