in ,

Telemovie JANJI 10 ZULHIJJAH Khas Aidiladha

Menunaikan haji menjadi penutup rukun Islam, sementara Zulhijjah, iaitu bulan orang Islam menunaikan haji dan memperoleh haji mabrur dengan keadaan seumpama bayi baharu lahir tanpa dosa dan noda, menjadi penutup bulan Islam.

Antara tawaran hebat yang Allah berikan kepada kita dalam masa terdekat menjelangnya sambutan Aidiladha pada 10 Ogos ini ialah kelebihan bagi mereka yang melakukan ibadah pada 10 hari terawal dalam bulan Zulhijjah. Istimewanya 10 hari Zulhijjah adalah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam mengajak penonton menghayati sambutan Aidiladha ini menyiarkan sebuah telemovie terbitan Al Kahfi Production bertajuk “Janji 10 Zulhijjah” arahan Meor Hashim Manap dan skrip oleh Engku Seri Kelantan. 

Poster Janji 10 Zulhijjah

Menampilkan lakonan mantap Jay Iswazir, Wan Hanafi Su, Che Kem, Safura Yaacob, Ardell Aryana dan Yujie, telemovie khas ini menemui penonton pada 10 Ogos ini, pukul 10.30 malam menerusi saluran TV2. 

Ikuti kisah berlaku dalam diri watak pemuda bernama Herman yang telah bekerja dengan Thairun di sempadan sejak tamat persekolahan lagi. Ibunya Hasnah yang uzur telah minta Herman meninggalkan kerja-kerja haram. Pada masa sama Hasnah mahu Herman berubah dan mencontohi abangnya iaitu Dr. Rahimie seorang doktor.

Tapi malangnya Dr. Rahimie seorang suami yang mengikut telunjuk isterinya, Shereenz. Dia  telah mengabaikan tanggungjawab sebagai anak sulung terhadap seorang ibu demi memberikan sepenuh perhatian kepada isterinya itu.

Jay Iswazir Aka Herman Dalam Janji 10 Zulhijjah

Pertemuan di antara Hasnah dengan Esha seorang jururawat desa telah mendekatkan hubungan mereka. Esha menjadi tempat Hasnah mengadu masalah anak-anaknya. Ketika itu juga Hasnah tidak mengetahui Esha sudah lama berkawan rapat dengan Herman. 

Satu hari Hasnah meluahkan hasratnya untuk melaksanakan ibadah korban kepada anak-anaknya Herman dan Dr.Rahimie. Herman berjanji akan membantu menambah wang tabungan Hasnah. Malangnya Dr. Rahimie pula tidak ambil pusing tentang kehendak ibunya kerana sibuk dengan persiapan untuk bercuti ke luar negara. 

Rasa bertanggungjawab untuk menunaikan impian ibunya, Herman terus setuju menggalas tugas akhirnya bersama Thairun sebelum cuci tangan. Dia nekad untuk berhenti daripada melakukan kerja haram lagi.

Ardell Aryana Dalam Janji 10 Zulhijjah

Tapi pada malam hari raya, ibunya telah diculik dan Herman juga ditangkap polis. Manakala Thairun juga tumpas di tangan polis kerana sabotaj ahli sindiket yang belot. Ikuti kisah penuh pengajaran yang menginsafkan ini di TV2.

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Angry Birds | 23

Peraduan Menangi Merchandise Filem THE ANGRY BIRDS MOVIE 2

Westlife Ubati Rindu Peminat di Konsert The Twenty Tour