in ,

Tattoo Gestapo Teater Saya Impikan Selama Ini – Pekin Ibrahim

Pekin Ibrahim: Tattoo Gestapo Teater Saya Impikan Selama Ini

Mungkin ramai yang mengenali Pekin Ibrahim sebagai pelakon filem di layar perak atau drama di kaca televisyen. Tetapi, beliau sebenarnya seorang pelakon di gelanggang pentas teater.

Sungguhpun sudah berlakon dalam berbelas-belas pementasan teater, pementasan teater Tattoo Gestapo merupakan bentuk teater yang diimpikan selama ini. Antaranya ialah ASRAR 2(2011),MERDEKA APA?(2009) dan JU&MEO (2012).

Pada tahun ini sahaja, beliau sudah pun terlibat dalam dua pementasan di bawah payung Rumah Anak Teater dan filem-filem yang masih menuggu tayangan termasuk Rock Oo, Silangkang, Renraz, Apokalips, Cerita Kita, Tokan dan Lagenda Budak Hostel.

Pekin Ibrahim

Bercakap mengenai pementasan kali ini, beliau beserta pasukan produksi bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk membuat pementasan pertama di panggung baru milik KakiSeni di Petaling Jaya.

Pekin amat selesa dengan saiz panggung yang kecil yang hanya mampu memuatkan seramai 60 penonton buat satu-satu masa kerana beliau berasa ‘lebih rapat’ dengan penonton.

“Ini akan memberi kesan yang lebih mendalam atas sesebuah pementasan itu”, ujarnya.

Beliau juga senang apabila para pelakon dapat berdialog dengan penonton selepas sesuatu pementasan agar semua dapat berkongsi dengan sesuatu naskah itu.

Pekin (31) berasal dari Kota Bharu menganggap teater yang berkisar dalam kehidupan sebenar dalam penjara betul-betul mencabarnya dalam membawa watak seorang warden penjara.

“Bukannya saya ingin menjadi seperti mereka (warden) tetapi saya ingin menunjukkan bahawa saya juga boleh berlakon watak-watak mereka yang mempunyai pengalaman berhadapan dengan banduan-banduan akhir” jelas Pekin.

“Kita harus sedar bahawa banduan juga manusia dan manusia mempunyai perasaan dan maruah harga diri,” tambah Pekin lagi.

Pekin memainkan watak sebagai Mustafa ,yang mengalami konflik bersama rakan sekerja dan akhirnya konflik itu berakhir dengan hukuman mati.

Pementasan kedua yang dilakonkan di bawah produksi Rumah Anak Teater, Pekin berasa selesa berada di bawah payung sebuah produksi kecil tetapi berjiwa besar. Rumah Anak Teater ialah produksi teater yang ditubuhkan sejak 2008 yang membawa isu-isu hak asasi manusia di pentas teater dan filem.

Pementasan pertamanya bersama Rumah Anak Teater ialah Ju&Meo pada tahun lalu yang diarahkan dan dilakonkan bersama Mislina Mustaffa. Ju&Meo ialah berdasarkan adaptasi naskah Shakespeare, Romeo and Juliet.

Di dalam Tatto Gestapo, Pekin digandingkan dengan Benjy yang membuat ‘comeback’ selepas ditahan selama dua tahun kerana disyaki terlibat dalam kes dadah.

Menurut Pekin, Benjy banyak berkongsi pengalamannya di dalam tahanan dan kami akan memainkan watak-watak itu berdasarkan perbincangan kami – bukan berdasarkan tekaan kosong apabila seseorang itu berada di dalam penjara.

“Kami juga akan berbahasa seperti mereka berbahasa di dalam penjara,” katanya lagi.

Selain Benjy, Azman Hassan dan pelakon baru didikan Rumah Anak Teater, Doul akan turut menjayakan pementasan ini nanti. Teater ini akan diarahkan oleh pengarah filem Budak Kelantan, Wan Azli Wan Jusoh. Pengarah Artistik ialah Nam Ron.

Pihak Kebudayaan Selangor juga bertindak sebagai penaja bagi pementasan ini. Tattoo Gestapo akan dipentaskan di [email protected], SSTwo Mall Petaling Jaya pada 22-25 November 2012.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Hattan, Ramli MS & Faizal Tahir Jadi Juri Jemputan Vokal Esok

Peraduan Menangi Tiket SCANDAL SPECIAL LIVE IN MALAYSIA 2012