in ,

Siapakah Bakal Juara Big Stage 2019?

Fieya Julia dan Kucaimars tersingkir di pentas separuh akhir, lima bintang bakal berentap bagi merebut gelaran juara ‘Big Stage’ musim kedua!

Pentas Big Stage 2019 minggu ketujuh (Separuh Akhir) menyaksikan tujuh bintang BBNU menyampaikan dua persembahan iaitu lagu ‘Road to Final’ dan ‘Duet’ bersama penyanyi sensasi tanah air sebelum melayakkan diri ke pentas akhir. Neeta Manisha berada di kedudukan pertama dengan jumlah markah 77.67 peratus menerusi lagu berjudul “Potret” nyanyian asal Akim & The Majistret dan beliau telah mendapat pujian hebat dari barisan juri.

Han Byul pula berada di kedudukan kedua dengan markah terkumpul sebanyak 74.33 peratus. Persembahan konsisten dari penyanyi yang berumur 29 tahun itu menerusi lagu berjudul “Boy with Luv” nyanyian asal BTS feat. Halsey telah mendapat pujian dari Judika yang mengatakan bahawa “beliau sangat cemburu dengan Han Byul kerana mampu menyanyi sambil menari dalam satu masa”. 

Manakala, Dinda Permata tampil hebat menerusi lagu ‘Secangkir Madu Merah’ nyanyian asal Amelina & Sheeda, yang mana juri telah memberikan markah sebanyak 72.17 peratus, meletakkan Dinda di kedudukan ketiga dalam carta pemarkahan.

Setiap peserta turut membuat persembahan sebaik mungkin di pusingan kedua, pusingan ‘Duet’ bersama artis pilihan masing-masing. PersembahanNeeta Manisha bersama Hael Husaini menerusi lagu ‘Keliru’, nyanyian Ruth Sahanaya, dan Han Byul bersama Siti Sarah dengan lagu ‘Dirgahayu’, nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir di antara persembahan yang mendapat pujian tertinggi dari barisan juri.

Namun begitu, adat pertandingan, pasti ada yang kecundang. Di minggu separuh akhir tersebut, Irfan Haris, Fieya Julia dan Kucaimars tersenarai di kedudukan tiga terendah. Bintang BBNU yang termuda iaitu Irfan Haris, telah membuat perubahan yang ketara pada persembahan solo, di mana beliau cemerlang menyanyikan lagu berjudul ‘Bukan Diriku’ nyanyian asal Samsons. Namun begitu, markah keseluruhan yang dicatatkan beliau dilihat masih rendah sehingga meletakkannya di kedudukan tiga tercorot.

Dalam pada itu, persembahan solo nyanyian Fieya Julia menerusi lagu ‘Chandelier’, nyanyian asal Sia turut tidak memuaskan hati juri. Fieya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir di minggu separuh akhir.

Namun begitu, bukan Fieya seorang sahaja yang meninggalkan pentas Big Stage. Kucaimars, yang turut dikritik hebat oleh Judika menerusi persembahan solo beliau, ‘Keabadian Cinta’, nyanyian asal Anuar Zain, juga terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada peserta lain pada minggu tersebut. Dengan itu, hanya lima peserta bakal meneruskan perjuangan di pentas akhir Big Stage 2019, pada Ahad ini.

Pada minggu akhir ini, kesemua peserta bakal mempersembahkan dua persembahan iaitu ‘Single Baharu’ dan juga ‘Cover Final’. Dengan itu, persaingan di antara mereka akan pasti lebih mencabar di mana kesemua Bintang BBNU akan mempersembahkan ‘lagu terbaharu milik mereka sendiri’ di pusingan pertama dan akan menyampaikan lagu ‘Cover Final’ sebagai lagu pilihan di pusingan kedua.

Mampukah peserta ‘favorite’Han Byul mempersembahkan lagu genre rap, ‘Lose Yourself’ nyanyian asal Eminem dengan baik? Adakah Neeta Manisha akan terus kekal konsisten dalam persembahan beliau menerusi lagu yang bertajuk ‘I Wanna Dance With Somebody’ nyanyian Whitney Houston? 

Atau mampukah Irfan mengejutkan ramai dengan lagu, ‘Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta’, nyanyian asal kumpulan The Flybaits? Bintang manakah yang bakal dinobatkan sebagai juara Big Stage 2019? Kita saksikan bersama, Ahad ini!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

400,000 Pengunjung Gegaq Karnival Jom Heboh Pulau Pinang!

Artis Popular Tanahair Meriahkan Kejohanan E-Sukan Kampus Hujung Minggu Ini!