in , ,

Tampil Dengan Genre Muzik Berbeza, Aisha Retno Pertaruhkan Single SUTERA

Penyanyi yang kian meningkat naik, Aisha Retno tampil dengan buah tangan terbaru buat para peminat menerusi single Sutera.

Mendengar pada tajuknya sahaja, pasti ramai yang dapat meneka bahawa penceritaan lagu ini disampaikan secara metafora. Gadis berdarah campuran Malaysia-Indonesia itu akui bahawa Sutera berkisarkan kisah seorang permaisuri Jawa yang pernah dilukai oleh beberapa orang lelaki pada masa lalu. 

Penceritaan Sutera tidak hanya terhenti disitu kerana ia turut disulami dengan mesej untuk memperkasakan kaum wanita. 

“Lagu ini adalah lambang seorang permaisuri Jawa. kita tahu sutera sifatnya lembut, agung dan amat dihargai oleh ramai orang. Bagaimanapun, kalau dirosakkan kain itu, habislah tercemar keagungannya. Begitulah juga dengan permaisuri Jawa itu, kalau ada orang yang pernah sakiti hatinya di masa lalu, maka tercemarlah juga perasaannya. 

“Kita kena betul-betul jaga kain sutera, begitulah mesej lagu ini yang disampaikan secara metafora. Permaisuri Jawa ini kerap disakiti oleh beberapa jejaka pada masa lalu. Di bahagian korus lagu ini pula memberitahu untuk lupakan pengalaman pahit yang pernah dihadapi dan teruskan kehidupan menjadi seorang yang lebih baik. 

“Jadi, lagu ini mempupuk semangat cinta akan diri sendiri dan pemerkasaan wanita. Sebagai wanita, kita juga boleh berdiri teguh dengan kaki sendiri. Tidak dinafikan wanita perlukan seorang lelaki, tapi apapun diri sendiri mestilah kuat mengharungi kehidupan,” katanya. 

Berbicara tentang kelainan yang ditampilkan dalam Sutera, Aisha mengatakan gabungan elemen etnik Jawa dan muzik moden EDM menjanjikan perbezaan berbanding lagu-lagunya yang terdahulu. 

“Saya banyak memasukkan elemen-elemen etnik dalam lagu ini, tentunya berbeza kerana sebelum ini saya selalu lancarkan lagu genre balada sahaja. Tapi kali ini, saya tampil dengan genre berbeza dan turut menyelit elemen tarian dalam muzik videonya. 

“Lagu ini sangat ‘catchy‘, elemen etnik benar-benar membuatkannya istimewa. Di sebalik bunyi etnik atau tradisional itu turut diselitkan elemen moden seperti EDM. Gabungan dua genre inilah yang menambah warna kepada lagu ini,” katanya lagi. 

Dalam pada itu, pemilik nama lengkap Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu berkongsi tentang cabaran menghasilkan pertaruhan terbarunya itu. Menurutnya, dia perlu mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa. 

“Saya habis hasilkan lagu ini dalam masa tiga hari sahaja termasuk proses penghasilan (producing). Selain itu, saya juga mencabar diri menerusi lagu pop etnik yang sangat berbeza berbanding apa yang orang dah lihat dalam lagu-lagu saya sebelum ini,” jelasnya. 

AISHA RETNO

Apabila seorang anak seni sedang berkarya, sudah tentu akan ada momen istimewa yang dilalui, begitu juga dengan Aisha yang ditemani kucing-kucing kesayangannya ketika mencari ilham untuk menulis naskah Sutera.
Kemudian, pembabitan MFMF selaku produser pula berjaya memantapkan lagi hasil akhir karya tersebut. 

“Momen istimewa ketika menghasilkan lagu ini adalah saya ditemani oleh kucing- kucing saya. Saya duduk di piano dalam masa satu hari (berselang waktu rehat seketika) bersama kucing-kucing itu. 

“Saya sangat berpuas hati dengan sentuhan MFMF, mereka sangat pantas buat kerja sebagai produser, siap dalam masa satu hari sahaja. ,” katanya lagi. 

Oleh demikian, Aisha berharap single Sutera mendapat putaran radio selayaknya dan mampu menghiburkan hati para peminat. 

“Saya tak minta banyak, saya harap peminat terhibur dengan karya saya. Semoga lagu ini mendapat sambutan hangat dan boleh dijadikan trend atau cabaran di aplikasi TikTok, peminat boleh menari bersama apabila mendengar dan menonton muzik video Sutera. Saya juga berharap agar lagu ini diterima serta dimainkan di corong-corong radio. Saya pun tak sabar untuk menyanyikan lagu ini secara live dalam mana-mana persembahan nanti,” katanya menutup bicara. 

‘Sutera’ boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi platform penstriman muzik terpilih seperti Spotify, Apple Music, Deezer, JOOX Music, KKBox, YouTube dan YouTube Music. 

AISHA RETNO

Kredit: 

Artis: Aisha Retno
Tajuk: Sutera
Producer: MFMF
Komposer: MFMF & Aisha Retno

Penulis Lirik: Aisha Retno 

AISHA RETNO

MENGENAI AISHA RETNO 

Aisha Retno mulai aktif dalam industri hiburan tanah air pada tahun 2018 dan pernah tampil menerusi beberapa single seperti Mengikat Jiwa, Nukilanku, Cinta Denganmu, Wanna Hold U Tight (WHUT), dan Pencarianku sebelum ini. 

Aisha Retno mencatat rekod membanggakan dalam profilnya sebagai penggiat seni dengan pencapaian Anugerah Emas daripada penjualan digital bagi lagu Bahasa Inggeris, berjudul WHUT. 

Pada Disember 2020, Aisha dinobat sebagai juara Rookie dalam program Vokal Mania yang pada sama memberi gelaran juara kepada penyanyi Aina Abdul untuk kategori Idol. 

Dalam tahun ini juga, satu lagi perkara yang memberi sejarah manis dalam hidup Aisha berlaku apabila wajahnya kini terpampang di billboard New York Times Square, Amerika Syarikat sebagai duta kempen Equal daripada Spotify, mewakili Malaysia dan Singapura untuk Julai 2022. Aisha menduduki tempat ketiga dalam program Big Stage 2022 berentap sepentas bersama rakan-rakan finalis yang lain. 

Selain aktif menyanyi dan memenuhi pelbagai undangan program televisyen dan radio, Aisha juga sudah berjinak-jinak dalam dunia lakonan. Kemunculannya dalam telemovie Cangkul bersama aktor terkenal Nazim Othman baru-baru ini telah membuktikan Aisha Retno bukan sekadar hebat di pentas dan menghasilkan lagu semata-mata. 

Antara perkembangan lain, Aisha bakal tampil sebagai salah seorang juri dalam program realiti terkenal tanah air. Artis naungan Sony Music Entertainment Malaysia ini juga menggalas tanggungjawab sebagai pengacara sebuah program masakan keluaran Astro. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem GADIS JOLOBU THE MOVIE Angkat Keunikan Budaya Minangkabau

Wardrobe Tampilkan Koleksi Acme Society Di Mercedes Benz Fashion Week 2022