in ,

Sucinya Ramadan, Tema Kempen Program Khas Ramadan RTM 2021

Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengumumkan program-program terbaharu sepanjang kempen Ramadan 1442H tahun ini dalam Majlis Apresiasi Bersama Media Sempena Program Khas Ramadan RTM 2021 berlangsung di Hotel Impiana KLCC, Kuala Lumpur, hari ini.

Berkongsi tema ‘Sucinya Ramadan’, RTM turut menawarkan pilihan tayangan program-program terbaik dalam menghayati dan mengimarahkan sambutan bulan Ramadan yang akan disiarkan menerusi tiga saluran utama TV1, TV2 dan TV Okey termasuk juga pelbagai rancangan yang diaturkan untuk siaran di 34 stesen radio RTM.

TV

Lebih satu dekad bersiaran, dokumentari “Syahadah” yang sinonim dengan tema “Satu Lafaz Berbeza Resam” tahun ini kembali memaparkan keindahan Islam melalui “Way of Life” dalam kalangan masyarakat Islam kontemporari berlandaskan al-Quran. Program terbitan Unit Dokumentari dan Majalah RTM ini akan bersiaran sepanjang Ramadan mulai 13 April, pukul 6.30 petang menerusi TV1.

Tahun ini berbeza daripada kebiasaan, Unit Hiburan TV RTM memperkenalkan program baharu “BORAK DULU #barubuka” yang berkonsepkan bual bicara interaktif mengundang tokoh agama dan pakar motivasi yang akan membawa persoalan yang menarik sepanjang Ramadan. Penonton turut berpeluang menyertai kuiz setiap kali program ini bersiaran mulai 12 April hingga 12 Mei 2021, pukul 7.00 malam.  

telemovie Terlajak Subuh

Sebagai daya penarik, TV1 diserikan dengan kemunculan Elly Mazlein sebagai hos program masakan bertajuk “Senduk Kuali Kak Lina Pom Pom” mulai 13 April ini, setiap hari, pukul 12.30 tengah hari. 29 episod program ini akan berkongsi menu dengan tetamu-tetamu jemputan termasuk kumpulan basking dan selebriti popular tanah air.  

Nikmati empat telefilem eksklusif bagi mengisi slot Panggung RTM disiarkan setiap Sabtu, pukul 9.00 malam iaitu “Bilal Gantian” (17 April), “Selumbar” (24 April), “Terlajak Subuh” (1 Mei) dan “Ku Genggam Kunci Syurga” (8 Mei). 

Lima drama bersiri pula iaitu “Mak Cik Bawang” disiarkan mulai 12 April ini, dan “Cinta Kalut” bermula 4 Mei depan, mengisi slot Sitrus setiap Isnin hingga Khamis, pukul 1.30 tengah hari. Temani waktu sahur anda setiap hari, pukul 5.30 pagi menerusi tajuk “Keringat Firdausi” mulai 12 April ini, “Misi Dania Cun Siri 2” mulai 25 April ini dan “Kampung Baru Danial” bermula 8 Mei ini.

Turut disediakan buat penonton cilik sepanjang Ramadan ialah program “Kembara Awish & Juju” mulai 21 April ini, Rabu dan Khamis, pukul 4.30 petang. Ikuti juga siaran program travelog “Singgah Sini” mulai 15 April ini, setiap Khamis, pukul 9.30 malam yang menampilkan hos Arjaa Lee.

telemovie Selumbar

Pengisian program kerohanian dan keagamaan terbitan JAKIM dikongsikan menerusi tazkirah dalam “Tadabbur Ramadan” yang disampaikan oleh barisan pendakwah, disiarkan setiap hari sepanjang Ramadan, pukul 6.00 petang dan “Salam Pagi” setiap Isnin hingga Khamis, pukul 7.00 pagi yang mengajak penonton memahami kitab suci al-Quran dan peranannya dalam kehidupan seharian. 

Saluran TV2 turut meriah dengan pilihan program sepanjang bulan puasa ini. Saksikan majalah masakan, “Chef Rose Masak Apa?” mulai 10 April ini, setiap Sabtu, pukul 11.00 pagi. Kepakaran 25 tahun dalam bidang kulinari dikongsikan Chef Liza Zainol dalam enam episod program ini. 

Dua drama bersiri terbaik 26 episod disiarkan bertajuk “Kuali Mentua Lauk Menantu” mulai 7 April ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 6.05 petang. Drama ini dibintangi oleh Hafreez Adam, Afifah Nasir dan Normah Damanhuri. Tidak kurang menariknya plot kisah ditonjolkan dalam “Calon Menantu Tuan Rumah” mulai 10 April ini, Isnin hingga Sabtu, pukul 8.00 malam. 

