in , , ,

Sinopsis & Gambar Menarik dari Drama Nora Elena

Siangnya Dilamun Kasih, Malamnya Dilambung Derita. Dilema Cinta Seorang Wanita Di Dalam Penjara Tragedi Ngeri

Lenakah seorang wanita di dalam tidurnya apabila dibuai mimpi ngeri dan siangnya dihantui kenangan pahit, padah bisa cinta? Keunggulan sebuah sketsa romantis dari sebuah novel hebat ”Kasih Yang Suci” terbitan Karangkraf kini akan menggamit perasaan dan emosi anda menerusi siri drama adaptasi terbaru TV3, NORA ELENA, terbitan Asian Media Content (AMC) yang diarah oleh Jet Li dan penulisan skrip oleh Maizura Mohamad Ideris.

NORA ELENA akan membawa anda menyelami perjalanan emosi dan kisah cinta seorang wanita mengharungi kehidupannya yang dicabar oleh kegelapan masa silamnya yang ternoda akibat kerakusan manusia yang bertopengkan nafsu. Namun, ketabahan Nora terus diuji tatkala dua orang lelaki istimewa hadir dalam hidupnya. Siapakah gerangan lelaki tersebut dan apakah igauan pahit Nora mampu ditelan oleh sinaran kasih dan harapan yang kian meneranginya?

Bakal ke udara pada 9 Mei 2011, NORA ELENA akan menemui penonton selepas berakhirnya CINTA ANTARA KITA, sebanyak 24 episod di slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Khamis pada jam 7.00malam. Antara barisan pelakon yang membintangi drama ini adalah Aaron Aziz, Siti Saleha, Wan Sharmila, Zul Ariffin, Erry Putra dan Puteri Fateen.

Zul Ariffin
Zul Ariffin

NORA ELENA merupakan sebuah kisah yang diadaptasi dari salah satu novel popular terbitan Karangkraf — Kasih Yang Suci hasil nukilan Meen Zulaikha yang mengisahkan tentang perjalanan hidup seorang wanita bernama Nora Elena (Siti Saleha) yang terganggu hidupnya akibat dihantui pengalaman pahit dirogol 10 tahun yang lalu. Walaupun sukar untuk melupakan insiden hitam tersebut, kini beliau selesa menjalankan kehidupannya seperti normal dan bakal mengahwini Idham (Zul Ariffin).

Namun, keadaan mula berubah setelah bertemu Seth Tan (Aaron Aziz). Nora dan Idham yang dahulunya ibarat burung merpati sejoli, kini menjadi tidak sehaluan dan sering bertukar rasa cemburu dan marah.

Secara tiba-tiba, Idham membatalkan majlis perkahwinannya dengan Nora Elena akibat dari salah faham Idham yang menyangkakan bahawa Nora mempunyai hubungan dengan Seth Tan, majikan Idham sendiri.

Apa yang mampu dizahirkan oleh seorang wanita hanyalah tangisan dan jeritan yang tidak mampu didengari sesiapa!

Apakah yang akan berlaku kepada Seth Tan setelah kedudukan Idham yang tergugat kerana terbawa oleh mainan perasaan?

Penderitaannya bertambah perit tatkala bisikan liar dan kata-kata hati yang sering mengingatkan Nora tentang apa yang telah mengubah statusnya daripada seorang perawan yang suci kepada sesuatu yang amat pahit untuk ditelan sendiri.

Lebih mendebarkan, Seth Tan menawarkan dirinya untuk menggantikan tempat Idham di dalam majlis perkahwinan tersebut kerana masa semakin suntuk. Sedalam manakah kejujuran lelaki misteri ini dan apakah jawapan di sebalik kehadirannya?

Dan mampukah Nora dan Seth mempertahankan mahligai perkahwinan yang telah mereka bina apabila satu rahsia hitam paling memilukan akhirnya terbongkar?

Persimpangan cinta dan pencarian kasih yang tulus suci ini digambarkan melalui keperitan hidup dan tekanan emosi seorang wanita yang telah dihapus keceriaannya akibat kedurjanaan manusia, dan segala persoalan akan terjawab menerusi drama baru NORA ELENA, yang bakal menemui penonton pada 9 Mei 2011, pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 7.00 malam, di slot Akasia, hanya di TV3.

Gambar Pelakon Drama Nora Elena

Ramona Zamzam
Ramona Zamzam
Miera Liyana
Miera Liyana
Siti Saleha
Siti Saleha
Aaron Aziz.1
Aaron Aziz

Puteri Fateen
Puteri Fateen

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Photos Movie Still Twilight Breaking Dawn Part 1

Cipta Inspirasi & Keyakinan Diri Anda Dengan Kempen Persona