in

Sonata Musim Salju Kiroro di Hokkaido, Jepun

Sejak adanya banyak penerbangan tambang rendah ke Jepun, semakin ramai rakyat Malaysia yang sering bercuti ke negara matahari terbit tersebut. Apatah lagi, kini begitu banyak pilihan kota di Jepun yang boleh ditujui tanpa perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk tambang penerbangan ke sana. Destinasi terbaru yang kini menjadi kegemaran rakyat Malaysia kala bercuti ke Jepun adalah Hokkaido. Pulau besar di bahagian utara negara termaju di Asia ini sememangnya menjadi tempat pilihan rakyat tempatan mereka sekiranya ingin menjalani aktiviti bermain salji dan ski. Malah ia juga mendapat perhatian ramai pelancong asing.

Kiroro resort, japan

Dan salah satu tempat yang seronok untuk mencuba aktiviti berkaitan salji di situ adalah di Kiroro Resort. Ia merupakan sebuah resort khas di dalam kawasan perkampungan Akaigawa yang lengkap dengan penginapan berbintang serta aktiviti-aktiviti salji yang lain. Selain mempunyai dua hotel bertaraf antarabangsa di situ, kawasannya juga mempunyai pemandangan alam semula jadi yang indah apatah lagi di musim sejuk.

Sekiranya and mengunjungi Kiroro pada awal musim sejuk, seperti minggu terakhir bulan November, seluruh kawasannya sudah dilitupi keindahan salju putih. Dan oleh kerana daerah Kiroro ini terletak di atas bukit, para pengunjung boleh menaiki teksi untuk sampai di situ. Perjalanan ke sana boleh dimulakan dari stesen keretapi Sapporo yang akan berhenti di stesen Otaru. Dari stesen Otaru anda boleh menaiki teksi yang akan terus tiba di Kiroro Resort. Perjalanan hanya mengambil masa sekitar 40 minit sahaja (bergantung kepada keadaan jalan dan situasi lalulintas)

Sepanjang perjalanan, para pelancong pasti dapat menikmati keindahan pemandangan alam sekeliling yang diselimuti salji putih yang indah. Lebih-lebih lagi dari atas bukit,suasana persekitarannya mirip cerita dongeng yang sering kita baca di dalam buku fantasi atau tonton di televisyen. Malah menurut pegawai pemasaran resort ini, kualiti salji di sini, adalah antara yang terbaik dan memegang rekod ketebalan salji terbanyak. Berbanding banyak resort musim sejuk di negara Asia lain yang sering menggunakan salji buatan, Kiroro mempunyai bekalan salji semulajadi yang banyak. Ini menjadikannya resort yang ideal buat aktiviti salji.

Kiroro resort, japan

Tambahan lagi, Kiroro Resort mempunyai dua tempat penginapan hebat iaitu Sheraton Hokkaido Kiroro Resort dan juga The Kiroro, A Tribute Portfolio Hotel. Kedua-dua tempat penginapan berbintang ini mempunyai tujuan untuk menjadi tempat penginapan eksklusif bagi tamu yang ingin menjalani percutian di kawasan tersebut. Hotel Sheraton Hokkaido Kiroro Resort merupakan sebuah hotel yang lengkap dengan bilik-bilik eksklusif untuk penginapan serta kemudahan-kemudahan lain. Malah ia juga mempunyai sebuah kafeteria khas bernama Lumiere, buat tamu yang ingin mengalas perut setelah penat bergiat dalam aktiviti salji. Selain itu, ia juga mempunyai restoran Jepun Robata Grill ‘Hokki’, dan juga Rivierouge yang menyajikan aneka sajian tempatan serta antarabangsa. Yang pasti, tamu bergama Islam tidak perlu risau soal makanan kerana kebanyakan makanan Jepun berasaskan ikan dan makanan laut. Begitu juga keadaannya di resort ini.

Kiroro resort, japan

Namun tumpuan utama resort ini sudah tentulah aktiviti sukan saljinya. Dari kelas permulaan belajar bermain ski sehinggalah kelas bermain papan selaju salji (snowboarding), semuanya ada di sini. Tambahan lagi, sistem penyewaan peralatan serta kelengkapan bermain sukan salji di sini disusun dan diatur dengan sangat rapi. Tamu yang sudah menyewa dan membayar untuk pakej sukan salji mereka akan diberikan kad elektronik khas yang dapat menyimpan maklumat berkaitan. Semua tamu juga akan diberikan ‘locker’ atau tempat menyimpan barang khas masing-masing. Jadi buat yang pertama kali mencuba aktiviti seperti ski dan papan selaju salji, anda tidak perlu risau akan soal kelengkapan kerana semuanya disediakan (dari pakaian dan kasut khas, sehinggalah peralatan sukan salji).

Kiroro resort, japan

Tempat untuk berlatih bermain ski juga ada beberapa dan disesuaikan mengikut kepakaran. Ada beberapa laluan yang dikhaskan untuk pemain ski tertentu sahaja. Bagi yang baru bermula bolehlah mencuba kawasan yang lebih rendah berdekatan resort. Namun sekiranya sudah pakar dan ingin naik ke kawasan yang lebih tinggi, tersedia kerusi kabel atau chairlift yang akan membawa tamu naik ke atas. Walaupun ramai yang mungkin belum arif soal bermain ski, masih boleh menaiki kerusi kabel ke kawasan atas untuk mengambil gambar pemandangannya yang sangat menakjubkan. Selain daripada itu, tamu tidak perlu khuatir soal keselamatan kala bermain ski atau papan selaju kerana resort ini turut dilengkapi dengan pasukan penyelamat yang mirip para penyelamat di kolam renang dan lautan.

Pendek kata, Kiroro Resort memang menepati slogannya yang berbunyi “Five Star By Nature” kerana keindahan alam semulajadinya memang bertaraf lima bintang. Jadi sekiranya anda teringin bergelumang dan bermain dengan salji dan tidak mahu pergi terlalu jauh, terbanglah ke Hokkaido kerana seribu satu kenikmatan menanti anda!

Sonata Musim Salju Kiroro di Hokkaido, Jepun
by Shah Shamshiri

Kiroro resort, japan

Kiroro resort, japan

Kiroro resort, japan

Kiroro resort, japan

Kiroro resort, japan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

[TRAVEL] Sudut-Sudut Penuh Kesenian di Artotel, Jakarta

Foto New Sneak Preview MARVEL’S IRON FIST