in , ,

Telemovie Catatan Kelmarin Lakonan Iqram Dinzly

TELEMOVIE CATATAN KELMARIN BONGKAR RAHSIA PEMBUNUHAN DI TV2
Rashdan mati ketika berada di dalam bilik bersama seorang pelacur mak nyah. Kematiannya di tempat tersebut menjadi berita gempar kepada seluruh penduduk kampung dan memberi tamparan yang begitu hebat kepada anak-anaknya terutama isterinya, Sharifah Adila.

Sharifah Adila, isterinya cuba mencari sebab suaminya berada di tempat sedemikian dan sedaya upaya ingin membersihkan nama suaminya. Syarifah Adila tidak tahu di mana silap dan salah dirinya sehingga suami yang dicintainya jatuh ke tangan Mak Nyah.

Dibintangi pelakon-pelakon drama hebat tanah air termasuklah Liza Othman, Iqram Dinzly, Hasnul Rahmat, Zaidi Omar dan Fouziah Ghous, plot kisah membongkar misteri kematian watak Rashdan ini disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi telemovie bertajuk Catatan Kelmarin pada 1 Oktober 2010 (Jumaat), jam 10.00 malam di TV2.

Catatan Kelmarin01

Satu persatu kisah silam Rashdan mula dirungkai kepada penonton apabila babak masa lalunya diimbas dengan watak Syarifah Adila yang sememangnya tahu Rashdan memang kaki perempuan. Perempuan bagi Rashdan umpama jam tangan. Ditatang, dibawa ke mana sahaja termasuk ke bilik tidur. Tetapi bila ada jam tangan baru mengambil alih, jam yang lama pasti ditinggalkan, disimpan di gobok buruk.

Syarifah Adila pernah melalui semua itu. Malah hati Syarifah Adila sudah kering dengan sifat Rashdan. Namun berkat kesabarannya, Rashdan akhirnya berubah tatkala menginjak usia 52 tahun. Sehinggalah kematiannya pada usia 55 tahun, Rashdan berubah menjadi seorang suami yang insaf, tidak tinggal sembahyang, menyayangi dia umpama waktu mereka baru kahwin.

Selepas seminggu kematian arwah pergi, Syarifah Adila pergi ke lokasi di mana arwah ditemui. Dari Ah Kong, Syarifah Adila diberitahu nama Mak Nyah itu ialah Baby Sazzy. Cantik dan sekali pandang tak tahu lelaki atau perempuan. Ah Kong bagi tahu yang Rashdan pernah datang beberapa kali ke rumah Sazzy. Sejak kematian Rashdan, Sazzy melarikan diri. Tak ada siapa yang tahu ke mana dia pergi. Syarifah Adila ingin sekali bersemuka dengan Sazzy. Banyak persoalan di kotak fikirnya yang tidak terjawab.

Tapi tuhan Maha Kaya. Suatu hari apabila Adila pergi menziarahi kubur Rashdan, Adila ternampak seorang perempuan muda berteleku di sisi kubur. Adila mengamati dan mula mengekori perempuan itu. Di satu tempat yang agak sunyi, Adila terus berdepan dengan perempuan itu dan seperti yang dijangka perempuan itu mengaku dia adalah Sazzy.

Adila pulang ke rumah dengan disambut oleh Rushdi, anak lelakinya yang kebetulan pulang untuk menziarahi ibunya itu. Rushdi menduga Adila pasti mencari Mak Nyah itu. Adila memberitahu Rushdi yang dia telah pun menemui Sazzy. Rushdi terperanjat dan minta ibunya berhenti dari menyakiti diri sendiri.

Dua minggu kemudian tanpa disangka rumah Adila dikunjungi oleh Sazzy. Adila terperanjat dan ingin marah lagi tetapi kali ini Adila kuatkan semangat. Sazzy adalah tetamu. Mengusir tetamu adalah perkara terakhir yang akan dilakukannya.

Namun apa yang lebih memeranjatkan Adila ialah kebenaran yang ditemui dari pengakuan Sazzy. Sazzy memberitahu Adila bahawa dia adalah anak Rushdi. Nama sebenarnya ialah Ramzi IIias Bin Rushdi. Sazzy menunjukkan kad pengenalannya sebagai bukti. Adila termangu. Adila keliru berdepan kenyataan itu.

Lalu apakah pengakhirannya? Saksikan drama menarik yang penuh konflik, Catatan Kelmarin ini pada 1 Oktober 2010 (Jumaat), jam 10.00 malam di TV2.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Tipah Vavavom & Stairway To Heaven

Gambar Mawi & Ekin di Open House Aidilfitri Astro