in , ,

Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah Raih Tujuh Trofi Termasuk Filem Terbaik

Filem komedi gelap hasil tulisan Allahyarham Jit Murat ini memaparkan kisah keluarga kelas pertengahan atas berlatar belakangkan tarikh 8 Jun 2011.

Penantian 11 tahun untuk filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah menjengah pawagam, berbaloi apabila naskhah arahan Datuk Zahim Albakri Ikmal itu diangkat Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-32 yang disiarkan secara langsung TV2 dari Encore Theatre di sini, malam tadi.

Tambah manis, filem yang pernah ditolak Lembaga Penapisan Filem (LPF) hingga terpaksa dirombak ini turut memenangi enam kategori lain iaitu Pengarah Harapan; Rekaan Busana Terbaik; Penataan Seni Terbaik; Penyunting Terbaik; Lakon Layar Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Selain trofi, penerbit filem itu, ZSA Productions Sdn Bhd dan Nuansa Sdn Bhd menerima Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.

Filem komedi gelap hasil tulisan Allahyarham Jit Murat ini memaparkan kisah keluarga kelas pertengahan atas berlatar belakangkan tarikh 8 Jun 2011.

Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah menceritakan perihal Bapak lakonan Datuk Rahim Razali yang merasakan dia tidak mempunyai masa panjang untuk hidup lalu menjemput anak-anak makan bersama.

Bapak mahu berbincang mengenai wasiat yang bakal ditinggalkan termasuk sebuah rumah keluarga.

Bagaimanapun, lawatan tidak dijangka dua orang asing menyebabkan Bapak terpaksa menukar rancangan dan menyegerakan waktu makan malam itu.

Selain Rahim, filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah dibintangi Zahim, Na’a Murad, Bernice Chauly, Sean Ghazi dan Juliana Ibrahim.

Sementara itu, filem Small Town Heroes turut mendominasi FFM32 apabila membawa pulang tujuh trofi.

Sutradaranya, Ryon Lee Eng Keong dinobat Pengarah Terbaik mengenepikan Syafiq Yusof yang menghasilkan filem Abang Long Fadil 3, Muzammer Rahman (Prebet Sapu), Syamsul Yusof (Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan) dan Zulkarnain Azhar serta Frank See (Air Force The Movie : Selagi Bernyawa).

Pelakon Small Town Heroes iaitu Phua Chandler dijulang sebagai Pelakon Kanak-Kanak Terbaik dan Layla Sania sebagai Pelakon Wanita Harapan.

Empat kategori lain dimenangi filem itu adalah Poster Terbaik, Skor Muzik Asal Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Cerita Asal Terbaik.

Sementara itu, filem Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof membawa pulang empat trofi termasuk Anugerah Khas Filem Box Office dan Anugerah Khas Juri.

Filem itu juga membolehkan pelakon utama, Datuk Adi Putra memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik manakala teman gandingannya, Beto Kusyairy diumum Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Bagi kategori pelakon, bintang utama filem Barbarian Invasion, Tan Chui Mui diumum Pelakon Wanita Terbaik manakala Juliana menjulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik melalui filem Spilt Gravy/Ke Mana Tumpahnya Kuah.

Anugerah baharu yang dipertandingkan tahun ini iaitu anugerah Filem Pendek Terbaik dimenangi Can You Love Me Most? manakala Filem Antarabangsa Terbaik dianugerahkan kepada filem Ranah 3 Warna.

FFM32 turut mengiktiraf seniman legenda, Mat Sentul sebagai penerima Anugerah Seniman Sepanjang Zaman manakala bintang veteran, Datuk Sarimah Ahmad menerima Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman.

Mat Sentul dan Sarimah masing-masing menerima hadiah pakej umrah bernilai RM10,000 dan wang tunai RM15,000.

Dikendalikan Awal Ashaari dan Che Puan Sarimah Ibrahim, FFM32 bertemakan Filem Kita, Citra Kita dihangatkan dengan persembahan Datuk Zainal Abidin, Siti Nordiana, Azlan & The Typewriters, Ernie Zakri, Marsha Milan dan Hazama.

Antara penyampai trofi adalah Maya Karin, Nam Ron, Faizal Hussein, Zul Ariffin, Ummi Nazeera, Hairul Azreen, Adrian Teh dan Ashraf Muslim.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Melly | 17

Konsert Pertama Melly Goeslaw Di Kuala Lumpur Bertemakan Back To School

Stellar | 18

Stellar Bawa Tema Persahabatan Menerusi WHERE YOU WANNA GO