in , , ,

Lupakan Episod Lama, Shukri Zainal Bangkit Semula Abadi Lagu Buat Arwah Nassier Wahab

Shukri Zainal yang dulunya dikenali dengan nama pentas Azam Smile kini muncul dengan single terbarunya Puisi Rindu yang dididikasi khas untuk artis idolanya Nassier Wahab.

Mengakui pernah mengalami kemurungan pada tahun 2016, saat mula berjinak jinak dengan dunia seni, penyanyi baru, Shukri Zainal, 34, mendedahkan pernah terbit kekesalan yang bersarang di hati.

Ketika melalui fasa getir kemurungan itu, Shukri atau nama sebenarnya Mohd Shukri Azam Zainal Abidin rancak mempromosikan single sulungnya berjudul Sudahlah Sayang hasil ciptaan Zul 2 By 2 dilancarkan pasa 2 September 2016.

Hinggakan pada satu tahap Shukri diberhentikan kerja tetap sebagai pegawai di sebuah agensi perbankan. Ketika itu penyanyi berusia 34 tahun ini mengakui terlalu sibuk mengejar cita cita dan dikatakan gagal memenuhi komiten kerja tetap di bank berkenaan.

Shukri Zainal

Single pertama itu biarpun kurang meledak, bagaimanapun beroleh peluang menjadi runut bunyi drama bersiri Sayang Papa Saya Tak dan Mawar Murni. 

“Saya akui khilaf sendiri. Terlalu ghairah nak jadi penyanyi, saya tidak fikir langsung keutamaan kerja bank yang saya sudah ceburi sejak tujuh tahun. Tapi saya sedar dan akur setiap yang berlaku ada hikmahnya.

“Saya ada rekod mengesahkan pernah mengalami kemurungan. Ketika itu saya jadi lemah semangat, hilang selera makan, berat badan menurun dan macam macam lagi. Saya sampai kena ambil ubat anti depresi kerana mahu mengatasi masalah kebimbangan dan susah nak tidur.

“Saya cuba untuk bangkit semula dan berusaha mengeluarkan single kedua. Namun sering tertangguh kerana masalah kemurungan. Akhirnya pada 28 Februari 2019, saya berjaya juga hadirkan single berjudul Atas Cintamu garapan Sirkhan dan Ibnu Rinkarnaen,” katanya.

Shukri Zainal

Bagaimanapun single kedua itu gagal menyerlah bakat Shukri yang ketika itu dikenali dengan nama Azam Smile.

“Selain masalah kekurangan promosi, masalah kemurungan dan kesihatan membataskan pergerakan saya. Saya sendiri mengakui ada kalanya seperti hilang arah dan tidak fokus dengan apa yang dimahukan.

“Malah ketika masih bekerja di agensi perbankan pun saya buat sesetengah perkara tanpa fikir panjang. Saya  amat menyesal dan insaf kerana memantis atau mencukur kening. Perbuatan itu terang terangan haram. Konon nak bergaya macam artis K-Pop.

“Tambah pula saya jenis yang mementingkan penampilan dan mengutamakan cara berpakaian yang kemas serta bergaya. Sekarang kalau ada tuntutan kerja, saya gunakan teknik solekan untuk menutup kening yang dipantis itu,” katanya.

Namun tahun 2021 yang baru bermula diharap dapat memberi sinar baru buat Shukri. Malah dia optimis dengan single ketiga berjudul Puisi Rindu dan meletakkan harapan tinggi kepada label muzik Kame Music Production.

Single ketiga itu ciptaannya sendiri.  Malah dia  bersama Avny sama sama menulis lirik. Lagu itu turut melakukan ‘tribute’  kepada Allahyarham Datuk Nassier Wahab. 

Malah atas nasihat ibu tercinta, dia juga menukar nama komersial yang asalnya Azam Smile dan kini menjadi Shukri Zainal

“Saya mula mengenali arwah Nassier Wahab  pada tahun 2016 dan diperkenalkan penyanyi Fazli Zainal. Kami boleh serasi dan rapat macam adik beradik. Malah arwah sendiri banyak memberi semangat dan galakan kepada saya. Arwah seorang pendengar yang baik dan tak lokek memberi nasihat.

“Tapi Tuhan lebih menyayanginya kerana sudah meninggalkan kita pada Disember 2019. Saya dapat idea menghasilkan alunan lagu ini tanpa lirik. Sejurus selepas solat, tiba-tiba ada alunan lembut berlagu dalam hati dan saya cepat-cepat merakamkannya menggunakan teknik “humming”. 

“Selepas itu saya suarakan kepada Avny apa yang terlintas di hati. Lirik lagu ini mengambil masa dua hari untuk disiapkan. Lagu ini sebenarnya berkisarkan mengenai kesakitan yang ditanggung arwah semasa hayatnya. Kebetulan masa arwah sakit, saya tahu dan melihat keperitan yang cuba disembunyikan itu,” katanya

Shukri Zainal

Kata Shukri lagi, penggambaran video muzik single ketiga ini ditaja sepenuhnya oleh Produksi Pure On Vission dengan kerjasama Rekasia Studios dan Align Creative Studios. Penggambaran itu dibuat pada Disember tahun lalu.

“Lebih menyentuh hati, video muzik itu penggambarannya dilakukan di kediaman rasmi arwah di Bukit Raja, Klang. Bekas pembantu peribadi arwah,  Aliff juga berlakon sebagai cameo.

“Keadaan semasa pengambaran sangat suram dan sedih bercampur baur kerana keluarga arwah juga turut serta melihat proses pengambaran dari awal hingga akhir. Saya sebak setiap kali memandang setiap sudut dalam rumahnya. Terasa seolah olah arwah masih ada bersama,” katanya

Lagu Puisi Rindu sudah  boleh distrim di semua platform digital terpilih. Video muzik rasminya akan dilancarkan 5 Februari ini di YouTube Kame Music Production

Anak bongsu daripada tiga beradik ini mempunyai kelayakan dalam Diploma Pengurusan Perniagaan, Kolej Islam Antarabangsa.

Shukri aktif di media sosial seperti di Twitter @shukrizainal_, Instagram @shukrizainalofficial dan Facebook (Shukri Zainal)

Saat ini juga ketika berdepan situasi pandemik COVID-19, dia aktif menerima permintaan “paid review” yang kebanyakannya tertumpu kepada makanan dan produk kesihatan kulit.

Shukri Zainal

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Program Santai Menarik Sepanjang Minggu di TV2

Mark Adam Ganti Shuib di Geng Pagi Hot, dan Ini Reaksi Pendengar Hot FM