Persembahan dakwah dalam hiburan yang mendidik dan menyampaikan mesej kerohanian dibawakan dalam program “Ihya Ramadan” mulai 17 April ini, setiap Sabtu, pukul 9.00 malam. Program terbitan Unit Hiburan TV RTM ini menampilkan Haqiem Rusli, Aris Ariwatan, Ernie Zakri, Syamsul Debat, Khai Bahar, Ustaz Don Daniyal, Wany Hasrita, PU Azman, Nazri, Naim Daniel, Mark Adam, Fakhrul UNIC, Caliph Busker, dan Kumpulan Raihan.

Menghiasi tayangan filem terbaik pukul 9.00 malam iaitu “Blade Runner 2049” pada 22 April ini, “Raazi” (25 April), “Cold Pursuit” (30 April) dan filem “Suddently Twenty” disiarkan 1 Mei ini, pukul 10.00 malam. 

Saluran TV Okey menyantuni penonton setia salurannya dengan drama bersiri baharu, “Kelmarin Cinta” mulai 13 April ini, Isnin hingga Jumaat, pukul 10.00 malam. Rencah drama hebat 26 episod ini menampilkan pelakon Shukri Yahaya, Intan Ladyana dan Reen Rahim yang menyorot kisah percintaan tiga segi antara sahabat sejak kecil. Pelbagai konflik terjadi dalam usaha Taufik untuk mendapatkan cinta meskipun terpaksa mengorbankan perasaan sahabatnya. 

Mengangkat kisah setiap yang berjiwa akan merasakan mati, watak drama lakonan Hafreez Adam, Tiz Zaqiah, Iswan Ismail, Farhan Asri dan Fauziah Nawi tampil dalam telemovie bertajuk “Izrail Memanggil” pada 18 April ini, 9.00 malam. 

drama bersiri Kuali Mentua Lauk Menantu

RADIO

Misi memenuhi sambutan Ramadan dengan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), tahun ini untuk kali kesembilan penganjurannya jenama-jenama radio RTM meneruskan tradisi program “Jelajah Ramadan 2021”.

Penganjuran Jelajah Ramadan 2021 lebih meriah memandangkan ia bersekali dengan sambutan Hari RTM Ke-75 dan diadakan di 24 buah lokasi bermula 8 April hingga 9 Mei depan, kali ini melibatkan enam laluan. Majlis pelancaran berlangsung di Angkasapuri, Kuala Lumpur dan laluan pertama melibatkan Selangor (8 April), Kelantanfm (11 April), Terengganu (12 April) dan Pahang (13 April). 

Diikuti laluan kedua iaitu Johor (15 April), Melaka (18 April) dan Negeri Sembilan (19 April), laluan ketiga melibatkan Perak (24 April), Kedah (26 April), Pulau Pinang (28 April), Perlis (3 Mei) dan Langkawi (5 Mei). 

Seterusnya laluan keempat berada di Labuan (4 Mei), dan laluan kelima iaitu Sandakan (16 April), Keningau (23 April), Tawau (30 April), Kota Kinabalu (7 Mei). Laluan terakhir berada di Limbang (17 April), Miri (18 April), Bintulu (25 April), Sibu (29 April) dan Sri Aman (2 Mei). Majlis penutup siri jelajah ini diadakan di Kuching, Sarawak pada 9 Mei 2021. 

Di peringkat ibu pejabat, stesen-stesen radio RTM menawarkan rancangan khas mengimarahkan bulan Ramadan. NASIONALfm mengudarakan program-program menarik khusus buat pendengar setia mereka seperti “Raudhah Edisi Khas Ramadan”, sketsa “Kita Ambil Tahu”, siaran langsung “#HahtagDiri Khas Ramadan”, dan dokumentari “Rezeki Ramadan”.

Radio Klasik menghadirkan program “Tadarus Al-Quran”, “ADILA”, “Resipi Ramadan”, “Cubit-Cubit Manja” dan “Keluarga Sakinah”, kisah rumahtangga dan masyarakat yang menyentuh bulan Ramadan.

Kelebihan bulan Ramadan dikongsikan dalam program “Ramadan Reflection” keudara menerusi radio berbahasa Inggeris, TRAXXfm manakala radio AIfm pula menyiarkan program “Tips Pemakanan Sihat” dan “Sketsa Kasih-Sayang 893”. 

Sementara itu MINNALfm pula dengan dua program “Raudatul Muttaqin” dan “Hikmah Ramadan”, ASYIKfm tampil dengan satu program utama bertajuk “Ihya’ Ramadan” juga KLfm dengan pengisian program “Istimewa Nuzul Quran Di KLfm – Surat Cinta Daripada Allah”, “Nur Iman Ramadan” dan “Marhaban Ya Ramadan”.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

BILAL GANTIAN Buka Cerita Telemovie Khas Ramadan di RTM

Champs® Duopharma Biotech & Nasom Anjur Kempen Kutip Derma Untuk Autisme