in , ,

Siaran Drama HATI YANG DIKHIANATI Direhatkan Susulan Kekangan PKP 3.0

Drama kekeluargaan 30 episod ‘Derita Untuk Bahagia’ bakal ambil alih slot Tiara bermula 7 Jun ini

Susulan perlaksanaan PKP 3.0 melibatkan sekatan pergerakan skala penuh bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan atas faktor keselamatan, pihak Astro Primadan syarikat produksi  Global Station Sdn. Bhd. mengambil keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama adaptasi Hati Yang Dikhianati’ atau ‘HYD’ yang kini masih lagi ditayangkan menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang berkuatkuasa serta merta.

Keputusan ini sekaligus memberi kesan kepada slot jadual siaran drama tersebut yang juga terpaksa direhatkan buat sementara waktu bagi episod ke-41 dan seterusnya bermula Isnin depan, 7 Jun 2021. Drama bersiri terbaharu ‘Derita Untuk Bahagia’ akan mengambil alih slot tersebut dan akan ditayangkan secara eksklusif buat pertama kali mulai 7 Jun ini.

Siaran Drama HATI YANG DIKHIANATI Direhatkan Susulan Kekangan PKP 3.0

Untuk makluman, drama ‘HYD’ mengetengahkan format interaktif ‘open-ended’ yang memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan drama tersebut. Jalan penceritaan dan pembinaan watak turut dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa. Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Drama ‘HYD’ diarahkan oleh sutradara Riza Baharuddin serta turut menampilkan barisan penulis skrip yang diketuai oleh Eenaz Mokhtar. Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklahIsyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Iman, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam Noor serta ramai lagi.

Sebarang keputusan terkini berkenaan sambungan drama ‘HYD’ akan diumumkan kemudian.

“Demi keselamatan bersama dan langkah berwaspada untuk mengelakkan sebarang risiko dan masalah jangka panjang, kami akur dengan perlaksanaan sekatan skala penuh yang dikeluarkan oleh kerajaan. Melihat kepada peningkatan kadar kes aktif semasa yang kini berada di peringkat kritikal, keputusan tersebut tidak mengejutkan dan sudah dijangka awal.

Selain memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, keputusan untuk menghentikan sebarang aktiviti penggambaran drama ‘HYD’ berkuatkuasa serta merta ini juga merupakan sebahagian daripada usaha proaktif kami untuk memutuskan rantaian Covid-19’. 

Pihak Astro kini dalam usaha menyusun jadual baharu untuk sambungan drama tersebut dan masih belum boleh berkongsi sebarang maklumat lanjut mengenainya kerana perlu mengambil kira situasi semasa pandemik. Selain aspek keselamatan, faktor-faktor lain seperti ketersediaan lokasi, kesesuaian tarikh dan garis masa, syarat SOP yang lebih ketat dan sebagainya perlu dipertimbangkan.

Pengalaman menghadapi situasi sebegini sejak arahan PKP 1.0 dikeluarkan Mac tahun lalu amat membantu kami membuat persediaan awal sekiranya ia berulang kembali. Walaupun drama HYD’ tidak dapat diteruskan menerusi slot Tiara mengikut perancangan asal, drama terbaharu ‘Derita Untuk Bahagia’ yang bakal kami pertaruhkan untuk mengisi kekosongan slot tersebut juga tidak kurang hebatnya.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, drama ini berjaya disudahkan hasil kerjasama kreatif dan komitmen semua pihak yang terlibat. Syabas kami ucapkan terutamanya kepada Ejump selaku pengarah yang sanggup menyahut cabaran yang diberikan untuk berkarya di luar kotak dan zon selesa. Semoga drama ‘Derita Untuk Bahagia’ akan mengubat hati para pengikut setia slot Tiara di Astro Prima sekaligus diterima baik oleh rakyat Malaysia. Semoga terhibur!”

Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Prima

“Syukur alhamdulillah saya dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang amat profesional dan mempunyai chemistry yang baik. Suasana di set penggambaran juga amat seronok dan hubungan kami rapat seperti sebuah keluarga. 

Walaupun kami diuji dengan pelbagai cabaran sepanjang penggambaran dijalankan, namun saya berasa beruntung kerana dikurniakan sebuah pasukan yang amat komited dan cukup membantu. Selain berdepan dengan dua kali perlaksanaan fasa PKP, kami juga terpaksa menangguhkan penggambaran selama 40 hari, kehilangan lokasi, pertukaran di saat akhir dan sebagainya. Walaupun penuh kekangan, pengalaman tersebut amat manis dan cukup bermakna kepada perjalanan karier saya sebagai pengarah.

Para peminat drama tempatan perlu menonton drama ini kerana ia sarat dengan elemen yang cukup dekat dengan masyarakat kita seperti kekeluargaan dan persahabatan. Selamat menonton!”

