in , ,

Sinopsis Drama Bersiri TIKAM Lakonan Fahrin Ahmad & Ben Amir

Intipati Drama Jenayah Thriller ‘Tikam’ Penuh Klimaks. Naskhah terbaharu ‘Gempak Original Series’ padat dengan ‘plot twist’ untuk cari dalang di sebalik kes pembunuhan dalam tempoh 24 jam!

Portal hiburan Gempak di bawah payung penjenamaan ‘Gempak Original Series’ dengan berbesar hati menyajikan drama rantaian baharu berjudul ‘Tikam’ yang mengetengahkan genre jenayah thriller mengenai satu kes pembunuhan yang berlaku di dalam sebuah pejabat. Dalam tempoh 24 jam, sekumpulan pekerja harus mencari dalang di sebalik pembunuhan tersebut. 

Idea asal  dan skrip drama bersiri lapan episod ini diilhamkan oleh tenaga kreatif Gempak yang tersediri daripada Sham Hashim, Akmal Nahar dan Lemuel Ong dengan sokongan penulis skrip naskhah popular Angkara Cinta iaitu Rehal Nuharis.

Drama rantaian ‘Tikam’ terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn. Bhd. ini diarahkan oleh pengarah prolifik Michael Ang yang juga bertindak selaku penerbit di samping turut menjayakan watak pelakon pembantu dalam masa yang sama. Selain Michael, drama ‘Tikam’ juga turut mendapat sentuhan Hadith Omar selaku pengarah bersama.

Klimaks drama ‘Tikam’ bergantung kepada keunikan jalan cerita yang padat dengan plot twist untuk menimbulkan unsur spekulasi dan suspen di kalangan penonton. Selain itu, drama ini juga turut mempertaruhkan barisan pelakon popular seperti Fahrin Ahmad yang memegang watak sebagaiShahrol, Ben Amir sebagai NJ, Intan Najuwa sebagaiAkma, Michael Ang sebagai Mike, Jasmin Hamid sebagaiMadam Joan, Yuna Rahim sebagaiIka, Ellyas Abdullah sebagaiSap dan Josiah Lim sebagaiEd.

Sinopsis Drama Bersiri TIKAM Lakonan Fahrin Ahmad & Ben Amir

Drama bersiri ‘Tikam’ bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 3 November 2021 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusiportal Gempak, aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Untuk pengisian di platform digital pula, kapsul istimewa berjudul ‘Diari Menikam Dari Mike’ pula akan ditayangkan pada setiap hari Rabu, jam 10.05 malam mulai 3 November 2021 secara eksklusif di kesemua platform digital Gempak.

Sinopsis Drama Bersiri TIKAM Lakonan Fahrin Ahmad & Ben Amir

Syazwan Zakariah, Ketua Content Studio Astro berkata,

“Terus konsisten dalam menghasilkan karya-karya berkualiti yang ‘buzzworthy’ dan menjadi sebutan, kali ini ‘Gempak Original Series’ menampilkan genre drama jenayah, yang mana ia merupakan antara genre yang jarang diketengahkan dalam siri drama tempatan, tetapi sering menjadi pilihan penonton. 

Selain mempertaruhkan nama-nama besar sebagai teraju utama, kekuatan naskhah ini bergantung kepada sudut penceritaan dan intipatinya yang padat dengan misteri dan susunan momentum plot twist yang mendebarkan untuk menguji minda audiens.

Biarpun keseluruhan penggambaran naskhah ini terikat dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti lokasi, jumlah pelakon dan krew yang terhad, pasukan kami sangat berpuas hati dengan kreativiti yang terhasil.  

Kami juga amat berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan oleh penerbit Michael Ang, yang sebelum ini pernah berkolaborasi dengan Gempak untuk siri ‘The Maid’ pada awal tahun. Sentuhan pengarah Hadith Omar juga memberikan kelainan di samping penghayatan barisan pelakon terkenal dan berpengalaman.

Syabas saya ucapkan kepada seluruh pasukan produksi yang telah mendedikasikan seluruh komitmen mereka untuk melahirkan sebuah lagi drama yang hebat dan berkualiti seperti ‘Tikam’. Semoga naskhah ini diterima baik sekaligus mencipta fenomena yang tersendiri di kalangan peminat drama Melayu tanah air. Selamat menonton!”.

Sinopsis Drama Bersiri TIKAM Lakonan Fahrin Ahmad & Ben Amir

Michael Ang, Pengarah ‘TIKAM’ berkata,

“Walaupun sudah lama terlibat secara aktif dalam bidang pengarahan, secara jujurnya naskhah ‘Tikam’ mempunyai impak yang bermakna dan amat mengujakan untuk karier saya sebagai penerbit dan pengarah kerana ini merupakan kali pertama saya terlibat dengan projek yang hanya memfokuskan kepada satu lokasi sahaja untuk keseluruhan cerita. 

