in , ,

SINAR CINTA Hafiz Suip Lagu Runut drama SEINDAH TUJUH WARNA PELANGI

Pemenang Anugerah ‘Vokal Terbaik’ dan ‘Persembahan Terbaik’ Anugerah Juara Lagu 34, HAFIZ SUIP Kembali Dengan Single Terbaru, “Sinar Cinta”.

Tahun 2020 dibuka dan dirai dengan cukup cantik bagi penyanyi yang juga juara Akademi Fantasia musim ketujuh, Hafiz Suip apabila menang dua anugerah di Anugerah Juara Lagu (AJL)  ke-34 pada 9 Februari lalu menerusi lagu “Kisah Cinta Kita”. Vokal luar biasa penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu membawa tuah buatnya apabila diumumkan pemenang trofi ‘Vokal Terbaik’ dengan hadiah trofi dan wang tunai RM12,000.

HAFIZ SUIP SINAR CINTA

Kemenangan kategori vokal itu menjadi yang keempat diterima Hafiz atau nama penuhnya, Mohd Hafiz Mohd Suip, 30, menerusi penganjuran AJL. Lagu ciptaan Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali serta nukilan lirik oleh Datuk A. Aida itu melayakkan dia mengungguli kategori ‘Persembahan Terbaik’ yang menawarkan ganjaran trofi dan wang tunai RM10,000.

Tidak terhenti di situ, penyanyi ini juga meneruskan kelangsungan nyanyiannya yang dimulai sejak 11 tahun lalu dengan bakal menghadiahkan single terbaharu berjudul “Sinar Cinta” pada 14hb. Februari ‘20. Lagu berentak balada itu juga menjadi taruhan terbaru untuk kembali memikat hati peminat dan penggemar muzik tanahair.

Lagu terbaru terbitan dan edaran Nova Music (M) Sdn Bhd ini juga menyaksikan Hafiz sekali lagi menerima sentuhan emas Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali yang berkolaborasi bersama John Jeevasingham. Malah, ketiga komposer berkenaan juga turut berkongsi idea menzahirkan cetusan lirik bersama penerbit-penerbit drama, D. Hasniza dan Arisz Ab Rahman.

Manisnya juga, single terbaharu itu turut menjadi pilihan produksi Saphire Screen bagi drama ‘Seindah Tujuh Warna Pelangi’ yang diarahkan Eoon Suhaini sebagai lagu runut bunyi. Drama berkenaan yang dibintangi Aeril Zafrel, Nabila Razali dan Hun Haqeem akan mula bersiaran menghiasi slot Akasia di TV3 mulai 24 Februari ini. 

Suami kepada Nureffy Jasreel Abdullah ini sendiri teruja menanti kehadiran “Sinar Cinta” yang diharap dapat terus mengekalkan momentun seninya.

“Harapnya lagu Sinar Cinta ini dapat terus menjadi kesinambungan terhadap penerimaan lagu nyanyian saya terutama yang berentak balada. Cuma pastinya setiap naskhah itu mempunyai penceritaan berbeza termasuk untuk single terbaharu ini. Proses rakaman dibuat sebelum saya sibuk dengan persiapan AJL 34 iaitu pada awal tahun ini. Ia dirakamkan di studio milik komposer Omar K.

“Mengikut persepsi dan pemahaman saya, lagu ini mengisahkan mengenai kehadiran cinta yang sempurna. Malah, kita tahu cinta itu begitu penting dalam kehidupan seharian kita. Itu juga yang cuba disampaikan komposer lagu ini yang mahu meyakinkan kita betapa peri pentingnya elemen cinta itu yang bersifat universal.

“Proses rakaman juga mudah kerana antara komposer yang terbabit seperti Ikhwan dan Ayden sudah saya terbiasa menjalinkan kerjasama sebelum ini,” katanya yang bernikah dengan Nureffy pada 14 Mei 2016

Kata Hafiz lagi, sebagai penyanyi dia cuba menzahirkan emosi lagu yang dirakamkan sebaik mungkin mengikut terjemahan rasanya.

