in , ,

Shukri Yahaya Pegang Watak OKU Dalam Telemovie JANJI HATI

Realitinya kisah yang dipaparkan dalam drama khas Aidilfitri yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertajuk “Janji Hati” berlaku dalam kehidupan seharian kita.

Kisah pengorbanan seorang ibu tua menjaga anak orang kelainan upaya (OKU) seringkali dimuatkan dalam akhbar mahupun media sosial. Kisah kekeluargaan penuh pengajaran ini membawakan situasi bila mana adik-beradik pula yang menggalas tanggungjawab tersebut setelah kematian ibu mereka.

Membariskan pelakon Shukri Yahaya, Siti Elizad, Syafie Naswip, Fauziah Nawi, Wan Sharmila, Bil Azali, Mira Amnas dan Rashid Jaafar, drama ini menemui penonton pada 8 Julai ini, pukul 10.00 malam di TV2.

Cabaran Watak OKU Syukri Yahaya Dalam Telemovie Khas Aidilfitri, “Janji Hati” di TV2

Kamal pemuda kampung orang kelainan upaya (OKU) sejak lahir lagi, mempunyai dua orang adik bernama Karmila dan Khalid. Mereka dibesarkan oleh ibu mereka, Zaharah sejak ayah mereka meninggal dunia ketika mereka masih kecil lagi.

Beberapa minggu sebelum umat islam menyambut Ramadan, Zaharah meninggal dunia akibat barah usus. Kamal betul-betul rasa kehilangan kerana sejak kecil dia bergantung harap sepenuhnya kepada Zaharah. Sementelah pula Karmila tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur selepas tamat pengajiannya manakala Khalid sudah pun berkeluarga dan mempunyai dua orang anak, tinggal di taman perumahan tidak berapa jauh dari rumah ibunya.

telemovie Janji Hati lakonan Syukri Yahaya, Syafie Naswip dan Siti Elizad

Selepas kematian Zaharah, hampir setiap hari Kamal menangis memanggil Zaharah dan ada ketikanya dia ke kubur Zaharah, menangis sambil memanggil-manggil Zaharah. Agak sukar untuk Karmila dan Khalid memujuk abang mereka kerana Kamal sukar untuk memahami dan menerima tentang pemergiaan Zaharah.

Karmila cuba bersabar untuk menjadi seperti arwah ibunya berdepan dengan sikap Kamal tetapi kadang-kadang kesabarannya teruji apabila Kamal langsung tidak mahu mendengar nasihatnya atau membuat laku hingga diluar kawalannya.

Berbanding dengan Khalid, dia tidak ubah seperti arwah Zaharah, seorang yang penyabar dan berlembut dengan Kamal.

Tetapi Khalid juga tidak salahkan Karmila setiap kali Karmila memarahi Kamal tanpa sedar kerana dia tahu sejak kecil Karmila seorang pemarah seperti arwah ayah mereka.

Disebabkan kecacatan di sebelah kakinya dan juga akalnya tidak sempurna seperti orang lain, Kamal sentiasa dibuli oleh pemuda kampung iaitu Wahab dan juga Kudin. Mereka berdua sentiasa mengambil peluang memeras ugut duit Kamal.

Disebabkan takut ugutan yang dibuat oleh Wahab dan Kudin, Kamal terpaksa menyerahkan duitnya kepada mereka.

Selepas perbincangan dibuat, Khalid membawa Kamal tinggal di rumahnya sebelum umat Islam menyambut puasa. Wani, isteri Khalid sejak dari dulu tidak sukakan Kamal. Wani takut untuk bersuara kepada suaminya untuk melarang Kamal dibawa ke rumah, sedangkan dia tidak mahu menyusahkan dirinya untuk menjaga Kamal selain menjaga anak-anaknya Qaisarah dan juga Qayyum.

Ketika Kamal berada di rumahnya dan setiap kali Khalid ke tempat kerja, Wani seperti mengambil kesempatan memarahi Kamal. Wani merasa terbeban apabila Kamal tinggal di rumahnya tetapi tidak pada Khalid kerana itulah masa dan tanggungjawab dia dan juga Karmila yang harus ditunaikan selepas kematian Zaharah.

Beberapa hari hendak menyambut Ramadan, Kamal mengamuk untuk pulang ke rumahnya kerana tidak tahan lagi dengan sikap Wani. Wani menarik nafas lega. Karmila terpaksa korbankan kerjanya, dia terpaksa pulang ke kampung mengambil Kamal tinggal dengannya.

Pak Deris bersyukur kerana Kamal tinggal bersama Karmila di Kuala Lumpur. Sebagai seorang jiran yang sangat mengenali keluarga Kamal, dia risau jika sekiranya Kamal dibiarkan tinggal bersendirian di rumah kerana dia juga tidak sanggup lagi melihat Kamal dibuli oleh pemuda-pemuda kampung.

Begitu juga dengan anak tunggal perempuannya, Syakinah. Kedua beranak tersebut sangat prihatin terhadap Kamal dan menganggap Kamal seperti keluarganya.

Suatu hari, ketika mengikuti Karmila ke bazar Ramadan, tangan Kamal terlepas dari pegangan Karmila menyebabkan Kamal hilang. Karmila menangis sekuat hati apabila Kamal tidak dijumpai.

Sebaik sahaja dia hendak ke balai polis untuk membuat laporan, tiba-tiba Kamal ditemui berada di sebelah keretanya kerana kepenatan. Sekali lagi Karmila menitiskan air mata melihat keadaan Kamal yang kepenatan, betul-betul menyedihkannya.

Seminggu sebelum Aidilfitri, Karmila sudah pun pulang ke kampung untuk bersama-sama Kamal. Sekali lagi, kesabaran Karmila teruji apabila Wahab dan Kudin mengheret Kamal kerana menuduh Kamal mencuri di sebuah kedai runcit. Karmila hilang sabar, tanpa sedar dia mengambil getah paip yang berada di depan tanggan, memukul Kamal tanpa sedar. Kamal menggelupur kesakitan sehiggalah dia ditenangkan oleh Pak Deris yang datang ke rumahnya untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Dokumentari DHUHA Kongsi Motivasi Personaliti Undangan

Peraduan Premiere With Budiey Filem THE PURGE: ELECTION YEAR