in

Stadium Angkasa Musim Ke 3 & Sorakan Emas 1Malaysia

Stadium Angkasa Musim Ke 3 Dan Sorakan Emas 1Malaysia – 2 Program Santai Semarak Temasya Olimpik Di TV1

Detik RTM ke arah menjadi penyiar rasmi terestrial temasya sukan terbesar dunia telah pun bermula. Justeru pelbagai aktiviti dan program diadakan bagi menyemarakkan temasya Olimpik yang akan berlangsung mulai Julai depan.

Dua program santai dan bicara sukan bagi berkongsi informasi tentang temasya Olimpik diterbitkan Unit Sukan TV RTM iaitu Stadium Angkasa yang masuk musim ke 3 dengan suntikan Olimpik dan sebuah program terbaharu, Sorakan Emas 1Malaysia yang kedua-duanya bakal menemui penonton TV1.

logo stadium-angkasa

Disiarkan masuk musim ke-3, program Stadium Angkasa yang disiarkan mulai 22 April 2012, setiap Ahad, jam 2.00 petang kali ini akan mendapat suntikan Olimpik bersesuaian dengan kejayaan RTM mendapatkan hak siaran teresterrial untuk temasya Olimpik London 2012. Ia sekaligus menyemarakkan kata-kata Malaysia Boleh dalam semangat 1 Malaysia bagi menyokong atlet negara yang bertanding membawa cabaran negara dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

Dalam edisi kali ini pengacara Azlan Mubin dikekalkan namun dia tidak lagi muncul berseorangan apabila dia digandingkan bersama pelawak terkemuka Nabil Ahmad. Pemilihan Nabil dilihat mampu menceriakan program bual bicara ini.

Suntikan Olimpik dalam program ini dapat dilihat di dalam beberapa segmen yang disediakan. Antara segmen yang ada termasuklah Apa Panas yang mana segmen ini akan membicarakan isu semasa sukan bersama penonton. Segmen seterusnya ialah Bersama Bintang Olimpik. Menerusi segmen ini, penonton akan dibawa untuk berbicara dan mengenali atlet yang akan dan pernah menyertai Olimpik.

Satu lagi segmen baru yang akan membawa penonton untuk mengetahui proses yang diperlukan dalam menjadi seorang atlet adalah segmen dinamakan Rizal Nak Jadi Atlet kerjasama RTM dan Institut Sukan Negara. Segmen seterusnya adalah Cabaran Olimpik dimana penonton di studio akan duji dengan soalan-soalan berkaitan dengan Olimpik.

Menurut penerbit Stadium Angkasa, Kamarool Anuar, program kali ini dapat menarik perhatian penonton memandangkan program bual bicara ini dijalankan dengan santai namun secara tidak langsung penonton akan mendapat pengetahuan berkaitan dengan sukan.

Seterusnya menyusul program gameshow terbaharu, Sorakan Emas 1Malaysia menampilkan gandingan pengacara Sharifah Shahirah dan Zul Yahya. Program ini akan memulakan siarannya pada 28 April 2012, setiap Sabtu, jam 11.30 malam yang mana peserta akan diuji di beberapa segmen menarik.

Antara segmen yang ada termasuklah Apa Itu, Mari Mencuba dan Siapa Cepat yang mencabar dan menguji pengetahuan peserta dan penonton dengan lebih mendalam lagi tentang temasya Olimpik.

Bagi segmen Apa Itu, peserta akan ditayangkan klip dari temasya Olimpik dan soalan akan diajukan. Segmen Mari Mencuba pula mengajak peserta untuk menguji kecerdasan dimana peserta akan bermain dengan permainan yang direka berkaitan Olimpik. Seterusnya Siapa Cepat akan menguji minda peserta dengan soalan-soalan yang berkaitan dengan Olimpik.

Bagi penerbitnya, Kamal Roslim, program ini bukan sahaja mengundang gelak tawa malahan para penonton akan didedahkan dengan informasi tentang temasya Olimpik yang bakal berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos 2012 depan.

Sukan Terbaik Hanya di RTM.

AZLAN MUBIN ... kekal pengacara Stadium Angkasa Musim ke-3

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zahida Rafik Dituduh Ada Skandal Dengan Menteri Kabinet Sabah

A Famosa MyTV3 Rock The Wave 2012