in , ,

Syazwan Syahmi Hadir Dengan Single Terbaharu ‘SALAHKAHKU’

Juara Penyanyi Top ERA Kucate Tampil Dengan Single Pertama Di Bawah Naungan Label Terkemuka Rocketfuel Entertainment

Pendatang baharu yang juga merupakan juara pertandingan nyanyian Penyanyi Top ERA Kucate pada bulan Februari yang lalu, Syazwan Syahmi hadir dengan single perdananya yang berjudul ‘Salahkahku’ yang diterbitkan oleh label terkemuka Malaysia, Rocketfuel Entertainment.

“Syukur Alhamdulillah di atas kemenangan ini kerana ia telah membuka ruang buat saya untuk tampil dengan single terbaharu di bawah naungan Rocketfuel.

“Selain memenagi wang tunai berjumlah RM5,000, sekaligus saya menerima kontrak rakaman bersama-sama Rocketfuel,” kata pemilik nama sebenar Syazwan Syahmi Muhammad Rosdi.

Penyanyi muda berusia 23 tahun yang berasal dari negeri Kelantan ini juga merupakan lulusan Diploma dalam bidang Ukur Bahan (Quantity Surveyor).

Syazwan Syahmi

“Saya sedar pentingnya pelajaran, oleh sebab itu saya habiskan dahulu pendidikan diploma dan mencuba bidang nyanyian setelah tamat pengajian.

“Minat menyanyi telah pun bermula ketika saya berusia 14 tahun lagi dengan bermain gitar secara suka-suka. Tidak saya sangka, minat tersebut beralih kepada nyanyian pula dan dari situlah timbulnya minat yang mendalam dalam bidang tersebut.

“Saya sering menghasilkan nyanyian cover di YouTube dan menyertai pelbagai pertandingan karaoke sehinggalah muncul sebagai juara Penyanyi Top ERA Kucate,” jelas Syazwan.

Single Salahkahku merupakan hasil ciptaan komposer terkenal, Sharon Paul, dan juga penulis lirik berbakat besar, Que Afiq yang menceritakan tentang kisah cinta yang sedih.

“Lagu ini bermaksud pertanyaan seseorang terhadap dirinya sendiri kerana mencintai seseorang dan sering meragui apakah tindakannya itu betul.

“Pernah tak kita berhadapan dengan situasi di mana kita sering bertanya pada diri sendiri apakah salah menyintai seseorang? Dan betulkah keputusan yang kita buat?

Proses rakaman yang memakan selama sehari di Studio Musicwerks banyak memberi pengalaman baharu buat Syazwan.

“Saya seronok ketika berada di studio milik kak Sharon kerana segala-segalanya masih baharu buat saya.

“Pengalaman merakamkan lagu sangat bermakna apabila diselia oleh seorang komposer disegani kerana banyak perkara yang saya pelajari daripada beliau, yalah perjalanan seni saya masih jauh, jadi banyak lagi yang perlu saya timba,” kata Syazwan.

Lagu dalam nuansa balada ini mempunyai unsur rock yang disesuaikan dengan vokal Syazwan yang mempunyai nada yang tinggi.

“Saya mahukan sebuah lagu yang mencerminkan jiwa saya, saya hendak pendengar merasai emosi yang saya bawakan melalui nyanyian saya. Jika nyanyian saya dapat membuat pendengar merasa sedih, itu sudah lebih dari menggembirakan saya.

“Mungkin terlalu awal untuk saya labelkan jenis penyanyi yang ingin saya jadi, namun saya tidak menolak untuk mencuba genre yang lain kerana dunia muzik itu luas dan banyak cabangnya,” tambah Syazwan.

“Ini juga merupakan pengalaman baharu buat saya merakamkan MV dan agak kekok rasanya beraksi di hadapan kamera berbanding dengan rakaman YouTube yang sering saya buat sendiri,” kata Syazwan lagi.

Syazwan Syahmi

Encik Erick Yew, selaku Ketua Label & Penerbitan Rocketfuel Entertainment memberi komen, “Rocketfuel sering memberi peluang terhadap bakat-bakat baharu untuk menyerlahkan kemampuan mereka serta menyediakan platform bagi mereka untuk mengembagkan lagi bakat.

“Selain itu, Rocketfuel juga mempunyai pakar pengurusan yang akan mengendalikan perjalanan kerjaya seni mereka, dan Syazwan berada di landasan yang betul. Semoga lagu Salahkahku memberi impak dan memperkenalkan namanya sebagai seorang penyanyi yang berpotensi besar.

Akhiri Syazwan penuh pengharapan: “Saya hanya berharap agar lagu ini bakal mendapat tempat di hati pendengar dan semoga ramai penggemar muzik di luar sana dapat menerima agu ini.

Lagu ‘Salahkahku’ boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.

Syazwan Syahmi

Lirik Lagu Salahkahku

Artis : Syazwan Syahmi

Penulis Lirik : Que Afiq

Komposer : Sharon Paul

Terbitan : Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd

Apakah kita, sebuah kisah sempurna

Atau kau hanyalah seperti yang biasa

Mengapa mudahnya kata setia dan cinta 

Sehingga dilepas dari genggaman

Salahkahku

Memberikan hatiku

Jiwa dan raga ini sakit

Bersama sisa rasa 

Jelaskan kepadaku

Sempurna mana kau mahu

Agar engkau bahagia

Inikah takdir yang harus aku terima

Untuk melihatmu tersenyum bahagia

Mengapa mudahnya kata setia dan cinta 

Sehingga ku dilepas dari genggaman

Jiwa dan raga ini sakit

Bersama sisa rasa

Jelaskan kepadaku

Sempurna mana kau mahu

Agar engkau Bahagia

Biarkan lah kenangan 

Kekal selamanya 

Ohh ohhh ohhh

Salahkahku

Memberikan hatiku

Jiwa dan raga ini sakit

Bersama sisa rasa

Jelaskan kepadaku

Sempurna mana kau mahu

Agar engkau Bahagia

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Tahniah! Sean Lee Sertai Pelakon Filem Animasi DC LEAGUE OF SUPER-PETS 

Pentas Seni Merdeka, Usaha Bersama Think City & DBKL Untuk Daerah Kreatif