Dalam menghasilkan karya seperti ini, cabarannya amat besar kerana ia memerlukan idea yang kreatif dan di luar kotak bagi memberikan kelainan yang segar dan tidak mendatar. 

Selain daripada harus mempunyai skrip yang kuat, pemilihan barisan pelakon yang tepat juga perlu dititik beratkan agar dapat memberikan mutu lakonan yang luar biasa. Saya amat gembira dan bertuah kerana dapat bekerjasama dengan sebuah pasukan yang cukup komited dan berdisiplin. Hubungan ‘chemistry’ yang terbina di antara mereka juga amat membantu dalam memudahkan lagi urusan penggambaran sewaktu di set. 

Saya berharap naskhah ini dapat menambat hati para penonton dengan penceritaannya yang cukup menarik. Semoga terhibur”.

Sinopsis Drama Bersiri TIKAM Lakonan Fahrin Ahmad & Ben Amir

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘TIKAM’

Naskhah ‘Tikam’ ialah projek pertama pelakon Intan Najuwa dengan pengarah prolifik, Michael Ang. Sebelum ini, mereka hampir bekerjasama menerusi dua buah projek yang berlainan, namun hasrat tersebut tidak dapat diteruskan seperti yang telah dirancang.

Selepas dua tahun berehat dari dunia lakonan, Josiah Lim yang memegang watak sebagai Ed dan Ellyas Abdullah sebagai Sap membuat kemunculan semula buat pertama kali menerusi naskhah ‘Tikam’. 

Intan Najuwa merupakan salah seorang teraju utama dalam drama ‘Tikam’ yang menyandang watak sebagai Akma. Sebagai kelainan, Michael Ang juga turut memeriahkan drama ini bagi menjayakan watak sebagai ‘Mike’ selain bertindak sebagai pengarah bersama di samping Hadith Omar.

Walaupun Intan Najuwa yang memegang watak sebagai Akma dalam drama ini memiliki susuk tubuh yang kecil, namun sebenarnya dia seorang yang paling kuat makan. Setiap kali berada di set penggambaran, Intan akan membuat pesanan makanan di Grab sekurang-kurangnya tiga kali pada satu masa.

Fahrin Ahmad yang memegang watak utama sebagai Shahrol amat disenangi kerana personalitinya yang suka mengusik untuk menceriakan para pelakon yang lain sewaktu di set penggambaran.

Keseluruhan penggambaran telah dijalankan secara tertutup di Phileo Damansara dan mengambil masa 12 hari untuk diselesaikan. 

Ben Amir yang menjayakan watak sebagai NJ adalah seorang penggemar minuman kopi yang tegar sewaktu di set penggambaran. Ben dan Intan juga amat pemurah kerana sering membelikan minuman tersebut untuk dibawa ke set agar dapat dinikmati bersama-sama dengan semua yang terlibat. Lagipun, sebenarnya semua orang di set merupakan ‘hantu’ kopi.

Kesemua barisan pelakon yang terlibat dengan drama ‘Tikam’ ini mempunyai hubungan yang amat rapat. Sehingga hari ini, tidak ada sesiapapun yang meninggalkan group chat di aplikasi Whatsapp walaupun penggambaran sudah lama tamat. Kebiasaannya, semua akan leave group sejurus selepas tugasan tamat.

Sinopsis Drama Bersiri TIKAM Lakonan Fahrin Ahmad & Ben Amir

SINOPSIS DRAMA ‘TIKAM’

Situasi di pejabat BD Property dikejutkan dengan penemuan mayat Shahrol di dalam biliknya. Ketika itu hanya  ada 6 orang pekerja sahaja termasuklah NJ, Akma Ed, Ika, Mike dan Sap yang masih berada di pejabat untuk menyiapkan kerja haram mereka iaitu menyonglap wang syarikat dalam sebuah projek perumahan.

Shahrol turut meninggalkan sekeping nota bunuh diri yang menyatakan bahawa dia rasa kecewa akibat dikhianati oleh pekerjanya yang amat dia percayai selama ini. Kegiatan pecah amanah mereka telah sampai ke pengetahuan pihak atasan kerana ada di antara mereka adalah pengkhianat

Keadaan bertambah panik apabila mereka menyedari bahawa fail merah milik Shahrol yang menyimpan segala bukti penglibatan pecah amanah mereka semua telah hilang. NJ mengambil keputusan untuk mengunci pintu pejabat dan tidak membenarkan sesiapa keluar dari situ selagi pembelot tersebut tidak dijumpai

Situasi tambah tegang apabila mereka diberitahu satu mesyuarat tergempar di kalangan ahli Lembaga Pengarah akan diadakan pada pukul 5 petang itu.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Usop Selamat Bertunang dengan Nur Fatihah

Wellous Lancar Produk TIGROX, Lantik Jack Lim Sebagai Duta Produk