in , ,

Telemovie MARUAH Lakonan Wan Hanafi Su di TV2

Kisah-kisah perjuangan ditonjolkan dalam kebanyakan program-program televisyen terutama sepanjang bulan Ogos ini di mana sambutan Hari Kebangsaan disambut oleh seluruh rakyat Malaysia.

Menggandingkan pelakon Wan Maimunah, Wan Hanafi Su, Zamarul Hisham, Fadhil Dani, Datuk Zulkifli Zain, Rahim Omar, Adam Shah dan Fatin Afeefa Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengisi slot popular Citra dengan sebuah drama ‘berat’ bertajuk “Maruah” menerusi saluran TV2.

Wan Hanafi Su ... antara tunjang utama

Drama “Maruah” terbitan Unit Drama TV RTM ini menemui penonton pada 25 Ogos ini, pukul 10.00 malam.

Mengangkat persoalan utama simbolik ‘maruah’ dalam memperjuangkan sawah dan harta pusaka yang ingin digadaikan oleh sebahagian pihak yang berkepentingan semata, drama arahan Adie Aziz yang dihasilkan naskhah skripnya oleh A.Wahab Hamzah ini pastinya turut membuka mata sebahagian besar daripada masyarakat kita tentang bermulanya kemajuan negara kita yang pada mulanya sukar diterima.

“Maruah” berkongsi kisah tentang kekuatan dan semangat mempertahankan sawah pusaka dari hanyut dalam arus kerakusan sebilangan orang. Kisah ini nyata bakal mengembalikan kekitaan kita kepada sawah dan tanah pusaka, perjuangan yang sekian lama dilupakan kerana arus pembangunan yang semakin rakus menelan apa yang sekian lama diwarisi.

Ia berlatarkan situasi yang berlaku di Kampung Kertau yang terletak di kawasan penanaman padi di sebuah negeri di Utara. Bersawah merupakan kerja tradisi di kampung itu dan sebahagian penduduknya memilih untuk membanting tulang mengusahakan sawah.

Namun konflik mula timbul dengan wujudnya usul projek pembangunan komersil yang dicadangkan oleh sebuah syarikat pemaju yang mendakwa telah disetujui kerajaan. Situasi itu telah menimbulkan pelbagai masalah baru di kalangan penduduk kampung.

Hijrah, Azmi dan Cah merupakan individu yang paling kuat menentang keras cadangan tersebut yang digerakkan oleh Pak Long Derani pengerusi JKKK Kampung Kertau. Malanganya akibat penentangan tersebut, Hijrah telah ditahan polis atas tuduhan tindakannya cuba mengugut dan mengancam keras pekerja syarikat. Hijrah juga terpaksa berdepan dengan abangnya, Sulaiman yang nyata memihak kepada Derani dan syarikat pemaju. Nyata Sulaiman hanya mengimpikan wang dan keuntungan yang bakal diperolehi hingga menyebabkan hubungan mereka adik-beradik mulai retak dan berpecah-belah.

Peristiwa dalam cerita ini berlaku di hujung tahun 1980-an dan baru mahu memasuki era 90-an. Ketika itu juga kereta Proton Saga baru dikeluarkan dan mempunyai kereta itu menjadi kebanggaan dan memberikan taraf baru kepada pemiliknya. Telefon bimbit pula masih belum digunakan.

Kemajuan baru hendak menjengah Kampung Kertau, tetapi sebahagian penduduk masih belum terbuka minda dengan pembangunan dari luar.

Tetapi mereka semua mempunyai kekuatan dan semangat mempertahankan sawah pusaka dari hanyut dalam arus kerakusan sebilangan orang. Kisah ini akan mengembalikan kekitaan kita kepada sawah dan tanah pusaka, perjuangan yang sekian lama dilupakan kerana arus pembangunan yang semakin rakus menelan apa yang sekian lama diwarisi.

Adakah kemenangan berpihak kepada mereka yang berjuang semata-mata atas dasar menjunjung maruah? Atau pun pihak syarikat berjaya mendapatkan hak meneruskan projek pembangunan seperti yang dirancangkan?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Fateen Afifa dan Adam Shah ... turut berlakon

Wan Maimunah bergandingan dengan Adam Shah pegang watak utama

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

TGV Cinemas Buka Cawangan Ke-30 di D’Pulze Shopping Centre

Premiere Limitless Brand New Action-Packed Drama