“Sekalipun sudah kerap menyanyikan lagu balada yang dianggap ramai sebagai ‘forte’ atau makanan saya, setiap lagu itu memberikan cabaran tersendiri. Dalam hidup ini pun kita sendiri sudah terbiasa bermain dengan emosi. Saya cuba gunakan apa yang dirasai untuk meresapi ‘roh’ bagi lagu ini.

“Paling tepat,  saya cuba menzahirkan emosi cinta itu terhadap isteri dan keluarga yang saya sayangi menerusi lagu ini. Cinta saya terhadap mereka lahir tanpa syarat dan di tahap infiniti. Semoga sinar cinta yang mekar sejak sekian lama itu akan terus kekal sampai ke syurga,” katanya.

Sementara itu, kejayaannya di AJL 34 disifatkan penyanyi ini sebagai rezeki anak. Isterinya dijangka melahirkan anak kedua mereka pada pertengahan Mac nanti.

“Saya anggap kejayaan yang dimiliki di AJL baru-baru ini sebagai rezeki anak selain usaha yang disalurkan dalam memastikan penonton terhibur sekali gus dapat merasai apa disampaikan. Cuma saya percaya kalah dan menang itu adat pertandingan. Saya sudah tanamkan hal itu dalam diri. Niat saya datang buat persembahan di AJL 34 itu untuk menghibur. 

“Kalau kita tekankan rasa nak bertanding, timbul pula perasaan nak bersaing. Apa yang utama juga ia jadi tanggungjawab saya sebagai perantara menterjemahkan naskhah daripada komposer. Apatah lagi, AJL sendiri mengangkat kredibiliti dan kebolehan mereka yang hebat dalam seni penciptaan lagu,” katanya.

Pemenang anugerah ‘Penyanyi Lelaki Popular’, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) selama tiga tahun berturut-turut sejak edisi ke-24 ini juga sebenarnya teruja menantikan kehadiran cahaya mata keduanya.

“Saya percaya aturan Tuhan itu cantik. Saya menang dua kategori anugerah di AJL 34 selain dapat mencipta rekod empat kali menang trofi Vokal Terbaik menerusi pertandingan itu, lagu Sinar Cinta pula menyusul. 

“Lepas ini, anak kedua saya pula akan menemui kami. Semoga segala-galanya akan dipermudahkan. Moga tuah dan rezeki yang diraih akan terus konsisten serta menyebelahi saya. Cuma sekarang bab jantina anak kedua itu biarlah rahsia dulu dan kekal sebagai kejutan. Nanti sudah lahir saya akan maklumkan,” katanya.

Kata Hafiz, anak sulungnya Muhammad Riyadh Zafri yang kini berusia dua tahun belum memahami perasaan dengan tepat bagaimana memiliki adik.

“Dia memang belum faham lagi soal nak jadi abang. Tapi yang sedikit menggusarkan saya ialah dia ini boleh tahan kasar perilakunya. Memang saya dan isteri kena pantau kerenahnya. Takut juga dia berkelakuan pelik menyambut kehadiran anak kedua kami nanti”.

“Ketika ini, isteri saya dalam keadaan stabil sebelum menanti detik kelahiran anak kedua kami. Saya sendiri pun sejak isteri hamil tak rasa alahan seperti anak pertama dulu seperti mual dan loya. Mungkin juga, Tuhan nak beri kegetiran itu kepada ibunya saja. Cuba golongan lelaki yang perlu melalui pengalaman sebegitu, saya yakin pasti tak tertanggung”.

“Sebab itu juga hingga sekarang, saya memandang tinggi ibu dan isteri yang melalui pengalaman hamil dan melahirkan cahaya mata,”katanya.

Hafiz kini optimis untuk terus menyemarakkan persada seni.  

“Pada tahap sekarang, soal glamor atau wang itu bukan segala-galanya. Namun apa yang pasti saya mahu terus kekal relevan dan berkongsi bakat yang dimiliki secara konsisten,” katanya.

Single “Sinar Cinta” Hafiz Suip terbitan Nova Music (M) Sdn Bhd boleh distrim di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer pada Hari Kekasih, 14.02.20. Video lirik rasmi lagu tersebut juga boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama jam 3 petang di pautan ini.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Peraduan Menonton Filem Disney/Pixar’s Onward

Aprena Manrose Terkilan Tak Sempat Promosi Jodoh Syaitan Dengan Abam