in ,

Telemovie LUKISAN TAKDIR Kerjasama RTM & RTB

Jalinan kerjasama antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan Radio Televisyen Brunei (RTB) dalam menerbitkan program telah bermula sebaik sahaja kedua-dua stesen berkenaan memeterai perjanjian persefahaman pada 1995. Ia nyata berjaya menyatu dan mengakrabkan hubungan masyarakat antara kedua-dua buah negara.

Mengulangi kejayaan kerjasama pertama dilakukan menerusi penerbitan telemovie pada tahun 1996, tahun ini RTM – RTB tampil menerusi tayangan telemovie bertajuk “Lukisan Takdir” menemui penonton pada 24 November ini, pukul 3.05 petang menerusi saluran TV1.

Poster Telemovie Lukisan Takdir

Menariknya telemovie arahan bersama Noor Azizah Mohamad (RTM) dan Wasli Hj Piut (RTB) ini membariskan pelakon dari Malaysia iaitu Sweet Qismina, Kamal Bakar, Zarina Zainuddin, Hafiz Bakri, Najua P.Ramlee dan Ashaari. Sementara itu pelakon dari Brunei pula terdiri daripada Nasrul Nassar, Sarin Hj Bali, Pg Anak Mas Sofiana Pg Anak Hj Hashim, Hanissa Metusin, Roslee Hj Metali, Shah Indra, Nabilah dan Ben.

Babak Dalam Lukisan Takdir

LUKISAN TAKDIR Telemovie Kerjasama RTM & RTB di TV1

Ikuti kisah Aidan seorang pemuda dari Negara Brunei mengambil keputusan menyambung pelajaran di salah sebuah Universiti di Melaka, bagi mengubati kelukaan di hati, setelah cintanya dikhianati oleh kekasih hatinya, Camelia. Namun, kelukaan hati Aidan terubat setelah berkenalan dengan Sufi, seorang gadis kampung yang penuh dengan kelembutan. Sufi juga telah jatuh cinta pandang pertama terhadap Aidan pada pertemuan singkat mereka.

Setelah Sufi mengetahui latar belakang Aidan yang berasal dari keluarga berada di Brunei, Sufi cuba menjauhkan diri kerana takut diri tidak sempurna bergandingan dengan Aidan. Namun, Sufi tidak dapat melawan takdir Illahi. Akhirnya atas kesungguhan, Aidan berjaya memenangi hati Sufi.

Babak Perkahwinan Sufi Dan Aidan

Zulkifli, bapa Aidan datang ke Malaysia untuk memujuk Aidan supaya pulang ke Brunei bagi meneruskan perniagaan keluarga mereka. Aidan bersetuju dengan permintaan bapanya tetapi Aidan meletakkan syarat agar dia dan Sufi dinikahkan terlebih dahulu sebelum Aidan pulang ke Brunei. Keluarga Sufi terkejut dengan keputusan tersebut tetapi mereka tetap merestui perkahwinan antara Aidan dan Sufi.

Sufi merasakan Kebahagiaan hidup bersama Aidan namun Sufi juga menyedari yang ibu mertuanya, Rakiah tidak dapat menerima kehadirannya. Demi cinta dan ketaatannya kepada suami, Sufi sentiasa bersabar dengan kerenah ibu mertuanya yang sentiasa berusaha menyakiti hati Sufi.

Zulkifli, bapa Aidan merasa simpati dengan Sufi dan menasihatkan Aidan agar berpindah ke rumah mereka sendiri. Ini menyebabkan Rakiah semakin bencikan Sufi. Rakiah mula berpakat dengan Camelia untuk menyingkirkan Sufi dalam hidup Aidan. Akhirnya, Aidan terperangkap dengan umpan yang dibuat oleh Camelia dan ibunya. Aidan menurut kemahuan ibunya untuk menikahi Camelia. Sufi kecewa dengan tindakan Aidan dan mengambil keputusan pulang semula ke pangkuan keluarganya di Melaka.

Berita kepulangan Sufi sampai ke pengetahuan, Naufal, iaitu jejaka yang pernah menaruh hati terhadap Sufi. Naufal cuba mengubati kelukaan di hati Sufi. Naufal meluahkan perasaanya yang terpendam selama ini, dan ingin menggantikan tempai Aidan di hati Sufi.

Bapa Sufi tidak bersetuju dengan tindakan Sufi yang mula rapat dengan Naufal. Bapa Sufi mengajak Sufi ke Brunei untuk bertemu dengan keluarga Aidan dan menyelesaikan masalah yang timbul di antara Sufi dan Aidan.

Aidan akhirnya mendapat tahu bahawa segala yang berlaku di antara dia dan Sufi adalah angkara Camelia. Aidan memutuskan agar tidak meneruskan perkahwinannya dengan Camelia. Ini menyebabkan Camelia menjadi marah. Dalam pertengkaran di antara Camelia dan Aidan, Camelia telah melanggar Aidan dengan keretanya dan menyebabkan Aidan koma.

Nasrul Nassar… Pelakon Utama Dari Brunei

Ketibaan Sufi dan bapanya ke Brunei, disambut baik oleh ibu bapa Aidan. Sufi sedih melihat keadaan Aidan yang terlantar koma. Rakiah, ibu Aidan menyesali segala perbuatannya terhadap Sufi. Rakiah juga sudah banyak berubah dan mengakui kesilapannya. Rakiah meminta Sufi untuk kembali semula kepangkuan Aidan kerana Aidan sangat mencintai dan memerlukan Sufi.

Aidan yang berada dalam keadaan koma, dapat merasai kehadiri isterinya, Sufi. Aidan merasa amat bersalah terana telah ingkar janjinya terhadap Sufi. Apakah kesudahan kisah Aidan dan Sufi? Adakah pengorbanan Sufi dihargai? Semuanya terjawab dalam telemovie “Lukisan Takdir”.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Sweet Qismina… Watak Utama

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Penghijrahan dalam Telemovie 3QUL Lakonan Johan As’ari

Tiket Early Bird Konsert DEWA 19 Habis Terjual