in , ,

Tya Arifin Lancar Single Pertama di Malaysia Berjudul BAGAIKAN MUTIARA

Meneliti satu persatu bait lagu Bagaikan Mutiara jelas merangkumkan kembara perjalanan hidup, aturan kerjaya dan kecintaan wanita kelahiran Palembang, Indonesia bernama Tya Arifin.

Lagu nuansa pop ciptaan Ahmad Jeffny dan penyanyi Yuka Kharisma ini menjadi bukti biarpun melakukan banyak pengorbanan dalam hidup, minatnya terhadap dunia seni yang terlebih dahulu diceburi tidak pernah terhakis. 

Lebih istimewa lagu yang dirakamkan 20 Oktober lalu ini turut mendapat sentuhan nukilan lirik suami tercinta, Asyraf Khalid bersama Ahmad Jeffny.

Lagu edaran Universal Music Malaysia ini pendek kata boleh diabadikan sebagai meraikan momen indah usia perkahwinan pemilik nama penuh Nurtria Wulandari Arifin ini yang genap lima tahun pada 1 November lalu.

Tya Arifin

Melengkapkan kebahagiaan Tya bersama Asyraf dikurniakan sepasang cahaya mata comel, Arif Jiwa, 3, dan Azzahra Jiwa, 2.

“Dalam hidup ini, kita seringkali berdepan dengan pilihan dan pengorbanan. Saya sendiri tidak pernah menyesali takdir berkahwin dengan Asyraf dan berhijrah ke Malaysia saat nama sedang mekar di tanah kelahiran.

“Bukan keputusan mudah  sebenarnya untuk saya meninggalkan keluarga dan kerjaya di Indonesia.  Namun saya bulatkan hati dan percaya cinta yang teguh itu menjadi azimat berharga membawa bahagia berterusan.

“Lirik awal lagu ini sendiri bermula dengan kembara saya dari tanah seberang menuju ke Malaysia. Pendek kata lagu ini mengenai perjalanan saya bertemu dengan suami dan seterusnya membuka lembaran baru dalam hidup sekali gus menebarkan impian yang lebih besar,” katanya Tya yang pernah muncul dengan single Bawalah Aku di Indonesia sekitar tahun 2012.

Menurut Tya yang turut meneroka dunia perniagaan produk suplemen kesihatan, Mutyara, single komersial pertamanya di Malaysia itu bagai sebuah bingkisan bermakna yang menghimpunkan pahit manis dalam paksi hidup.

“Ia seperti sebuah kembara seorang wanita yang mencari hala tuju dalam hidupnya. Ia termasuk mencari jati diri.  Dalam perjalanan itu, dipertemukan dengan cinta hati. 

“Lumrah dalam sebuah bahtera kehidupan itu pasti bersilih ganti suka duka sebelum mencapai kejayaan, matlamat dan impian diidamkan. 

“Simbolik perkataan mutiara itu sendiri yang sentiasa bersinar di lautan. Ia tetap berharga nilainya sekali gus mencerminkan segala yang positif seperti kebijaksanaan, keteguhan hati, kemurnian, kekebalan dan kesetiaan,” katanya.

Jelas Tya lagi, single berkenaan juga ironinya memperkasakan golongan wanita dalam pelbagai sudut pandang.

“Wanita itu tak kira apa juga statusnya, dia juga kena kuat.  Tidak boleh sesekali lemah. Kuat itu juga bukan daripada segi fizikal, namun juga minda dan pembawakan diri.

“Saya sendiri berubah status dari gadis bertukar sebagai isteri dan ibu. Menjadi ibu kepada dua cahaya mata tidak pernah membataskan saya mencari titik kesempurnaan dalam hidup. 

“Saya jadi lebih optimis dan bersemangat apabila perniagaan yang diusahakan dapat membantu mengubah nasib orang lain,” katanya yang mula berhijab sekitar awal tahun ini.

Tya Arifin

Ditanya apakah percubaannya menghasilkan single berkenaan yaitu untuk merekam memori perjalanan cintanya, Tya memintas bahawa lagu itu menzahirkan darah seni yang mengalir tidak pernah bernoktah

“Soalnya saya bermula sebagai artis. Pastinya saya mengharapkan pertaruhan ini akan membuahkan hasil. 

“Saya juga tidak mengambil mudah dalam soal untuk kembali menyanyi. Pastinya selepas sekian lama tidak menyanyi, banyak hal saya kena asah. Termasuk daripada sudut vokal. Saya sempat berguru menajamkan kembali vokal sebelum proses rakaman bermula,” katanya.

Lagu berkenaan juga menyaksikan Asyraf bertindak sebagai penerbit eksekutif. Video muzik juga sudah dirakamkan 17 November lalu arahan El Helmi Khir.

Lagu dan video muzik Bagaikan Mutiara telah dilancarkan pada (4 Disember 2020; jam 12.00am). Ia juga boleh distrim di platform digital terpilih. Klik link ke tautan video muzik ini https://youtu.be/WjmXdoESo4I yang akan dipaparkan melalui Youtube Channel Tya Arifin Official https://www.youtube.com/channel/UCWEp8f25SgemZ6K-YZxy3pA

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Shahida 2020 | 23

Isteri Aliff Syukri Kuarantin Selepas Adik Positif Covid-19

Trending Viral Hiasan | 24

Elak Salah Hantar Mesej, WhatsApp Kini Boleh Tukar Wallpaper Berbeza di Setiap Chat