in , ,

Siti Nordiana Berbesar Hati Nyanyi Lagu CUKUP DERITA ITU Nukilan Tam Spider & Siti Rosmizah

Siti Nordiana salur rintihan penuh beremosi menerusi ‘Cukup Derita Itu’ sentuhan Tam Spider dan Siti Rosmizah.

Penghasilan lagu runut bunyi sememangnya menuntut penjiwaan yang selari dengan jalan cerita sesebuah drama mahupun filem. Hakikatnya, perjalanan ceritanya perlu cukup jiwa dan rasa untuk melengkapkan keseluruhan mood naskhah berkenaan.

Justeru, Siti Nordiana yang tampil dengan lagu baharu berjudul Cukup Derita Itu menyalurkan sepenuh emosi dan rintihan dalam lagu berkenaan. Mendapat sentuhan komposer hebat, Tam Spider dan liriknya hasil nukilan Siti Rosmizah, ternyata gabungan mereka cukup kuat untuk memberi kelebihan terhadap lagu ini.

Lagu ini menjadi runut bunyi drama yang menggunakan judul sama, Cukup Derita itu lakonan bintang ternama Hisyam Hamid, Ruhainies, Chacha Maembong, Jasmin Hamid, Didie Alias, Farhan Asri, Dian P Ramlee, Balkisyh Semundur Khan, dan ramai lagi. Arahan Along Kamaludin dan ceritanya diadaptasi daripada novel Siti Rosmizah sendiri. Drama Cukup Derita Itu akan ditayangkan di Slot Samarinda TV3 pada May 2021. 

Siti Nordiana Cukup Derita Itu

Meskipun memang sudah diakui kehebatan nyanyian dengan cara tersendiri, Siti Nordiana atau mesra dipanggil Nana tetap berdepan cabaran tersendiri melunaskan lagu itu. Apalagi, dia sendiri tahu betapa pentingnya lagu runut bunyi yang menjadi nadi kepada keberkesanan sesuatu drama.

Lagu runut bunyi perlu ada pendekatan tersendiri dan itulah cabaran yang saya hadapi untuk memastikan Cukup Derita Itu menjadi. Pertama sekali, semestinya saya kaji terlebih dahulu keseluruhan plot cerita drama berkenaan untuk memastikan dapat gambaran tepat.

“Memandangkan drama itu adalah naskhah yang menuntut permainan emosi dan ada babak kesedihan, saya kena tekankan daripada segi itu juga. Justeru, untuk lagu ini, saya cuba salurkan corak penceritaan dengan nada merintih terhadap setiap bait liriknya.

“Paling penting, secara peribadi saya memang sangat berbesar hati dapat menyanyikan karya nukilan Tam. Dia sememangnya komposer yang begitu teliti dan banyak membantu saya mendalami lagu berkenaan dengan emosi tepat,” katanya.

Siti Nordiana Cukup Derita Itu

Sentiasa mengutamakan ketelitian dalam karyanya, Tam pula mengakui lagu Cukup Derita Itu satu tugasan cukup besar. Sebelum beralih kepada proses rakaman, perbincangan mendalam dengan Siti Rosmizah dibuat untuk memastikan aura lagu terbabit mampu setanding jalan cerita drama itu sendiri.

Walaupun runut bunyi itu hanya berdurasi beberapa minit, penghasilannya perlu dilakukan dengan begitu teliti. Terutama daripada segi melodinya, kena menepati keseluruhan mood serta perjalanan kisah yang ingin disampaikan dalam drama berkenaan.

“Saya harus puji bagaimana Siti Rosmizah menerangkan secara mendalam dan terperinci berkenaan aspek penceritaan itu. Sekali gus, ia sangat membantu saya untuk menghasilkan lagu yang boleh meruntuh jiwa ramai sebaik mendengarnya serta menghayati baik liriknya,” katanya.

Cukup meledak sekitar 1990-an, Nana membuktikan dirinya adalah antara penyanyi terbaik wanita tempatan. Meskipun pernah berehat dalam bidang seni, Nana kembali memeriahkan industri apabila menyertai sekali gus menjuarai Gegar Vaganza 2 pada 2016. 

CUKUP DERITA ITU kini sudah tersedia di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, JOOX, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai jam 12 TENGAH MALAM manakala video liriknya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada hari yang sama jam 9 MALAM.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

KLfm Raikan Aidilfitri Warga Kota, Raya Pertama Hingga Raya Keempat

Royal Canin Perkenal Hematuria Detection, Kenal Pasti Penyakit Urinari Untuk Kucing di Peringkat Awal