in ,

Filem TALENTIME Masih Ditayangkan Lagi Selepas 8 Tahun

Talentime, sebuah filem arahan Allahyarhamah Yasmin Ahmad bakal ditayangkan buat pertama kali di Jepun pada bulan Mac ini, setelah 8 tahun ditayangkan di pawagam Malaysia. Talentime bakal menemui penonton di pawagam-pawagam sekitar Tokyo dan Osaka bermula 25 Mac 2017.

Filem terbitan Chilli Pepper Films dan Grand Brilliance ini telah ditayangkan di Malaysia pada 26 Mac 2009 dan merupakan filem terakhir Yasmin Ahmad sebelum pemergiannya pada 25 Julai pada tahun yang sama. Tayangan filem Talentime di Jepun ini merupakan tayangan pertama filem terbitan Grand Brilliance yang berjaya menembusi pawagam antarabangsa selain Singapura dan Brunei di samping festival-festival filem yang lain.

Talentime

Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios berkata,

“Kami amat berbangga kerana karya yang berharga ini dapat dipertontonkan di Jepun. Dunia perfileman kini tidak sama seperti dahulu ketika mendiang masih menghasilkan filem-filem beliau. Walaupun sudah bertahun lamanya mendiang pergi, pengaruhnya pada perfileman Malaysia masih meninggalkan kesan yang mendalam. Satu daripada memori paling indah bagi saya adalah apabila saya menyaksikan beliau menyampaikan hujah beliau di sebuah seminar dipanggil Fearless. Beliau tidak berpandukan kepada sebarang skrip. Namun sebaris ayat yang dituturkan beliau masih mendorong saya hingga ke hari ini: ‘Jika anda melakukan sesuatu yang menyentuh hati anda, barulah anda boleh menyentuh hati orang lain.”

Kakak kepada mendiang, Datin Orked Ahmad turut melahirkan rasa syukur beliau, dan berkata,

“Saya amat berbangga dan berbesar hati kerana sehingga ke hari ini, Yasmin masih lagi di dalam ingatan semua orang yang mengagumi karya-karya beliau. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk berterima kasih kepada pihak Jepun dan Primeworks Studios kerana memberikan dana untuk menghasilkan filem ini. Terima kasih juga kerana menghidupkan karya peninggalan beliau.”

Talentime mengisahkan tentang sebuah pertandingan pencarian bakat di sebuah sekolah menengah yang telah menyatukan dua hati – Melur, seorang gadis kacukan Melayu dan seorang pelajar India, Mahesh. Melur, yang mempersembahkan nyanyian dan mainan pianonya, merupakan salah seorang daripada tujuh finalis pertandingan Talentime yang dianjurkan oleh Cikgu Adibah.

Begitu juga dengan Hafiz, dengan nyanyian dan petikan gitarnya, sedang bergelut untuk membahagikan masa di antara sekolah dan emaknya yang terlantar di hospital akibat barah otak. Ketika sesi latihan, mereka menghadapi pelbagai cabaran dan terpaksa mengharungi isu- isu berkaitan kepercayaan, bangsa, cinta dan kehidupan.

Yasmin Ahmad menyifatkan Talentime sebagai “sebuah cerita yang penuh kegembiraan dan kesedihan, harapan dan kekecewaan, baris-baris lagu yang indah, dan watak-watak yang penuh bermakna.”

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie Nota Untuk Sang Awan Lakonan Beto Kusyairi

Senarai Penuh Pemenang NICKELODEON’S 2017 KIDS’ CHOICE AWARDS