in , ,

Siti Nurhaliza Undang Judika Penyanyi Jemputan di Konsert Sebuah Epitome

Penyanyi terkenal, Dato’ Seri Siti Nurhaliza, dengan rendah hati meminta maaf kepada peminat yang tidak berpeluang mendapatkan tiket untuk Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil, pada 9 Mac akan datang.

Penyanyi nombor satu negara itu, dalam kenyataannya sempena sidang media berkaitan konsert tersebut, turut mengumumkan bahawa tiada penambahan hari atau penjualan tiket akan dilakukan selepas mempertimbangkan pelbagai faktor.

“Saya ingin memohon maaf kepada semua yang tidak berjaya mendapatkan tiket. Saya juga tidak dapat menambah hari atau menjual tiket lebih lanjut. Jika kami menambah hari pada 10 Mac, ia hampir masuk bulan Ramadan.

Sekiranya pada 8 Mac, itu merupakan hari terakhir saya menjalani latihan. Kami dan pasukan kami telah mempertimbangkan dengan teliti, dan tambahan hari tidaklah mungkin.”

“Jadi, saya berharap agar peminat lebih bersedia dan bersemangat untuk konsert seterusnya. Mungkin dalam masa akan datang, kami akan mempertimbangkan untuk menganjurkan konsert selama dua hari,”

– Dato’ Seri Siti Nurhaliza

Tokti berkata demikian semasa sidang media Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza di The Face Suites.

Walaupun begitu, Siti menggambarkan sambutan terhadap konsert yang dianjurkan oleh Yayasan Nurjiwa dan disokong oleh Cuckoo sebagai satu pencapaian luar biasa, terutamanya setelah hampir lima tahun tidak mengadakan konsert solo di lokasi tersebut.

“Ini merupakan pencapaian yang di luar jangkaan saya. Tanpa diduga, sambutan yang sangat menggalakkan. Kami menjual tiket awal kerana tidak mudah untuk mengisi kapasiti 10,000 di Axiata Arena.

Saya mengakui bahawa setelah hampir lima tahun tidak mengadakan konsert di lokasi ini, antusiasme peminat untuk mendapatkan tiket sungguh luar biasa,”

– Dato’ Seri Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza turut mengumumkan bahawa penyanyi popular dari Indonesia, Judika, akan menjadi penyanyi jemputan dalam konsert tersebut.

“Saya akan menjemput sahabat saya, penyanyi terkenal dari Indonesia, Judika,”

– Dato’ Seri Siti Nurhaliza

Siti juga menyatakan bahawa sebahagian daripada hasil jualan tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza akan disumbangkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu rakyat Palestin.

Pada 21 Disember yang lalu, tiket Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza, berharga antara RM129 hingga RM799, habis terjual ‘dengan licin’ dalam tempoh dua jam selepas dibuka pada pukul 2 petang.

Kali terakhir Siti menganjurkan konsert solo di Axiata Arena adalah pada tahun 2019 melalui Siti Nurhaliza On Tour Malaysia.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Suara Mirip Sudirman Bawa Tuah, Arish Mikael Lancar Single NUKILANMU

Filem OPPENHEIMER Berjaya Rangkul Lima Trofi Anugerah Golden Globe