in

Gandingan Paling Sweet Mawar Rashid & Syafiq Kyle dalam SUAMIKU PALING SWEET

Bekerja pada cuti semester ialah suatu perkara yang biasa dilakukan oleh pelajar-pelajar universiti. Ada yang bekerja kerana tidak mahu membuang masa, ada juga yang ingin mencari duit poket untuk membelanja. Namun bagi Qisya Iriz, nasib hidupnya berubah sepenuhnya apabila dia yang hanya berniat bekerja sebagai pengasuh sementara dipaksa untuk berkahwin dengan anak majikannya.

Selepas tamatnya segala konflik antara Ifaat dan Afeef dalam drama ‘Biar Aku Jadi Penunggu’, sebuah lagi drama terbaharu berjudul Suamiku Paling Sweet bakal mengisi slot Akasia bermula 13 Februari 2017, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 6.58 petang. Drama 28 episod terbitan oleh Primeworks Studios Sdn. Bhd. ini dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Mawar Rashid, Syafiq Kyle, Fazren Rafi, Fazlina Ahmad Daud, Liza Abdullah, Aedy Ashraf, Amirul Faqeem DFKL, Adik Nik Adam Mika, Nur Natasya Nabila, dan Lia Natalia.

Mawar Rashid Diperangkap Kahwin?

Suamiku Paling Sweet memaparkan kisah Qisya Iriz (Mawar Rashid), graduan universiti yang terpaksa menjadi pengasuh sementara Hafiey (Adik Nik Adam Mika), iaitu cucu kepada kawan ibunya, Puan Fathma (Liza Abdullah). Pengasuh-pengasuh sebelum ini memang tidak dapat bertahan dengan sikap nakal Hafiey itu. Qisya menerima cadangan ibunya kerana ia hanya untuk sementara waktu. Apabila Qisya yang keras kepala bertemu dengan Hafiey, memang akan berlakunya kekecohan.

Kedua-dua ibu bapa Hafiey telah meninggal dunia dalam suatu kemalangan. Disebabkan itu, Hafiey menganggap bapa saudaranya Izz Haikal (Syafiq Kyle) sebagai ayah kandungnya sendiri. Izz sanggup melakukan apa sahaja demi kebahagiaan Hafiey. Selepas bertemu dengan pengasuh Hafiey, hati Izz dan Qisya sering berdebar. Namun mereka tidak ambil peduli tentang maksud sebenar di sebalik debaran hati tersebut sehinggalah terjadi sebuah peristiwa yang mengubah nasib hidup mereka berdua.

Qisya dipaksa untuk menjadi isteri kepada Izz Haikal pada usia yang muda. Pelbagai emosi mula mengaburi hati Qisya. Dia terkejut, marah, dan benci. Qisya langsung tidak dapat menerima kenyataan yang dia bakal berkahwin. Malahan dia juga tidak bersedia untuk menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada Hafiey. Dia juga tertanya-tanya adakah ini merupakan perangkap Izz Haikal untuk bersama dengannya.

Gandingan paling ‘sweet’ Mawar Rashid dan Syafiq Kyle di slot Akasia

Qisya mula memberontak sehingga dia sanggup meninggalkan Izz Haikal dan Hafiey walaupun sudah bernikah. Izz berasa sedih tetapi dia memahami perasaan isterinya. Malahan, dia kerap memujuk dan memberikan ruang kepada Qisya untuk mencari ketenangan diri.

Izz tidak pernah berhenti memujuk isterinya. Akhirnya, Qisya lembut hati dan kembali ke pangkuan Izz dan Hafiey. Qisya telah meletakkan syarat bahawa tiada sesiapa pun akan mengungkit peristiwa dan sebab mereka berdua terpaksa berkahwin. Namun, peristiwa hitam yang tidak mahu diingati Qisya itu diungkit. Kali ini, Qisya nekad meninggalkan suaminya dan Hafiey walaupun dia sedang hamil. Adakah sangkaan Qisya bahawa perkahwinan ini ialah perangkap Izz itu adalah benar?

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan lakonan Mawar Rashid dan Syafiq Kyle dalam drama bersiri Suamiku Paling Sweet yang akan bermula ditayangkan pada 13 Februari 2017, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 6.58 petang di slot Akasia, TV3.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, Youtube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia. Suamiku Paling Sweet juga boleh disaksikan di portal video www.tonton.com.my melalui pakej tonton VIP.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Video MENAHAN RINDU Wany Hasrita Trending No. 1 di Youtube Malaysia

Ada Sebab Fattah Amin Lancar 99 KATA-KATA #QALIFMODEN