– Ejump Mohd, Pengarah ‘Derita Untuk Bahagia’

FORMAT DAN INFO SIARAN DRAMA ‘DERITA UNTUK BAHAGIA’

Drama bersiri ‘Derita Untuk Bahagia’ terbitan Astro Prima dan syarikat produksi MIG Productions Sdn. Bhd. merupakan sebuah naskhah asal yang mengangkat genre kekeluargaan, persahabatan dan cinta.  Drama 30 episod arahan Ejump Mohd ini turut menampilkan David Teo selaku Penerbit. 

Kisah ‘Derita Untuk Bahagia’ bakal bersiaran menerusi slot Tiara secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 7 Jun 2021 di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

TRIVIA MENARIK DRAMA ‘DERITA UNTUK BAHAGIA’

  1. Penggambaran drama ‘Derita Untuk Bahagia’ telah dimulakan pada 28 September tahun lalu dan terpaksa dihentikan sebanyak dua kali kerana berdepan dengan kekangan PKP. Keseluruhan kerja penggambaran akhirnya dapat diselesaikan pada 5 Mac 2021, lewat 11 hari mengikut perancangan asal. Antara lokasi penggambaran yang terlibat termasuklah di sekitar Lembah Klang dan Kuantan.
  • Pihak produki telah berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang aktiviti penggambaran dijalankan. Aspek keselamatan dan lokasi merupakan antara cabaran terbesar yang harus ditempuhi sepanjang penggambaran berjalan.
  • Selain memohon lesen biasa, pihak produksi juga terpaksa membuat permohonan lain kepada FINAS untuk mendapatkan Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) bagi meneruskan baki kerja penggambaran.
  • Selain terikat dengan garis panduan SOP yang ketat serta lawatan khas oleh pihak FINAS semasa aktiviti penggambaran sedang berjalan, jadual penggambaran juga asyik berubah kerana ada pelakon utama dikenal pasti sebagai kontak rapat kes positif Covid-19.
  • Akibat perubahan jadual yang terjadi, pihak produksi terpaksa menghadapi tekanan dan mengejar masa untuk menghabiskan baki kerja penggambaran dengan kadar segera kerana ada sebilangan barisan pelakon yang terlibat sudahpun terikat dengan komitmen kerja yang lain.
  • Pihak produksi juga mengambil keputusan untuk meneruskan penggambaran di Kuantan bagi babak-babak yang melibatkan kawasan hospital kerana masalah lokasi di Kuala Lumpur. Babak tersebut juga melibatkan hampir 13 orang pelakon dan 20 krew produksi.
  • Single ‘Bangkit Semula’ nyanyian penyanyi popular Khai Bahar diangkat sebagai lagu tema untuk drama bersiri ini. Lirik single tersebut merupakan hasil nukilan Adi Pawana dan turut menampilkan Adi Pawana & Alun Cendana selaku Komposer.

BARISAN PELAKON DRAMA ‘DERITA UNTUK BAHAGIA’

Azar Azmi sebagai ALISHA

Hafreez Adam sebagai RAIF

Amar Baharin sebagai DANIAL

Marisa Yasmin sebagai MARIA

Dayang Areeda sebagai INTAN

Jasmin Hamid sebagai LINA

Dian P Ramlee sebagai PUAN ZAITON

Riezman Khuzaimi sebagai SALLEH

Harieyanto Hassan sebagai FAUZI 

Dato’ Hilal Azman sebagai TUAN JALAL

Aida Othman sebagai SURAYA 

Zarina Zainuddin sebagai MAK YAM

SINOPSIS DRAMA ‘DERITA UNTUK BAHAGIA’

Alisha ialah gadis yang rajin dan yang membesar dalam keadaan yang penuh dengan cabaran, bapanya kaki pukul manakala ibunya membanting tulang membesarkannya. Alisha bijak dan pandai berdikari untuk mencari wang. Suatu hari Alisha dikejutkan apabila sedar yang dia bukanlah anak kandung ibunya.  Pergolakkan berterusan apabila Alisha cuba mahu mencari keluarga kandungnya. Pertemuan Alisha dengan Danial dan Raif juga telah membibitkan situasi cinta tiga segi antara mereka semua, namun hubungan cinta Alisha ditentang sehingga dia menemui kebenaran.  Berjayakah Alisha menemui bahagia dan cinta selepas melalui kehidupan yang sukar, ditambah dengan masa silam keluarganya yang kini menghantuinya?

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Zul Yahya Saran Pesakit Covid-19 Muslim Dikuarantin di Masjid

Sentuhan CINTA Akim & Stacy, Vokal Marsha Berkumandang dalam MASIH ADA RINDU